AHLI Kelab Jelajah Alpine Malaysia dan Orang Gunung Kuala Lumpur bekerjasama dalam aktiviti pendakian ini.
AHLI Kelab Jelajah Alpine Malaysia dan Orang Gunung Kuala Lumpur bekerjasama dalam aktiviti pendakian ini.
Hafiz Ithnin

MENERIMA kiriman foto yang dihantar menerusi WhatsApp menunjukkan laluan pendakian mereka bukan mudah. Apatah lagi beberapa keping foto yang dikirimkan menunjukkan seorang daripada mereka ‘diratah’ sang pacat.

Bagaimanapun, foto yang dikirimkan itu bukan memberi gambaran penyesalan lapan pendaki yang berjaya menawan puncak tertinggi di Banjaran Tama Abu iaitu Gunung Tama Abu, Sarawak yang berketinggian 2,113 meter (m) dari aras laut.

Lapan pendaki itu terdiri daripada Zainudin Lot, Muhamad Yasir Ishak, Amir Abidin Md Bashah, Nor Thahar Bin Wan Mohd Nawi, Khairuddin Muhamed Yusof, Noorhaffiz Ismail, Muhamad Fuad Muhamad dan Mohamad Syahidan Jamaludin selain dibantu sahabat suku Penan dari Long Sabai iaitu Irwan serta Sami.

SALAH seorang rakan pendaki menyediakan makanan pada sebelah malam.
SALAH seorang rakan pendaki menyediakan makanan pada sebelah malam.

Menceritakan kembali pengalaman ekspedisi itu, Zainudin yang juga ketua ekspedisi berkenaan berkata, Gunung Tama Abu adalah puncak ke-14 tertinggi di Malaysia. Dikatakan juga, belum pernah direkodkan sebarang pendakian sebelum ini walaupun penduduk tempatan.

Beliau berkata, pendakian yang ada sebelum ini hanyalah melalui laluan dari Long Lellang menuju ke Bario menerusi Tama Abu Pass yang mempunyai beberapa puncak dalam ketinggian 1,800m ke 1,900m dan mengambil masa empat hingga enam hari perjalanan untuk ke Bario.

BERGILIR-GILIR TEBAS LALUAN

“Ekspedisi ini sangat mencabar dari segi logistik dan maklumat, memandangkan kemudahan di sana yang sangat minimum selain orang tempatan sendiri tidak mengetahui lokasi serta laluan untuk ke puncak tertinggi Tama Abu itu.

“Kemahiran menggunakan peta topo dan alat Pengesan Kedudukan Global (GPS) amat membantu sepanjang ekspedisi ini. Hanya pada hari kelima barulah kami berjaya sampai ke puncak,” katanya.

Tambahnya, sepanjang perjalanan semua ahli kumpulan dan jurupandu bergilir-gilir menebas laluan selain terpaksa memanjat tebing batu yang curamnya mencecah 90 darjah berketinggian antara 40 hingga 70 meter.

Pada hari keempat pula, kumpulan ini terpaksa bermalam dalam keadaan ikhtiar hidup di permatang tanpa khemah dan kelengkapan yang sepatutnya.

GUNUNG Tama Abu masih jarang dikunjungi pendaki.
GUNUNG Tama Abu masih jarang dikunjungi pendaki.

“Ini kerana kami hanya bercadang untuk naik dan turun pada hari yang sama. Namun disebabkan bentuk muka bumi yang amat kasar dan tidak pernah dimasuki manusia, membuatkan perjalanan menjadi sukar dan

kami terkandas di permatang gunung selepas 10 jam perjalanan.

“Akhirnya kami mengambil keputusan untuk bermalam apabila hari gelap bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini di samping memendekkan tempoh ke puncak sekiranya terpaksa berpatah balik ke tapak khemah. Namun pengalaman setiap ahli kumpulan dan jurupandu memainkan peranan penting,” katanya.

Katanya, dengan kejayaan ekspedisi ini dapat membuka lembaran baru dunia pendakian di Sarawak yang sebelum ini rata-ratanya bertumpu di Gunung Mulu, Gunung Murud, Gunung Batu Lawi serta Gunung Apad Runan.

“Ekspedisi selama 10 hari ini melalui Miri ke Long Lellang menerusi jalan udara (Maswings) dan pulang menerusi jalan darat menggunakan pacuan empat roda (4WD) selain penggunaan perahu panjang suku Kelabit dan Penan,” katanya.

Menariknya ia turut ditaja Kelab Jelajah Alpine Malaysia di samping kerjasama dari Puncak Ventures dan Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur.

DIRATAH pacat menjadi perkara biasa dalam ekspedisi gunung yang jarang diterokai.
DIRATAH pacat menjadi perkara biasa dalam ekspedisi gunung yang jarang diterokai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 9:18 AM