PESERTA tiba di puncak Pintu Wang Gunung.
PESERTA tiba di puncak Pintu Wang Gunung.
Zaitie Satibi

PENDAKIAN ke puncak Pintu Wang Gunung di Perlis, baru-baru ini, memberi pengalaman yang menakjubkan kepada 44 ahli kumpulan penggiat sukan lasak Outdoor Team Malaysia (OTiM). Apatah lagi semuanya berjaya melepasi perjalanan pergi balik sejauh lima kilometer melalui trek berbatu dan tajam.

Pintu Wang Gunung setinggi 499.1 meter mempunyai keistimewaan tersendiri berikutan lokasinya terletak di sempadan antara dua negara iaitu Malaysia dan Thailand. Gunung ini terkenal dalam kalangan pendaki kerana trek yang agak mencabar dengan laluan berbatu tajam dan curam.

Malah, ia turut dikatakan terbentuk daripada empat formasi utama batuan iaitu machinchang, setul, kubang pasu dan chuping. Berdasarkan ciri bentuk muka buminya yang unik itu membolehkan gunung ini dikenal pasti sebagai satu daripada tapak pelancongan geologi.

TIDAK melepaskan peluang bergambar di puncak gunung yang sempit.
TIDAK melepaskan peluang bergambar di puncak gunung yang sempit.

Penyelaras ekspedisi, Badrul Amri Ghazali, 34, berkata, program pendakian ahli OTiM yang turut disertai peserta termuda iaitu kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu diadakan bagi menghabiskan masa lapang hujung minggu.

Peserta bertolak dari ibu negara menaiki bas pada malam sebelum pendakian dan tiba di kaki Pintu Wang Gunung berhampiran Taman Ular dan Reptilia Sungai Batu Pahat jam 6.30 pagi. Misi pendakian bermula sejam kemudian dengan matlamat menawan puncak dua sempadan gunung berkenaan.

“Pendakian menuju puncak mengambil masa dua hingga tiga jam bergantung kepada kecergasan dengan 14 hentian disediakan untuk pendaki berehat. Perjalanan juga bukan mudah kerana ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk menghadapi pelbagai rintangan bentuk muka bumi.

“Beberapa tahap kesukaran pendakian antaranya pendakian pada kecuraman 70 hingga 80 darjah, meniti rabung bukit, memanjat dengan tali dan paling mencabar perlu merentasi permukaan batuan yang tajam. Setiap langkah perlu berhati-hati kerana peserta boleh mengalami luka kecil atau kerosakan pada kasut, baju dan seluar.

PESERTA termuda mencuba pendakian.
PESERTA termuda mencuba pendakian.

“Oleh itu, faktor keselamatan menjadi agenda utama dalam pendakian ini. Setiap peserta perlu menyediakan keperluan tambahan seperti sarung tangan, kasut getah dan pakaian yang tahan lasak,” katanya.

Katanya, peserta tiba di atas gunung jam 11 pagi dan masing-masing menaiki puncaknya mengikut giliran berikutan saiznya yang kecil, berbatu dan tajam. Mereka meluangkan masa sejam untuk berehat dan mengambil gambar pemandangan serta swafoto sebagai kenangan sebelum turun.

“Semua cabaran ini memberikan kepuasan tersendiri kepada peserta selepas tiba di puncak Pintu Wang Gunung. Biarpun ada yang gayat, tetapi mereka dibantu ahli lebih berpengalaman untuk mengatasi rasa takut.

“Secara tidak langsung pendakian ini menyemarakkan semangat kerjasama berpasukan. Selain itu, pemandangan yang memukau dari atas turut menerapkan sikap supaya cintakan alam semula jadi dalam jiwa peserta,” katanya.

Badrul Amri berkata, program pendakian itu turut mendapat kerjasama ahli kumpulan Santai Hikers Utara bagi mengeratkan ukhuwah antara penggiat aktiviti lasak, di samping bertukar-tukar fikiran.

TIDAK ketinggalan bergambar di papan tanda puncak gunung.
TIDAK ketinggalan bergambar di papan tanda puncak gunung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 11:04 AM