LALUAN bersemak ketika menuju ke Air Terjun Teras mencabar perjalanan.
LALUAN bersemak ketika menuju ke Air Terjun Teras mencabar perjalanan.
Hafiz Ithnin


TAMAN negara di Malaysia tidak ada tolok bandingnya. Tiada siapa dapat menyangkal kelebihan dan keistimewaan negara yang mempunyai hutan hujan tropika yang boleh diumpamakan sebagai nadi negara.

Orang yang pernah menerokainya, pasti tidak akan lupa keindahan air sungai masih jernih dan nyaman untuk dinikmati. Bagi sang pengembara, deruan air sungai dalam persekitaran hening dan segar semestinya menjadi kenangan paling dirindukan.

Begitu juga dengan pemilik nama, Mashitah Othman Omar yang baru-baru ini berkesempatan menerokai beberapa kawasan menarik di Taman Negara, Pahang bersama tiga temannya untuk merasai sendiri pengembaraan rimba yang belum pernah dilakukannya sebelum ini.

PANORAMA menarik
PANORAMA menarik

Menceritakan kembali pengalamannya selama dua hari satu malam di Taman Negara, katanya, perjalanan dari Kuala Lumpur ke pintu masuk Taman Negara di Kuala Tahan selama kira-kira empat jam memandu amat berbaloi.

Katanya, sebagai pengembara sudah pastinya destinasi yang ada tempat bermalam yang baik menjadi idaman. Ternyata di kawasan itu, terdapat banyak chalet dan resort yang disediakan untuk pengunjung.

“Selalunya jika mengembara di kawasan hutan kami bersedia untuk berkhemah kerana tidak ada kemudahan seperti chalet atau resort, tetapi di sini ada banyak tempat menginap yang selesa dan harga ditawarkan juga berpatutan serendah RM50 seorang tanpa mengetepikan aspek kebersihan,” katanya.

Katanya, bagi mengakses Taman Negara pengunjung perlu mendaftar di pejabat taman berkenaan yang berhampiran pintu masuk. Caj yang dikenakan sangat berpatutan dan urusan pendaftaran juga mudah.

Katanya, pada hari pertama berada di sana, dia berpeluang menerokai laluan denai menuju ke Lubok Simpon iaitu salah satu lokasi menarik untuk aktiviti bermandi-manda meskipun tidak terdapat air terjun di kawasan berkenaan.

“Sebenarnya terdapat banyak trek boleh digunakan untuk menerokai kawasan sekitarnya yang menarik. Memandangkan kami agak keletihan kerana sepanjang malam berjaga menuju ke Taman Negara, jadi trek laluan yang mengambil masa hanya 20 minit dari tempat penginapan ke Lubok Simpon menjadi pilihan.

“Pada masa sama, trek laluan ke sana juga boleh dikatakan agak mudah kerana ada papan tanda dan penunjuk arah ke kawasan berkenaan. Ternyata sebaik tiba di sana, aktiviti untuk bermandi-mandi amat sesuai sekali,” katanya.

Pada hari kedua, dia bersama rakan mengambil kesempatan menerokai Air Terjun Teras yang hanya boleh diakses menaiki bot pelancong sebagai pengangkutan kepada pengunjung.

“Dalam perjalanan ke situ pemandu bot sengaja membasahkan penumpang yang lengkap memakai jaket keselamatan dengan percikan air sungai. Malah, kami seakan-akan sentiasa menanti kejutan itu.

“Tiba di kawasan ditujui, kami semua perlu melalui jalan denai yang diketuai juruarah yang mengambil masa 20 minit dan melalui beberapa batang anak sungai.

“Jujurnya, pengembaraan ringkas ini melebihi apa yang saya jangkakan. Malaysia sememangnya mempunyai alam semula jadi yang menarik untuk diterokai. Malah, kemudahan pengunjung juga tidak diketepikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 6:45 AM