CERIA peserta memeriahkan program Jom Santai. FOTO Ihsan Brahim’s Dewina Holdings
CERIA peserta memeriahkan program Jom Santai. FOTO Ihsan Brahim’s Dewina Holdings
Nurul Husna Mahmud

Lebih banyak kejutan bakal menanti peserta Xpedisi Pendakian Gunung Bersama Brahim’s untuk tahun ini.

Itu antara berita baik yang dikongsikan Pengarah Urusan Kumpulan Brahim’s Dewina Holdings Sdn Bhd, Nur Fatin Ibrahim ketika ditemubual usai Program Jom Santai Janda Baik di Santai Riverview Janda Baik, Bentong, Pahang baru-baru ini.

Program berkenaan ialah kemuncak kepada projek Xpedisi Pendakian Gunung Bersama Brahim’s yang bermula 12 November 2017 dilancarkan sendiri Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi.

Kata Nur Fatin, sejak projek berkenaan dimulakan yang membawa peserta meneroka Gunung Nuang, penyertaan diterima sangat menggalakkan dan sebaik saja dibuka tidak sampai seminggu kuota pendaki diperlukan sudah penuh.

“Melihat sambutan sangat menggalakkan untuk program yang berakhir November lalu itu, kami menjangkakan projek ini akan terus dilaksanakan dengan menyasarkan beberapa lokasi gunung menarik berdasarkan impak dan maklum balas yang diterima.

FATIN gembira dapat meraikan komuniti pendaki. FOTO Ihsan Brahim’s Dewina Holdings
FATIN gembira dapat meraikan komuniti pendaki. FOTO Ihsan Brahim’s Dewina Holdings

“Sejumlah 650 pendaki dalam sembilan ekspedisi. Ia meliputi pendakian ke puncak Gunung Berembun (Negeri Sembilan), Gunung Rajah (Pahang), Gunung Ledang dan Arong (Johor), Gunung Korbu dan Gayong (Perak), Gunung Berembun (Terengganu), Gunung Stong, Ayam dan Baha (Kelantan) serta Gunung Batu Putih (Perak) selain Gunung Nuang,” katanya.

Tambah Nur Fatin lagi, tidak hanya meraikan peminat sukan mendaki dalam ekspedisi berkenaan, malah pihaknya juga berusaha menyemai nilai murni apabila menggerakkan setiap peserta melakukan kerja pembersihan di laluan mendaki dan tapak perkhemahan.

“Ini juga antara inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) Brahim’s selain menerapkan budaya hidup sihat.

“Sikap menghormati alam semula jadi dan persekitaran bukan saja perlu ditanam dalam kalangan pendaki Brahim’s, malah peserta dan pendaki gunung umumnya. Kita sedar kebelakangan ini tempat rekreasi termasuk kawasan gunung sering menjadi mangsa kepada pihak tidak bertanggungjawab apabila meninggalkan sampah di hutan yang sepatutnya dipelihara dan dikekalkan dalam keadaan aslinya.

DEMONSTRASI pek makanan segera Brahim’s. FOTO Ihsan Brahim’s Dewina Holdings
DEMONSTRASI pek makanan segera Brahim’s. FOTO Ihsan Brahim’s Dewina Holdings

“Kita berharap dengan program ini, peserta dapat memberi contoh kepada pendaki lain dalam mengekalkan keindahan kawasan pergunungan kita,” katanya.

Dalam program itu Nur Fatin turut memaklumkan peserta membawa turun kira-kira 300 kilogram sampah dari semua ekspedisi yang dianjurkan pihaknya.

Bagi acara penutupan program ekspedisi itu yang berlangsung di Santai Riverview, pihaknya meraikan lebih 100 pendaki dari pelbagai kelab bersama anak yatim dari Badan Amal Nur Zaharah.

Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk acara sukaneka, mencari harta karun, cabutan bertuah dan bermacam lagi. Tidak lupa turut diadakan demonstrasi masakan ‘Self-Heating Adventure Pack’ antara revolusi pek makanan terkini Brahim’s yang boleh dipanaskan tanpa menggunakan api.

Pek berkenaan memuatkan keperluan sehari, lengkap dengan nasi putih, daging masak hitam, dan nanas dalam sirap sebagai pencuci mulut. Turut disediakan dalam pek kembara terbabit ialah kopi, teh, gula, krimer dan set sudu garpu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 10:21 AM