Ridzuan Abdul Rahman


'Perebutan' nama kumpulan rock terkenal, XPDC masih mencetuskan isu hangat dalam kalangan peminat muzik rock tanah air.

Siapa yang tidak kenal dengan kumpulan legenda yang asalnya dianggotai Allahyarham Mael (penyanyi) dan Izo (gitar) dan kemudian disertai Zuar (bass) dan Lee Space (dram).

Nasib kumpulan yang diasuh dan diwujudkan oleh komposer, Allahyarham JS Kevin atau Zul Adnan Mohd Razali ini sama seperti kumpulan Search, kumpulan rock nombor satu dan paling popular tanah air yang terbahagi kepada dua.

XPDC satunya dianggotai oleh Zuar dan Amy (pemain drum yang menggantikan Lee Space) serta anggota baru, Jeff (gitar) dan Ary menggantikan tempat Mael sebagai penyanyi. Mereka dikenali sebagai XPDC Kita Pengyu.

Satu lagi XPDC dianggotai Izo dan Ali yang bersama mereka menerusi album Samurai pada 1998 sebagai penyanyi. Bagaimanapun, tempatnya kini digantikan oleh Zul Fazli atau Mamu memandangkan Ali berdepan masalah kesihatan.

Anggota lain ialah Arif (gitar), Eddie (bass) dan Lola (dram). Mereka dikenali sebagai XPDC Militia.

Pada mulanya kisah dua XPDC ini hangat juga, namun campur tangan Pengurus Besar Life Records Malaysia, Singapura dan Indonesia, Osman Ariffin membenarkan penggunaan nama XPDC kepada kedua-duanya dan berjaya meredakan keadaan serta diterima baik peminat. Apatah lagi nama XPDC adalah hak milik Life Records.

Semuanya nampak okey dan tenang apabila dua XPDC ini bebas mencari rezeki, sehinggalah industri muzik tanah air dikejutkan dengan pemergian Mael pada April tahun lalu.

Suasana yang tenang kemudian menjadi panas semula apabila timbul isu berkenaan XPDC ketiga yang dicetuskan oleh seorang individu lain.

Peminat XPDC tentunya maklum nama XPDC ketiga ini sudah wujud ketika Mael masih hidup, tetapi ia semakin rancak dicanangkan selepas kematian penyanyi terbabit.

Memang benar, individu ini mempunyai jasa tersendiri terhadap permulaan karier Mael. Dalam kenyataannya, dia mendakwa mula mengenali Mael ketika usianya 18 tahun.

"Waktu itu dia baru habis SPM dan berhijrah ke Pantai Dalam, Kuala Lumpur tinggal bersama kakaknya," katanya ketika di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar ketika pengebumian jenazah Mael pada 29 April tahun lalu.

Dia yang menubuhkan kumpulan Tragedy membawa Mael ke Life Records, tetapi JS Kevin yang juga penerbit album menukar nama kepada XPDC. Jadi, ia tidak berkaitan dengan individu itu lagi.

Krisis Mael dengan anggota lain menyaksikan penyanyi itu berundur dari XPDC dan Life Records dan menubuhkan syarikat Real XPDC bersama rakannya, Azmey Mat Nasir pada 30 April 1998.

Azmey berkata, ketika itu hanya nama dia dan Mael didaftarkan dalam syarikat itu. Mereka kemudian menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman EMI dan Azmey yang menguruskan semuanya dari mula hingga akhir.

"Saya keluarkan album Real X dan selepas itu uruskan album solo Mael. Selepas itu EMI menutup operasi mereka walaupun sepatutnya ada lagi album dengan mereka. Kiranya kontrak kami pun tamat," katanya kepada Harian Metro sebelum ini.

Jadi, penggunaan nama XPDC oleh individu terbabit mencetuskan kehairanan kerana ia tanpa izin Azmey. Dia menganggap tindakan itu semata-mata mahu mengelirukan peminat. Tambahan pula anggota XPDC ketiga ini tidak pernah menganggotai sama ada XPDC Kita Pengyu mahupun XPDC Militia.

"Mael pernah minta individu itu menguruskannya pada awal kariernya pada 1997, tetapi selepas satu persembahan di Taman Sri Muda, Shah Alam, individu terbabit menghilangkan diri.

"Sejak itu Mael jumpa saya minta bantu dia. Dari situ dia minta tubuhkan satu syarikat dan terhasil nama ini," katanya.

Hanya satu cara untuk meredakan keadaan iaitu campur tangan Life Records sekali lagi dalam isu ini. Osman atau Pak Osman nampaknya masih membisu dari memberikan sebarang komen sehingga kini. Kenyataannya pasti boleh mengubah suasana, sekali gus menjernihkan keadaan.


Penulis wartawan hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 6:00 AM