GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nor Hazrul bin Mohd. Salleh

Umat Islam pada bulan Zulhijah setiap tahun akan menunaikan satu ibadah yang sangat dituntut dalam agama Islam iaitu ibadah korban. Ia adalah manifestasi ketaatan kepada perintah Allah SWT. Ibadah ini mengingatkan umat Islam tentang kisah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan oleh Allah untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS sebagai ujian ketaatan. Ketika Nabi Ibrahim bersedia untuk melaksanakan perintah tersebut, Allah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas. Kisah ini menunjukkan pentingnya ketaatan kepada Allah tanpa syarat. Melalui ibadah korban, seorang Muslim menunjukkan kesediaannya berkorban demi Allah. Ini dapat meningkatkan ketakwaan dan keikhlasan dalam menjalankan perintah-Nya.

Ibadah korban mengingatkan umat Islam nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah. Dengan berkongsi daging korban dengan golongan yang kurang bernasib baik, ia menanamkan rasa syukur dan keinsafan dalam diri terhadap rezeki yang diterima. Daging haiwan korban diagihkan kepada fakir miskin, jiran tetangga dan sanak-saudara. Ini memupuk semangat berkongsi dan meningkatkan hubungan sosial. Ia juga memastikan semua orang terutama golongan yang memerlukan, dapat menikmati makanan yang baik pada hari perayaan. Pengorbanan dalam Islam bermaksud memberikan sesuatu yang kita sayangi atau perlukan demi mencapai tujuan yang lebih tinggi, iaitu keredaan Allah SWT. Ia merangkumi pelbagai aspek utama. Pertama, Pengorbanan diri dan jiwa. Ini termasuk mengorbankan keselesaan diri demi kebaikan orang lain dan agama. Misalnya, seorang ibu bersusah payah membesarkan anak dengan kasih sayang dan kesabaran.

Kedua, pengorbanan harta. Menyumbangkan sebahagian daripada rezeki membantu mereka yang memerlukan seperti memberi sedekah, zakat dan derma kepada yang kurang bernasib baik. Ketiga, pengorbanan masa dan tenaga. Meluangkan masa dan tenaga untuk beribadah, berdakwah dan melakukan kerja kebajikan seperti membantu orang tua atau menyertai gotong-royong di kawasan kejiranan. Contoh pengorbanan yang sebenar kita boleh lihat pada pengorbanan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang merupakan contoh terbaik dalam hal pengorbanan. Nabi Muhammad SAW menghabiskan seluruh hidupnya menyebarkan ajaran Islam, walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk diusir dari Makkah, diboikot dan disakiti kaum Quraisy. Namun, baginda tetap tabah dan tidak berhenti dalam perjuangannya.

Begitu juga apabila meneliti peristiwa agung penghijrahan dari Makkah ke Madinah. Baginda meninggalkan kampung halaman dan harta benda untuk menyelamatkan agama dan pengikutnya. Peristiwa ini menunjukkan betapa besar pengorbanan baginda demi keselamatan umat Islam. Saidina Abu Bakar RA mengorbankan seluruh hartanya untuk membantu perjuangan Islam. Dalam satu peristiwa, beliau membawa semua hartanya kepada Nabi SAW. Manakala Saidina Umar RA menunjukkan keberanian dan pengorbanan besar dalam mempertahankan Islam. Beliau turut serta dalam banyak peperangan dan sering meletakkan kepentingan Islam di atas kepentingan peribadi. Tidak kurang juga pengorbanan Saidina Usman RA yang terkenal dengan sumbangannya yang besar dalam pembangunan Islam. Beliau menyumbangkan harta semasa Perang Tabuk. Seterusnya, Saidina Ali RA juga menunjukkan contoh pengorbanan dan keberanian. Beliau menggantikan tempat tidur Nabi SAW ketika peristiwa hijrah, walaupun mengetahui nyawanya terancam. Tindakan ini menunjukkan keikhlasannya dalam mempertahankan Nabi dan Islam.

Dalam konteks agama Islam secara khusus, ibadah korban pada Aidiladha sebagai memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat" - (Surah al-Hajj, ayat 34). Pengorbanan dalam Islam juga boleh dilihat melalui ibadah puasa. Pengorbanan melalui menahan diri dari makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Manakala pengorbanan untuk negara pula terlihat kepada perjuangan atau jihad di jalan Allah untuk mempertahankan agama, negara dan kehormatan Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa mati tanpa pernah berperang atau berniat untuk berperang, maka ia mati dalam cabang kemunafikan." (Hadis Riwayat Muslim)

Sehinggalah dalam perancangan dan usaha meningkatkan ekonomi negara dengan mengamalkan etika perniagaan Islam, bekerja keras dan membantu masyarakat juga pengorbanan yang sangat dituntut. Imam Al-Ghazali pula menyatakan mencari rezeki yang halal dan menyara keluarga adalah bentuk jihad yang besar seperti menghormati, menjaga dan memenuhi keperluan ibu bapa. Allah SWT berfirman: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." (Surah al-Isra', ayat 23)

Tegasnya, pengorbanan dalam Islam merangkumi pelbagai aspek kehidupan seorang Muslim. Ia bukan tertumpu ibadah khusus seperti korban dan puasa, tetapi juga seperti berjihad, membangunkan ekonomi, berkhidmat kepada ibu bapa dan membantu golongan memerlukan. Dengan mengamal bentuk pengorbanan ini, seorang Muslim dapat mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.


Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:01 AM