GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Najiy Jefri


KEJATUHAN manusia yang sombong dan berbangga diri sering kali menjadi satu pengajaran yang berharga dalam kehidupan. Sifat sombong dan berbangga diri ini sering kali mengaburi mata seseorang sehingga mereka lupa kelemahan dan kekurangan diri sendiri. 

Sifat ini bukan saja mempengaruhi hubungan mereka dengan orang lain, malah boleh membawa kepada pelbagai masalah yang lebih besar dalam kehidupan mereka.

Kita sering mendengar kisah selebriti yang pada awalnya begitu berjaya dan dihormati, tetapi akhirnya jatuh tersungkur akibat sifat sombong dan berbangga diri. Kejayaan dan populariti sering kali membuat mereka berasa tidak dapat dikalahkan, namun realitinya adalah sebaliknya. 

Tidak dinafikan masih wujud segelintir selebriti yang selepas terkenal membintangi beberapa drama bersiri atau filem box-office yang meraih kejayaan besar sehingga menjadi kegilaan ramai peminat dan sentiasa mendapat perhatian media, tiba-tiba sikapnya berubah dan menunjukkan sisi peribadi yang berbeza. 

Disebabkan itu juga bermulalah episod 'berangan' apabila menunjukkan sikap tidak profesional di set penggambaran dan sering lewat serta tidak mematuhi arahan orang lain. Golongan ini walaupun rakan-rakan terdekat sudah mula menjauhkan diri, namun dia tetap tidak menyedari kesilapannya.

Bagaimanapun tatkala popularitinya mula merudum serta kehilangan pelbagai tawaran dan diboikot, barulah dia mula sedar betapa pentingnya sifat rendah diri dan menghormati orang lain. Namun segala-galanya sudah terlambat. 

Ini kerana reputasinya sudah tercemar dan kepercayaan orang ramai terhadapnya sudah mula hancur. Dia terpaksa menanggung akibat daripada sifat sombong dan berbangga pada dirinya sendiri. Kehidupannya yang dahulunya penuh dengan kemewahan dan kemasyhuran kini menjadi sepi dan penuh dengan kesedihan.

Ia jelas mengingatkan tidak kira betapa hebat atau berjaya sekali pun, kita harus sentiasa rendah diri dan menghormati orang lain. Kejayaan dan kemasyhuran adalah anugerah yang harus dijaga dengan baik, bukan dijadikan alasan untuk berlagak atau merendahkan orang lain.

Sikap sombong bukan saja memberi kesan buruk kepada individu semata-mata, malah boleh merosakkan hubungan dengan orang sekeliling hingga mengakibatkan diri kesunyian dan terasing kerana sifat yang tidak disukai oleh orang lain.

Sifat sombong juga boleh menghalang seseorang daripada terus maju dalam kehidupan. Individu yang terlalu yakin dengan diri sendiri cenderung untuk mengambil risiko tanpa memikirkan akibatnya. Ini boleh membawa kepada kegagalan dan kerugian yang besar.

Dalam kehidupan seharian, kita sering disajikan dengan pelbagai kisah manusia sombong yang akhirnya membawa padah. Seorang usahawan yang berjaya mungkin kehilangan perniagaannya kerana terlalu yakin dengan diri sendiri dan tidak mendengar nasihat orang lain. 

Begitu juga dengan seorang pemimpin yang sombong mungkin kehilangan sokongan daripada pengikutnya kerana tidak menghargai pandangan dan pendapat mereka.

Namun, bagi mereka yang bersikap rendah diri dan menghormati orang lain sering kali mendapat tempat istimewa di hati orang sekeliling. Golongan ini lebih mudah untuk membina hubungan yang baik dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Sikap rendah diri juga membantu mereka untuk membuat keputusan yang bijak dan tepat.

Jadi, penulis ingin mengingatkan kepada mana-mana individu yang ingin mengintai peluang dalam dunia seni supaya jangan sesekali alpa dan mudah lupa diri. Kalian perlu percaya segala kemasyhuran yang anda miliki tidak akan berhasil tanpa bantuan dan sokongan semua pihak. 

Bagi individu yang sedang berdepan masalah ini, pintu kemaafan sentiasa terbuka dan cepatlah memperbaiki diri. Jangan terus menganggap diri anda seolah-olah dianiaya oleh orang sekeliling, sedangkan kesilapan itu anda sendiri yang cipta. 

Sentiasalah cermin diri dan jangan sesekali berasa diri hebat. Tak bermakna mengaku kesilapan, anda kalah dalam pertarungan. Kadangkala meminta maaf itu memberi sejuta ketenangan dalam diri dan menjadikan diri kita lebih baik. 

Ingatlah kejayaan dan kemasyhuran bukanlah alasan untuk berlagak sombong dan merendahkan orang lain. Kita harus sentiasa bersikap rendah diri dan menghormati orang lain, tidak kira betapa hebat atau berjaya. Dengan cara ini, kita dapat membina hubungan yang baik dan mencapai kejayaan yang berpanjangan.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 5:59 AM