GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Fahmi Md Ramzan

Di tengah arus maklumat global yang semakin meluas, dunia terus menjadi saksi akan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza.

Ironinya, situasi ini bukan panorama baharu di pentas antarabangsa, sudah tujuh dekad rentetan kekejaman dilakukan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan pada 1946 sebagai organ utama yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan perdamaian dunia dilihat gagal dalam menjalankan fungsinya seperti termaktub dalam Bab V, Artikel 24 Piagam PBB.

Siri serangan berterusan secara brutal dilancar rejim Zionis Israel di Semenanjung Gaza ketika ini satu lagi episod kegagalan Majlis Keselamatan yang jelas terpampang di hadapan mata. Selepas lebih 240 hari serangan, Majlis Keselamatan masih buntu untuk ambil langkah pencegahan mengakibatkan angka kematian mencecah lebih 36,000 yang mana lebih separuh daripadanya kanak-kanak dan wanita.

Ia memperlihatkan bahawa Majlis Keselamatan tidak berupaya melaksanakan tindakan sewajarnya selaras ketentuan Bab VII Piagam PBB mengenai tindakan berkaitan ancaman terhadap keamanan, pelanggaran terhadap keamanan dan tindakan pencerobohan.

Tidak terhenti di situ, Majlis Keselamatan gagal menerapkan Prinsip Tanggungjawab untuk Melindungi (Responsibility to Protect – R2P) yang disepakati pemimpin dunia ketika Sidang Kemuncak Dunia 2005.

Antara keputusan penting dari sidang kemuncak itu ialah tercapainya kesepakatan pemimpin dunia untuk bersiap sedia melaksana tindakan kolektif ketika sesebuah negara dilihat gagal atau tidak mampu melindungi rakyatnya daripada empat bentuk jenayah antarabangsa yang utama iaitu genosid, jenayah perang, penghapusan etnik dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Komitmen ini kemudian disahkan dan dimasukkan dalam Resolusi Perhimpunan Agung PBB, No. A/60/I bertarikh 24 Oktober 2005, khususnya Perenggan 139 yang tertulis: 'Kami bersedia mengambil tindakan kolektif, yang tepat dan tegas melalui Majlis Keselamatan PBB…ketika cara damai tidak lagi mencukupi dan autoriti nasional secara jelas gagal melindungi rakyatnya daripada genosid, jenayah perang, penghapusan etnik dan jenayah terhadap kemanusiaan."

Komitmen itu ditegaskan semula dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB, No. 1674 bertarikh 28 April 2006 yang mencatatkan kesediaan Majlis Keselamatan menangani pelanggaran hak asasi manusia secara besar-besaran yang dapat menimbulkan ancaman terhadap keamanan antarabangsa. Walaupun Prinsip Tanggungjawab Melindungi lazimnya membabitkan kes pelanggaran hak asasi manusia besar-besaran yang dilakukan oleh rejim pemerintah terhadap rakyatnya, namun dalam konteks Gaza, ia seharusnya diterapkan apabila jelas berlaku jenayah genosid dan jenayah perang oleh rejim Zionis Israel yang menjajah dan menguasai 70 peratus wilayah Palestin.

Namun, pelaksanaan prinsip itu di wilayah Gaza umpama mimpi di siang hari apabila anggota tetap Majlis Keselamatan yang sebelum ini mendukung prinsip terbabit sebahagiannya pada hari ini tulang belakang terhadap jenayah dilakukan rejim Zionis.

Hal ini tercermin melalui penentangan terhadap beberapa resolusi Majlis Keselamatan bagi menggesa gencatan senjata di Semenanjung Gaza oleh Amerika Syarikat dan Britain yang juga sekutu kuat rejim Zionis.

Ia sekali gus menggambarkan sikap selektif kuasa besar yang bernaung di bawah Majlis Keselamatan dalam menangani isu antarabangsa.

Natijahnya, Majlis Keselamatan sering kali mengalami 'kelumpuhan' untuk bertindak dalam menyelesaikan konflik berlaku disebabkan tiada kesepakatan antara sesama anggota sehingga mereka diumpamakan seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Dalam dunia yang ideal, Majlis Keselamatan perlu adil dalam menerapkan undang-undang antarabangsa tanpa memilih bulu. Namun, realiti politik menunjukkan adanya hambatan ketara dalam sistem antarabangsa. Antaranya penggunaan atau istilah lebih tepat penyalahgunaan kuasa veto oleh anggota tetap Majlis Keselamatan.

Oleh sebab itu, masyarakat antarabangsa perlu mendorong berlaku reformasi sistem veto. Ia dapat dilakukan dengan memastikan hak veto tidak sepenuhnya menghentikan Majlis Keselamatan untuk bertindak dalam menjaga keamanan dan perdamaian dunia. Sebagai contoh, veto tidak berlaku untuk situasi berlakunya pelanggaran hak asasi manusia secara besar-besaran seperti yang berlaku di Gaza ketika ini.

Bertitik tolak daripada siri kegagalan Majlis Keselamatan memenuhi peranan yang diharapkan, sudah tiba masanya peranan Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara anggota lebih diperkasa untuk memelihara keamanan dan perdamaian dunia selaras peruntukan termaktub dalam Bab IV, Artikel 11 (2) Piagam PBB.

Hal ini turut disokong oleh Resolusi Perhimpunan Agung PBB, No. 377 A (V) yang diluluskan pada 3 November 1950 dikenali sebagai Resolusi Uniting for Peace. Resolusi itu menguatkan peranan yang perlu dimainkan oleh Perhimpunan Agung ketika mana Majlis Keselamatan gagal melaksanakan tanggungjawab utamanya. Melalui mekanisme one state one vote yang lebih demokratik dalam Perhimpunan Agung, maka resolusi ini memandang bahawa tidak lagi relevan bagi hak veto yang dimiliki oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan ketika badan dunia itu gagal memenuhi kewajipannya dalam memelihara keamanan dan perdamaian dunia.


Penulis penganalisis undang-undang antarabangsa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:01 AM