FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Yusmizal Dolah Aling

Ada seorang kawan namanya Ah Meng,

Dia juga berkawan namanya Muthu,

Kami berkawan baik sama sedarjah,

Belajar bersama, main bersama,

Hey...hey....hey

Hey...hey....hey tiga sekawan!

Itu adalah bait lagu Tiga Sekawan yang menjadi siulan murid sekitar tahun 80-an dan 90-an. Lirik ringkas itu membawa pengertian sangat besar, menceritakan kehidupan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Zaman itu isu perkauman dan agama serta 3R tidak seteruk hari ini, malah sesuatu yang pelik jika ada yang cuba membangkitkan sentimen yang tidak perlu, ketika Malaysia menuju negara membangun.

Selepas lebih 30 tahun, hari ini kita berdepan dengan isu perkauman yang agak merunsingkan terutama ketika ramai yang 'terlatih' sebagai jaguh papan kekunci, menyemai kebencian hanya di hujung jari.

Amat menyedihkan ketika negara sedang bergelut untuk keluar daripada isu ekonomi yang tidak menentu, pengangguran yang semakin membimbangkan serta isu moral yang tidak berkesudahan, kita terpaksa berdepan dengan isu perkauman yang langsung tidak memberi apa-apa faedah sama ada kepada individu, masyarakat dan negara.

Dulu, kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia cukup dicemburui negara lain yang tidak mempunyai resipi untuk hidup dalam keadaan harmoni, saling berkongsi serta tidak menyakiti antara satu dengan yang lain.

Sampaikan ada yang bertanya, bagaimana negara ini ditadbir oleh majoriti satu kaum saja, sedangkan komposisi kaum lain juga tidak kurang ramainya, itu menjadi satu kebanggaan kepada kita. Tapi itu dulu.

Pendedahan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN) Datuk Azman Mohd Yusof dalam Kafe Ahad baru-baru ini bahawa perbalahan pemimpin politik terutama ketika musim pilihan raya menjadi ancaman kepada perpaduan seperti biasa didengar dan tidak mengejutkan.

Secara am, ia boleh dilihat menerusi percakaran politik yang membawa naratif 'siapa lebih bagus', 'siapa lebih itu dan ini' menjadi racun dalam diam kepada keharmonian masyarakat majmuk negara kita.

Kata mengata, caci keji, selain seronok melihat orang lain dicemuh menjadi latar setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRN). Rasanya semua orang boleh melihat keadaan itu.

Daripada cemuhan itu, ia merebak kepada perasaan benci, iri hati kepada kaum lain yang semakin membuak-buak hanya kerana mahu memenangkan parti yang disukai sehingga terlupa, agenda lebih penting ialah membina negara yang harmoni dan tentunya mewariskannya kepada generasi kemudian.

Ramai yang sedar bahawa, kenyataan orang politik juga menjadi bahan 'troll' sehinggakan walaupun ia adalah berkaitan polisi atau dasar kerajaan yang bagus, tetap 'disampahkan' mereka yang cetek akal tanpa menyedari bahananya untuk anak cucu.

Lalu kepada siapa kita hendak letakkan tanggungjawab untuk memperbetulkan semua ini? Adakah KPN atau Perdana Menteri yang perlu memainkan peranan? Apakah perlu kita mengehadkan kemudahan internet semata-mata untuk menghindari perbuatan menghasut?

Dalam pendedahan yang sama, Ketua Polis Negara sendiri sudah menggariskan lebih 10 inisiatif yang diambil bagi memastikan perpaduan dalam negara sentiasa terpelihara dan rasanya ia lebih daripada memadai untuk kita menilai apa yang paling baik untuk semua.

Penulis tidak mahu mengaitkan artikel ini dengan isu kalimah Allah yang sudah mulai sejuk selepas beberapa minggu diperdebatkan dan biarlah pihak berwajib menjalankan siasatan.

Tetapi, kita perlu sedar bahawa kata kunci kepada isu perkauman ini adalah 'hasut' dan 'ungkit'. Ini menjadi penyebab utama mengapa ia kembali mendapat tempat dan menghuni carta paling popular dalam carian di internet.

Bersepah halaman yang berkongsi pendapat itu dan ini dan ribuan komen menambah rencah, menyemarakkan api kebencian tanpa rasa bersalah.

Pokok pangkalnya ialah diri kita sendiri. Daripada lebih 20 juta pengguna media sosial, berapa ramai yang sedar mengenai pentingnya menjaga aset perpaduan dan kesedaran itu amat bermakna jika kita, tak kira siapa, bangkit dengan satu semangat kebersamaan yang tinggi untuk negara.

Jika orang politik menjadi punca, biarlah mereka hanyut dengan dakyah rekaan. Kita yang bijak pandai carilah maklumat dengan fakta. Dengan fakta, kita tentukan siapa pilihan kita pada waktu dan ketikanya. Katakan tidak kepada sentimen perkauman!

Resipi toleransi yang terbukti berkesan selama ini perlu terus dipertahankan. Yang empunya hak harus mempertahankannya dengan cara paling wajar, manakala yang menuntut hak pula janganlah berlebih-lebih. Kenalah sedar diri.

Tentu sekali kita pernah melihat satu iklan Hari Kemerdekaan, seorang lelaki berbangsa India mendukung anaknya untuk melihat pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman. Ia begitu menyentuh hati ketika mana kita merasakan negara ini adalah milik semua.

Sekadar cadangan, ketika suasana tidak harmoni ini seakan-akan mendominasi, penggiat seni atau penyedia kandungan boleh memikirkan untuk tampil dengan klip video seumpamanya.

Cetuskan kembali dalam hati masyarakat kita bahawa Ah Meng, Muthu dan Ahmad akan terus berkawan baik, membina tanah air ini bersama dan mewariskan untuk anak cucu sebuah negara harmoni.

Mesej klip video itu pastinya katakan tidak kepada perkauman!

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 7:01 AM