MERAIKAN hari raya dengan suasana terkurung semasa PKP atau raya terkejut, kedua-duanya memberi nikmat dan kenangan tersendiri. FOTO Arkib NSTP
MERAIKAN hari raya dengan suasana terkurung semasa PKP atau raya terkejut, kedua-duanya memberi nikmat dan kenangan tersendiri. FOTO Arkib NSTP
Mohd Zaini Othman

Pengalaman menempuh dan merasai suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan hanya berlegar-legar di dalam rumah pada tahun 2020 dan 2021 berikutan pandemik Covid-19 pastinya kekal diingati sehingga kini. Ia adalah sesuatu yang tidak pernah terfikir dan terduga pada hari yang sepatutnya sibuk menziarahi rumah sanak saudara dan kenalan, jadi perkara sebaliknya iaitu kita hanya 'terkurung' di rumah sendiri sahaja.

Masih penulis ingat, panggilan video berkumpulan bersama adik-beradik dengan orang tua di kampung di pagi hari raya menjadi medium pengubat rindu dan mengurangkan perasaan sedih beraya berjauhan. Itu jugalah yang dilakukan oleh semua orang pada ketika itu kerana patuh pada arahan kerajaan di samping menjaga kesihatan dan nyawa insan tersayang. Apabila pandemik mula mereda dengan kerajaan mengisytiharkan negara beralih ke fasa endemik bermula 1 April 2022, banyak kelegaan dan senyuman di wajah rakyat khususnya umat Islam kerana merasakan peluang kembali merayakan Aidilfitri seperti biasa.

Selepas pelbagai spekulasi tersebar akan berhari raya terkurung lagi, Datuk Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri ketika itu memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri. Tegasnya, kerajaan amat memahami kesengsaraan rakyat jika PKP dilaksanakan semula dengan alasan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara selain kesannya kepada peniaga dan sektor ekonomi negara.

Umat Islam membuat persiapan yang meriah untuk meraikan Aidilfitri kerana sudah dua tahun hanya membuat persiapan ala kadar. Tetapi tahun 2022 pula mencipta memori baharu buat umat Islam di Malaysia apabila merasai pula pengalaman raya terkejut. Jika sebelum ini menanti dan menonton pengumuman tarikh Hari Raya Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sekadar buat-buat terkejut bila tarikh diumumkan, kali ini benar-benar terkejut satu negara kerana esoknya hari raya! Dengan pengumuman raya terkejut itu, tiada lagi tempoh bertenang dan bersenang-lenang seperti biasa, semuanya kalut menghias kediaman, menyiapkan hidangan dan kuih-muih raya di dapur. Malah, pada waktu itu peniaga kedai runcit terpaksa beroperasi sehingga lewat pagi selain penjual ayam dan daging yang pening kerana terputus bekalan akibat pembelian mengejut.

Penulis sendiri perlu menunggu sehingga jam 2 pagi untuk membeli ayam untuk dibuat rendang, sesuatu yang tidak pernah dibuat sebelum ini. Tetapi, itulah penangan raya mengejut pada 2022, umat Islam gigih sehingga ke awal pagi menyiapkan juadah hari raya dan lain-lain keperluan kerana semangat dan tradisi Aidilfitri perlu diteruskan. Meraikan hari raya dengan suasana terkurung semasa PKP atau raya terkejut, kedua-duanya memberi nikmat dan kenangan tersendiri. Jika dilihat pada kedua-dua situasi ini, sesuatu yang perlu dibanggakan bahawa masyarakat kita masih kuat dan teguh mengekalkan tradisi yang sinonim dengan kemeriahan menyambut 1 Syawal.

Di sebalik semangat dalam mengekalkan tradisi Aidilfitri, penulis ingin menekankan dalam keterujaan menanti kedatangan Syawal, kita seharusnya tidak melupakan kehilangan Ramadan yang berlalu pergi. Menyambut Syawal harus disertai rasa syukur dan gembira setelah melalui latihan pendidikan sebulan pada Ramadan. Aidilfitri tidak wajar hanya disinonimkan dengan kegembiraan, namun harus bermuhasabah, apakah makna keseronokan dan kegirangan hari keraian itu?

Allah menganugerahkan Ramadan sebagai medan tarbiyah untuk mencari sebuah kemerdekaan dan seiring dengan mendalamnya maksud Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah, wajarlah ia menjadi kayu ukur untuk memulakan langkah baharu dan mengekalkan momentum yang sedia terjana dalam diri semasa berpuasa.

Selari dengan firman-Nya dalam surah as-Syams ayat 9 yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya (daripada belenggu nafsu)." Oleh itu, Ramadan yang telah dilalui wajar dijadikan pengajaran dan Syawal yang bakal dirai dilihat sebagai permulaan untuk mengekalkan momentum pelaksanaan amalan-amalan yang baik. Jika kita boleh meraih dan memelihara pahala pada Ramadan, maka begitulah juga di luar Ramadan.

Kebajikan yang dilakukan tidak hanya bermusim tetapi perlu ditambah nilai agar pahalanya berterusan berganda. Nilai kasih sayang perlu terus dipupuk agar bercambah sebuah masyarakat prihatin dan tidak mementingkan diri. Menghayati erti kemanusiaan perlu dijadikan agenda Syawal agar terbit rasa belas ehsan dan kebersamaan sesama insan. Kemeriahan lebaran ini perlu diisi dengan cara Islam yang diredai Allah dan bukannya terikut-ikut dengan cara yang merosakkan nilai, agama dan sensitiviti. Semoga Aidilfitri ini mencipta dan mengekalkan momentum muhasabah serta menggarap ibrah daripada bulan imtihan yang telah kita lalui!

Penulis Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 7:01 AM