PERBELANJAAN bagi keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri berpotensi menyebabkan perbelanjaan lebih tinggi berbanding pendapatan. FOTO BERNAMA
PERBELANJAAN bagi keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri berpotensi menyebabkan perbelanjaan lebih tinggi berbanding pendapatan. FOTO BERNAMA
Dr Anuar Shah Bali Mahomed

Kurang seminggu lagi umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sambutan Aidilfitri amat signifikan bagi umat Islam selepas melaksanakan ibadah berpuasa di bulan Ramadan yang mulia. Pada ketika ini, kita sedang melalui pusingan terakhir pada bulan Ramadan dengan umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan amalan kebaikan.

Pada masa sama juga, kita juga perlu lebih berwaspada terhadap kegiatan along yang tentu sekali akan lebih berleluasa dan bermaharajalela dengan mengambil kira keperluan kewangan khususnya dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Umum mengetahui bahawa pada ketika ini berlakunya kenaikan kos sara hidup dan harga sebahagian barang mentah juga agak sukar dikawal harganya. Pada masa sama, gaji yang diperolehi oleh rakyat Malaysia juga tidak seimbang jika dibandingkan dengan perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup yang memberikan kesan kepada perbelanjaan isi rumah.

Di dalam konteks sambutan Hari Raya Aidilfitri, sangat mungkin perbelanjaan isi rumah akan meningkat pada musim perayaan berbanding dengan bulan lain. Hal ini disebabkan oleh perbelanjaan bagi keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan ia berpotensi menyebabkan perbelanjaan lebih tinggi berbanding pendapatan.

Sekiranya ini berlaku maka sebahagian individu akan mengeluarkan sebahagian simpanan untuk menampung keperluan perbelanjaan. Adakah semua rakyat Malaysia mempunyai simpanan? Berdasarkan kaji selidik Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), seramai 84 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan tetap setiap bulan. Ini bermakna ada kemungkinan sebahagian rakyat akan mengambil pinjaman bank atau koperasi untuk menampung lebihan perbelanjaan berbanding pendapatan. Ada juga yang mungkin meminjam daripada ahli keluarga dan sahabat handai.

Namun, lebih membimbangkan kemungkinan ada yang terdesak sehingga mengambil keputusan untuk meminjam daripada along. Perkara ini adalah sesuatu yang amat merisaukan dan peminjam akan berhadapan dengan lebih banyak masalah dan tekanan jika terlibat dengan pinjaman along. Dengan tekanan yang dihadapi pada ketika ini, termasuk yang melibatkan harga barang keperluan harian, maka lebih ramai yang terpaksa berjimat dan mencatu makanan disebabkan oleh kenaikan harga sebahagian barangan serta kekurangan bekalan makanan yang dihadapi pada ketika ini

Yang lebih membimbangkan, terdapat pihak, khususnya along yang mengambil kesempatan di atas tekanan yang dihadapi oleh rakyat dengan memberikan pinjaman dengan kadar faedah yang amat tinggi. Semuanya disebabkan oleh situasi yang terdesak dan selepas mengambil pinjaman terbabit maka ia bakal memberikan lebih banyak masalah tekanan kepada peminjam terutamanya tekanan mental yang boleh menjejaskan prestasi di tempat kerja dan kualiti kehidupan bersama keluarga.

Terkini, media melaporkan bahawa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menghidu modus operandi along yang menukar kereta milik peminjam secara paksaan. Modus operandi ini amat membimbangkan dan ia perlu ditangani dengan segera agar ia tidak merebak.

Rakyat Malaysia perlu berwaspada dan mengelak daripada terbabit dengan sebarang aktiviti berunsurkan riba yang berpotensi menjerat kita secara berpanjangan dan akhirnya tidak menemui jalan keluar. Sebaiknya, kita berbelanja perkara yang penting sahaja mengikut kemampuan kewangan masing-masing dan cuba mengelak daripada mengambil pinjaman peribadi terutamanya daripada along yang berpotensi mengganggu ketenteraman kehidupan rakyat Malaysia.

Penulis tertarik dengan ungkapan lirik lagu yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dalam lagu yang bertajuk Suci Sekeping Hati, 'Jalannya tak seindah sentuhan mata' yang mempunyai maksud yang amat mendalam dan ia adalah suatu realiti dan hakikat yang berlaku pada ketika ini dalam keadaan sebahagian rakyat menghadapi tekanan disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup.

Amat penting untuk dilaksanakan gaji yang setimpal atau bersesuaian dengan situasi semasa dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup. Kita perlu menjauhi daripada pinjaman along dan berbelanja berdasarkan kemampuan masing-masing.

Penulis Profesor Madya dan Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 7:01 AM