‘BAPA ayam’ menunggu pelanggan di Jalan Haji Taib suatu ketika dahulu sebelum  kawasan itu dibersihkan.
‘BAPA ayam’ menunggu pelanggan di Jalan Haji Taib suatu ketika dahulu sebelum kawasan itu dibersihkan.
Hadzlan Hassan


Ah Lan, lu tau ker belakang sini ada klinik busat (besar) punya... sudah dekat 30 tahun lebih wa (saya) sini luluk (duduk), tarak (tak pernah) tahu ada busat punya klinik belakang sini."

Itu kata seorang lelaki berusia 72 tahun yang saya kenali sebagai Ah Pat, seorang bapa ayam yang pernah menjadi antara penghuni tetap Jalan Haji Taib lebih 30 tahun lalu.

Klinik yang dimaksudkannya ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dia ketika itu dibawa ke sana oleh polis untuk membuat pengecaman mayat selepas seorang pekerjanya yang bertugas sebagai 'kapten' (pencari pelanggan) maut akibat serangan jantung.

Sebelum ini, dia hanya tahu jalan dari rumah sewa di Jalan Tiong Nam ke Jalan Haji Taib kira-kira 200 meter setiap hari dan itulah rutin hariannya sejak lebih 30 tahun lalu.

Selain Ah Pat, industri gelap di Chow Kit ketika itu turut didominasi beberapa individu lain, tapi penulis hanya mahu menceritakan hal berkaitan Ah Pat ini kerana dia beroperasi tanpa sistem dan tidak mempunyai rangkaian tertentu.

Akibatnya dia sering menjadi sasaran jika operasi pihak berkuasa sama ada sekadar untuk membuat 'return kes' atau pemeriksaan mengejut.

Justeru, akan keluar dan masuklah lelaki tua itu ke dalam lokap atau mahkamah dan akan kembali menjalankan aktivitinya ('bapa ayam') sejurus hukuman selesai.

Saya pernah bertanya kepadanya kenapa masih buat kerja begitu kerana umur sudah tua, perempuan ditawarkan juga semua sudah berusia.

Jawapannya mudah: "Ini sahaja kerja saya tahu buat, lain saya tak tau...mau curi nanti masuk penjara (tanpa dia tahu 'bapa ayam' juga satu kesalahan berat), bacapun saya tak pandai tapi kira wang saya pandai," katanya sambil ketawa.

Andai saya berlegar sekitar Haji Taib ketika itu, dia sering memanggil duduk di depan premisnya sambil minum teh, tapi saya sering menolak kerana 'geli geleman' untuk minum bersama di kaki lima lengkap meja di satu lorong dikhaskan untuknya.

Dia biasanya akan membebelkan dengan sikap penggeli saya kerana dakwanya teh diminumnya mempunyai khasiat dan terbukti mampu memanjangkan umur bapa dan datuknya.

Usia saya ketika itu sekitar 20-an dan tidak pernah terfikir risiko atau baik buruk bercampur mereka asalkan jika ada maklumat yang saya perlukan, saya dapat.

Hakikatnya, Ah Pat ini boleh dikatakan 'peniaga jujur' kerana ketika saingannya ketika itu (tak perlu saya nyatakan nama) menggunakan khidmat toyol untuk mencuri barangan pelanggan, dia masih beroperasi seperti biasa.

Pernah satu waktu, ketika aktiviti hitam di Jalan Haji Taib sampai penghujungnya, dia pernah memberitahu saya ingin berpindah ke Sarawak untuk menjalankan aktiviti sama di usia yang sudah di penghujung.

"Uncle taubat la sudah dekat 80...apa lagi mau buat wang pun sudah banyak apa lagi mau," kata saya.

Tapi jawapan saya terima agak lucu, "saya punya keluarga semua mati 95 (tahun) atas, sikalang (sekarang) saya baru 75 ada 20 tahun lagi, lagipun nanti mati lagi banyak wang mau pakai."

Saya tertawa, tetapi saya belajar satu perkara, iaitu lelaki ini sebenarnya perlukan bimbingan dan dia sudah selesa dengan apa yang sudah dilakukannya sejak sekian lama.

Namun, jika diberikan sedikit pendedahan serta pengetahuan baharu, dia pastinya teruja sama seperti dia mengetahui kedudukan klinik besar berhampiran tempat kerjanya.

Jika orang awam seperti saya boleh menjadikan lelaki tua itu sebagai kawan dan rujukan perihal perkembangan di kawasan itu pasti ada pihak yang lebih bijak untuk mengambil peluang itu.

Bagaimanapun, selepas industri hitam di kawasan itu berkubur (sekitar tahun 2000), saya tidak lagi mendengar berita mengenai lelaki tua berkenaan, tetapi dimaklumkan dia benar-benar sudah berhijrah ke Sarawak namun tidak diketahui apa yang dilakukannya di sana.

Kepada Ah Pat, saya harap dia diberikan kesihatan yang baik dan kembali ke pangkal jalan untuk menjalani kehidupan seperti warga emas lain.


Penulis Penyunting Eksekutif Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 6:00 AM