Foto Hiasan
Foto Hiasan
Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Selepas melalui perjalanan selama setahun dengan pelbagai ujian dan pancaroba maka pada setiap akhir tahun semua orang akan muhasabah diri. Biasanya setiap perkara yang dilalui sepanjang setahun akan dihitung satu persatu sama ada sudah berjaya atau belum sempurna dilaksanakan.

Sebelum merencanakan azam tahun baharu, perancangan sedia ada mesti dipastikan kejayaannya supaya tidak dilonggokkan bersama azam baharu.

Sama juga dengan amalan dalam organisasi apabila membentangkan prestasi tahunan iaitu membentang dan mengkaji prestasi yang lepas dan merancang untuk menjalankan program untuk kemajuan organisasi pada tahun seterusnya. Begitu jugalah dengan setiap individu terutamanya seorang Muslim. Bahkan, setiap Muslim sepatutnya muhasabah diri setiap hari sebagaimana amalan para ulama terdahulu.

Apabila mendapati adanya sesuatu perkara yang tidak baik, maka seorang Muslim akan segera bertaubat memohon ampun atas dosa-dosanya kepada Allah SWT. Seterusnya, berusaha untuk menjadi Muslim yang lebih baik pada masa hadapan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang hari ini lebih baik dari hari sebelumnya, dialah tergolong orang yang beruntung, (dan) barang siapa yang hari ini sama dengan hari semalamnya, dialah tergolong orang yang rugi dan bahkan, barang siapa yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dialah tergolong orang yang celaka." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Azam tahun baharu dari perspektif Islam adalah satu komitmen atau niat yang ditetapkan oleh individu Muslim untuk mencapai kebaikan dan meningkatkan hubungan dengan Allah SWT dalam tahun yang baharu. Azam ini biasanya melibatkan perubahan positif dalam kehidupan individu, baik dari segi spiritual, moral, sosial, atau fizikal. Dalam Islam juga, azam tahun baharu penting kerana ia membolehkan individu merefleksikan kehidupan mereka dan menilai prestasi mereka dalam tahun sebelumnya. Ia juga memberi peluang memperbaiki kelemahan dan kesalahan yang dilakukan serta memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Setiap Muslim pasti melakukan kesalahan atau dosa kecuali Nabi Muhammad SAW yang 'maksum' (terpelihara daripada dosa). Oleh itu, proses muhasabah atau refleksi adalah sangat penting bagi menyucikan diri daripada segala dosa. Menjadi dasar setiap Muslim ialah bersegera memohon ampun atau bertaubat kepada Allah SWT apabila melakukan dosa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat." (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Ini menunjukkan bahawa bukan suatu yang asing apabila seorang Muslim melakukan dosa. Tetapi, yang lebih penting ialah dia segera bertaubat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya kamu semua tidak berbuat dosa, nescayalah Allah akan menghilangkan kamu (mematikan) dan Allah akan mendatangkan satu kaum yang berbuat dosa, lalu mereka beristighfar kepada Allah dan Dia akan mengampunkan mereka." (Hadis Riwayat Muslim)

Antara perkara utama memahami konsep azam tahun baharu dalam Islam juga ialah berkaitan meningkatkan amalan keagamaan. Manakala, amalan terpenting dalam Islam ialah menunaikan solat. Individu Muslim boleh menetapkan azam untuk meningkatkan kualiti solat mereka, kerap membaca al-Quran atau meningkatkan amalan seperti berpuasa sunat atau memberi sedekah. Azam ini membantu individu itu memperkuatkan hubungan dengan Allah SWT dan meningkatkan kesedaran spiritual. Selain itu, azam tahun baharu dalam Islam juga melibatkan perubahan dalam aspek moral dan sosial. Individu Muslim boleh menetapkan azam untuk meningkatkan akhlak mereka, seperti menjadi lebih sabar, jujur, atau bermurah hati. Mereka juga boleh menetapkan azam untuk membantu orang lain atau menyumbang kepada masyarakat. Azam ini membantu individu menjadi lebih baik sebagai seorang Muslim yang memberi manfaat.

Allah SWT sangat menganjurkan agar setiap Muslim berusaha untuk berjaya dalam hidupnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawasi dan menjaganya (daripada sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya." (Surah al-Ra'd, ayat 11)

Azam tahun baharu dalam Islam juga boleh melibatkan perubahan dalam aspek fizikal. Individu Muslim boleh menetapkan azam untuk menjaga kesihatan mereka dengan berdiet yang sihat, bersenam secara berkala, atau meningkatkan kebersihan diri. Azam ini membantu individu untuk menjaga tubuh yang diberikan oleh Allah SWT dan memastikan mereka sihat dan bertenaga untuk beribadah. Azam tahun baharu juga perlu disertai dengan usaha dan tindakan yang konsisten. Individu Muslim perlu berusaha untuk mencapai azam mereka dengan melakukan amalan yang diperlukan dan menghindari perbuatan yang bertentangan dengan azam tersebut. Mereka juga perlu berdoa kepada Allah SWT untuk mendapatkan kekuatan dan bimbingan.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 6:30 AM