UPACARA pengebumian jenazah wartawan Al Jazeera yang terbunuh dalam serangan Israel di Gaza pada 16 Disember lalu.
UPACARA pengebumian jenazah wartawan Al Jazeera yang terbunuh dalam serangan Israel di Gaza pada 16 Disember lalu.
Syah Rul Aswari Abdullah


Ini mungkin video terakhir yang saya siarkan," kata Ayat Khaddoura, seorang wartawan dan podcaster Palestin, dalam catatan di Instagram, pada 13 Oktober lalu. Ia salah satu daripada banyak video yang dikongsi Khaddoura dengan ratusan ribu pengikutnya di media sosial, yang menceritakan suasana kehidupan ketika tentera zionis berterusan mengebom Gaza.

Pada 6 November, dalam video yang dikatakannya sebagai 'mesej terakhir kepada dunia,' Khaddoura berkata: "Kami pernah mempunyai impian besar, tetapi kini impian kami hanya untuk dibunuh dalam satu bahagian supaya orang tahu siapa kami." Seminggu kemudian, dia meninggal dunia. Dia terkorban selepas serangan udara Israel mengenai rumahnya di utara Gaza.

Ini hanyalah satu kisah mewakili nasib wartawan yang terkorban di Gaza.

Laporan Bernama yang memetik Agensi Anadolu melaporkan, sekurang-kurangnya 92 wartawan terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu, menurut pejabat media kerajaan di Palestin. Angka itu setakat 17 Disember lalu.

Mangsa terbaharu ialah wartawan Rami Badir dan Assem Kamal Musa yang terbunuh akibat serangan tentera penceroboh Israel, Agensi Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan pejabat itu.

Bagaimanapun, pejabat itu tidak mendedahkan butiran lanjut.

"Dengan membunuh wartawan, Israel cuba untuk mengaburi naratif Palestin dan cuba menutup kebenaran tetapi ia gagal mematahkan semangat rakyat Palestin," menurut pejabat itu.

Menurut Jawatankuasa untuk Melindungi Wartawan (CPJ) pula, perang Israel-Hamas adalah 'tempoh paling maut bagi wartawan' sejak ia mula mengumpul data pada 1992. Sehingga 16 Disember lalu, siasatan awal CPJ menunjukkan sekurang-kurangnya 68 wartawan dan pekerja media adalah antara lebih 19,000 yang terbunuh sejak perang Hamas-Israel, bermula 7 Oktober lalu.

Sehingga tarikh sama, data CPJ menunjukkan, daripada jumlah itu, 61 adalah warga Palestin, empat warga Israel dan tiga warga Lubnan.

Sebagai perbandingan - menurut CPJ - sejumlah 68 wartawan dan pekerja media terbunuh di seluruh dunia pada 2022. Jumlah itu termasuk kematian dalam konflik di seluruh dunia, dan kematian akibat penugasan berbahaya, pembunuhan yang disasarkan dan insiden tembak-menembak.

CPJ, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di New York itu juga dilaporkan berkata, majoriti wartawan Gaza yang terkorban sejak permulaan perang, terbunuh ketika bertugas.

Menurut NPR pula iaitu organisasi media bukan berasaskan keuntungan, beberapa wartawan Gaza, termasuk mereka yang bekerja dengan organisasi media antarabangsa, mungkin menerima sokongan seperti penyediaan peralatan perlindungan diri.

Bagaimanapun, menurut NPR, ini mungkin tidak dilihat pada petugas media yang bekerja secara bebas. Wartawan di Gaza katanya, bukan sahaja berdepan dengan kehabisan sumber makanan, bekalan elektrik dan air, namun berisiko untuk mati pada bila-bila masa. Lebih menyedihkan, ada yang kembali bekerja selepas ahli keluarga mereka maut akibat serangan tentera zionis.

Ini belum lagi mengambil kira ada kalanya rejim zionis menyekat sepenuhnya liputan telekomunikasi di wilayah tepi pantai itu, setiap kali melakukan serangan besar-besaran.

Meskipun berdepan dengan risiko kematian, wartawan Palestin di Gaza itu tetap cekal menyiarkan laporan di lapangan, lebih-lebih apabila banyak 'realiti' yang tidak dilaporkan oleh organisasi media antarabangsa.

Israel pula seperti biasa mengulangi 'skrip sama' bahawa operasi ketenteraanya tidak menyasarkan orang awam atau petugas media. Pada masa sama, ia menegaskan bahawa pihakya tidak boleh memberi jaminan terhadap keselamatan petugas media daripada Agence France-Presse dan Reuters, biarpun diminta berbuat demikian.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 6:31 AM