GAMBAR hiasan. FOTO Arkib Reuters
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib Reuters
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Perkembangan pesat dalam sistem pendidikan di seluruh dunia menuntut pihak bertanggungjawab dalam bidang pendidikan mencari pendekatan lebih maju. Dunia yang semakin canggih dan sentiasa hadir dengan pelbagai penemuan baharu dalam semua bidang sudah pasti akan menjadi cabaran baharu kepada pendidik dan mereka yang terbabit dalam bidang pendidikan secara khusus. Sama ada di sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) mesti mengorak langkah ke arah penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).

Menurut laman rasmi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Artificial Intelligence (AI) adalah cabang sains dalam menjadikan sesuatu benda mempunyai kepintaran seperti manusia. Antara cabang penting dalam AI ialah pembelajaran mesin (machine learning) iaitu keupayaan mesin 'belajar' untuk menjadi pintar.

Secara konsepnya, mesin yang bakal 'diajar' manusia perlu dilengkapi maklumat yang banyak untuk menjadikannya lebih pintar berbanding mesin lain. Dengan kata lain, mesin akan dilengkapi dengan ribuan percubaan untuk menyelesaikan tugas. Di sepanjang proses ini, mesin akan memahami dan mempelajari konsep untuk menyelesaikan tugas berkenaan.

AI adalah bidang dalam sains komputer berkaitan dengan pembangunan sistem komputer yang boleh melakukan tugas yang biasanya memerlukan kebolehan intelektual manusia. Sistem AI dirancang untuk meniru kemampuan intelektual manusia seperti pemikiran logik, pengenalan pola, pembelajaran dan pengambilan keputusan. Teknologi AI membolehkan komputer menjalankan tugas seperti pengenalan wajah, pertuturan, penilaian, pengoptimuman, pengambilan keputusan dan banyak lagi. Ia membabitkan penggunaan algoritma dan pemprosesan data kompleks untuk mencapai matlamat ini.

AI merangkumi beberapa sub-bidang seperti pembelajaran mesin (machine learning), penglihatan komputer, pemprosesan bahasa semula dan banyak lagi. AI menjadi teras dalam pelbagai aplikasi moden, termasuk dalam sektor kesihatan, pengangkutan, perdagangan, pendidikan dan lain-lain. Ia memainkan peranan penting dalam mencipta kecemerlangan dalam pengoptimuman dan automatikkan tugas yang sebelum ini memerlukan interaksi manusia.

Dalam Islam, Allah SWT menganjurkan umat Islam menuntut ilmu. Bahkan, Allah menggesa supaya ada daripada kalangan setiap puak sekumpulan yang keluar menuntut ilmu dan memanfaatkannya semula kepada kaumnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)." (Surah al-Taubah, ayat 122)

Apabila dirujuk kepada manfaat yang sepatutnya didapati daripada ilmu pengetahuan yang dituntut, maka sebenarnya mesti mengikut arus dan perkembangan semasa. Apatah lagi dalam bidang pendidikan, ia adalah satu bidang yang dinamik dan sentiasa berkembang. Tidak mungkin generasi sekarang disamakan dengan generasi dahulu yang kebanyakan pendekatannya adalah tradisional dan manual.

Rasulullah SAW juga menerapkan nilai-nilai semasa yang sesuai dengan kumpulan yang dihadapi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah kamu berkata-kata kepada masyarakat dengan ucapan-ucapan yang tidak sampai pada akal fikiran (pengetahuan) mereka, kecuali akan menimbulkan 'fitnah', (kesalahfahaman atau kepincangan) di antara mereka." (Hadis Riwayat Muslim) Pepatah ada mengatakan: "Berbicaralah dengan seseorang sesuai dengan kadar kemampuan akalnya."

Dalam dunia pendidikan yang dinamik semestinya perkembangan pesat teknologi diambil peluang bagi menyampaikan ilmu kepada pelajar dengan sebaik mungkin. Banyak kelebihan yang ada pada penggunaan AI dalam pendidikan. Antara yang paling menonjol ialah pembelajaran yang dibantu AI boleh berlaku sepanjang masa dan akses pembelajaran pada setiap masa dan di mana sahaja. Penggunaan AI juga dapat menyesuaikan pengalaman pembelajaran untuk setiap pelajar berdasarkan kebolehan, keperluan dan gaya pembelajaran yang tersendiri.

Selain itu, penggunaan AI membolehkan pelajar memahami dan menguasai teknologi yang mereka akan gunakan dalam pekerjaan kelak. Manakala di peringkat lebih tinggi, dengan penggunaan AI pelajar dapat mengakses sumber pendidikan daripada pelbagai saluran di seluruh dunia. Guru juga mendapat manfaat dengan mempunyai ruang masa yang lebih untuk menguruskan tugas yang biasanya memakan masa yang banyak. Maka, mereka boleh memberikan tumpuan yang lebih kepada pengajaran yang lebih berkualiti. Bahkan, penggunaan AI juga boleh digunakan untuk menyesuaikan cara pengajaran bagi mengekalkan perhatian pelajar dan mencegah kebosanan.

Secara am, penggunaan AI dalam pendidikan membawa banyak faedah seperti personalisasi pembelajaran, peningkatan kebolehan pengajaran, dan kecekapan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia membantu pelajar mencapai potensi maksimum mereka dan memudahkan guru dalam memberi pendidikan berkualiti.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 7:02 AM