Antara penduduk Palestin yang terkorban dalam serangan Israel ke atas Gaza. FOTO Reuters
Antara penduduk Palestin yang terkorban dalam serangan Israel ke atas Gaza. FOTO Reuters
Azlin Azmi

Pemimpin dunia termasuk organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus meningkatkan usaha mendesak Israel segera menghentikan siri serangan tidak masuk akal ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Biarpun banyak gesaan supaya keamanan dikembalikan dan perlindungan dipastikan ke atas penduduk Gaza yang tidak berdosa, Israel tetap melancarkan serangan membawa maut di Gaza yang padat dengan penduduk pada Rabu minggu lalu, menyebabkan ratusan nyawa terkorban.

Selain pengeboman ke atas Hospital Arab al-Ahli di Kota Gaza pada 17 Oktober yang dikatakan didalangi rejim Zionis, terdapat banyak lagi insiden keganasan Israel yang jelas boleh ditakrifkan sebagai jenayah perang.

Dakwaan ini disokong oleh Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Israel. Lebih teruk lagi, kebiadaban Israel disokong Amerika Syarikat, sekutu paling kuat.

Lawatan terbaharu Presiden Joe Biden ke Israel gagal menoktahkan pertempuran membawa maut yang sebaliknya semakin meningkat.

Justeru, sudah tiba masanya Mahkamah Jenayah Antarabangsa memainkan peranan bagi menamatkan jenayah perang yang tidak perlu di wilayah itu.

Bagi rakyat Malaysia, kita semua perlu bersatu mengutuk kekejaman Isrel di Gaza ketika pertempuran berubah menjadi semakin membimbangkan yang menyaksikan jumlah mereka terkorban bertambah dan krisis kemanusiaan semakin buruk.

Perang ini bukan sekadar di antara komuniti penghuni di kawasan tegang di Asia Barat, malah ia juga satu bentuk pelanggaran hak asasi manusia yang serius oleh rejim Israel.

Memilih untuk membisu bukan pilihan terbaik komuniti antarabangsa, termasuk rakyat Malaysia. Memetik kata-kata aktivis kemanusiaan terkenal, Ginetta Sagan: "Berdiam diri di hadapan ketidakadilan sama seperti bersubahat dengan penindas."

Sedihnya, komuniti antarabangsa, khususnya Barat mengambil pendirian berat sebelah terhadap krisis di Palestin apabila secara terang-terangan memberi sokongan kepada penindasan berterusan oleh Israel ke atas penduduk Palestin sejak pembentukan negara Yahudi itu pada 1948.

Dalam hal ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tepat dan dengan berani mendedahkan sikap hipokrasi Barat, yang selalunya berbangga bahawa kononnya mereka adalah pejuang hak asasi manusia.

Kebenarannya, seperti ditegaskan Anwar, komuniti antarabangsa terus mengambil pendirian berat sebelah walau apa juga bentuk penindasan dan keganasan dilakukan terhadap penduduk Palestin ketika rejim Zionis berterusan merampas tanah dan harta benda milik penduduk wilayah itu.

Lebih buruk lagi, PBB dilihat seperti 'menyeret kaki' dalam menyelesaikan krisis kemanusiaan yang kritikal di Palestin, sedangkan Majlis Keselamatan (UNSC) selalunya akan segera memanggil mesyuarat tergempar untuk meredakan ketegangan dan keganasan jika ia berlaku di mana-mana sahaja negara yang ada kepentingan Barat.

Sikap pilih kasih seperti itu sangat bertentangan dengan semangat PBB, yang ditubuhkan bagi menyemai keharmonian dan keamanan dunia selepas kemusnahan dahsyat disebabkan Perang Dunia Kedua dahulu.

Melihat bagaimana Barat dan badan-badan dunia seperti PBB bertindak berat sebelah dalam menyelesaikan krisis di Gaza, dunia harus bangkit mewakili suara Palestin.

Jika kekejaman yang tidak berperikemanusiaan boleh berlaku dengan ganasnya terhadap penduduk Palestin, bagaimana boleh dipastikan ia tidak akan berlaku kepada negara lain, termasuk Malaysia?

Ketika ini, banyak negara maju di Barat dilihat lebih gemar mengambil pendekatan menjaga geopolitik dalaman semata-mata dan memisahkan diri daripada peranan mereka sebagai penimbang tara keadilan antarabangsa.

Bagaimana dunia boleh mendiamkan diri ketika pesawat pegebom canggih F-15 dan F-16 milik Israel, disokong pula dengan deretan dron melepaskan bom demi bom?

Mereka bukan sahaja menjadikan pejuang Hamas sebagai sasaran, malah turut menyerang penduduk Palestin di antara kawasan yang berkependudukan tinggi di dunia itu.

Ketika jumlah mangsa terkorban meningkat, ratusan ribu penduduk Palestin yang terpaksa menyelamatkan diri ke selatan sudah kehabisan bekalan makanan, air bersih, elektrik dan ubat-ubatan.

Kanak-kanak menjadi yatim piatu sekelip mata, ibu bapa terpaksa mengkebumikan jenazah anak-anak, yang lumpuh dan yang sakit melihat kehidupan makin meninggalkan mereka - insiden yang sudah menjadi biasa di Gaza, yang tidak sepatutnya berlaku pada abad ke-21 ini.

Penduduk Palestin hidup dalam keadaan berperang, dalam penjara terbuka. Keganasan terhadap mereka dan sikap rejim yang terang-terangan tidak mengendahkan nilai nyawa dan kesucian manusia, sebenarnya juga suatu jenayah perang.

Pelaku jenayah ini tidak boleh dibiarkan terlepas tanpa hukuman, tindakan tidak berperikemanusian dan tidak bertamadun tidak boleh dibiarkan hanya menjadi nota kaki dalam sejarah.

Komuniti antarabangsa, termasuk Malaysia tidak boleh berhenti daripada bersuara menentang kezaliman Zionis dan terus berusaha untuk membawa keadilan buat penduduk Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 6:30 AM