Terkini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan   95 program di 19 Universiti Awam bersedia untuk melaksanakan pengajian secara hibrid dan anjal di mana kuliah secara fizikal hanya diwajibkan pada tahun satu dan akhir.
Terkini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan 95 program di 19 Universiti Awam bersedia untuk melaksanakan pengajian secara hibrid dan anjal di mana kuliah secara fizikal hanya diwajibkan pada tahun satu dan akhir.
Oleh Dr Mohd Shahid Mohd Noh

Kualiti rangkaian internet memendekkan jarak dan masa antara tempat dan benua yang berjauhan sehingga segala urusan dapat dilaksanakan secara langsung pada waktu sebenar, berdepan secara maya dan telus. Sektor pendidikan antara bidang yang paling banyak menerima manfaat daripada fasiliti itu terutamanya di zaman pasca pandemik.

Berkemungkinan perkara itu juga antara hikmah yang dipelajari oleh pelajar dan pendidik dari tempoh pandemik hingga ke hari ini, bagaimana memanfaatkan teknologi untuk tujuan pendidikan.

Hari ini di separuh kedua tahun 2023, semua sekolah, kolej, universiti dan institusi pendidikan sudah beroperasi secara fizikal sepenuhnya. Pembelajaran dalam talian menjadi alternatif terbaik jika terdapat kekangan dan halangan dalam pelaksanaan fizikal.

Terkini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan 95 program di 19 Universiti Awam bersedia untuk melaksanakan pengajian secara hibrid dan anjal di mana kuliah secara fizikal hanya diwajibkan pada tahun satu dan akhir.

Faedahnya dilihat daripada jumlah kos pendidikan yang rendah, memberi ruang kepada mahasiswa untuk bekerja dan melakukan pelbagai aktiviti yang tidak dapat dilakukan ketika di kampus. Ia akan dilaksanakan pada sesi pengajian 2023/24 yang akan datang.

Konsep pendidikan boleh diakses di mana-mana adalah satu konsep baharu yang boleh dipromosikan lebih jauh bukan sahaja kepada pelajar di pedalaman bahkan kepada pelajar di luar negara. Bagi program yang memiliki permintaan di peringkat antarabangsa, peluang ini akan meningkatkan potensi pengembangan program serta kepakaran tenaga pengajar di samping menjana pendapatan universiti.

Bergerak seiring dengan perkembangan serta kemajuan, bidang pendidikan perlu mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam memantapkan proses penyebaran ilmu. Bidang keilmuan yang bermula dengan penulisan buku dan karya di atas kayu telah memperlihatkan transformasi penyebarannya setelah mesin cetak dicipta. Kematangan sesuatu bangsa pun dapat diasah hasil daripada medium ilmu yang semakin hari semakin maju. Kita yang berada dalam era Revolusi Industri 4.0 seharusnya lebih mahir dalam penggunaan teknologi untuk pemantapan ilmu dan sahsiah.

Namun seperkara perlu diingat, dalam pendidikan atau pengajian ilmu sastera seperti pengajian Islam dan cabangnya seperti pendidikan al-Quran, hadis, syariah dan usuluddin, ilmu itu bukan sahaja dipindahkan menerusi buku dan informasi, ia turut dipindahkan menerusi proses pembelajaran bersama pendidik, hubungan baik antara mereka, pengalaman secara langsung, pemerhatian, latihan berterusan dan lainnya.

Memahami perkara di atas, pengajian dalam talian juga perlu mencari alternatif untuk menghasilkan kesan yang hampir sama dengan pengajian bersemuka bagi menjamin matlamat utama pendidikan melahirkan manusia madani mental, jasmani dan rohani dapat direalisasikan.

Menjadi satu kemestian bagi setiap kursus yang ditawarkan di universiti untuk menyediakan kemahiran boleh pindah seperti kemahiran insaniah. Ia boleh diterjemahkan dengan kemahiran komunikasi dan menyelesaikan masalah. Kemahiran seperti ini tidak mudah untuk dipindahkan menerusi pembelajaran dalam talian. Bayangkan sekiranya graduan satu hari nanti tidak dilengkapi dengan kemahiran seperti ini sudah pasti kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin kecemerlangan mereka sebagai pekerja, majikan, pengurus dan juga anggota masyarakat.

Pembelajaran secara fizikal akan memberi ruang yang lebih kepada mahasiswa untuk berkomunikasi. Komunikasi yang betul adalah faktor utama pembentukan keyakinan diri, saling percaya dan timbang rasa bagi mencapai wawasan negara yang harmoni.

Pembelajaran secara fizikal atau konvensional adalah satu tradisi turun temurun yang melahirkan ramai ilmuwan dan ulama dalam pelbagai bidang. Kaedah ini terbukti keberkesanannya bagi mendidik, membimbing dan mentarbiah manusia menjadi generasi yang sempurna. Bertepatan dengan matlamat setiap institusi pendidikan tinggi yang ingin melahirkan ilmuwan dalam pelbagai bidang, pembelajaran secara fizikal masih menjadi wadah yang lebih dipercayai bagi memenuhi matlamat itu.

Dalam pengajian Islam, mendampingi guru adalah satu nasihat yang sering diingatkan kepada pelajar yang ingin mendapat kefahaman tinggi dan mendalam dalam disiplin ilmu.

Kisah ulama terdahulu mendampingi guru mereka seperti Imam al-Syafie dan Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Hammad menunjukkan betapa tingginya impak keilmuan yang diperoleh oleh pelajar menerusi pendampingan bersama guru.

Hubungan langsung guru dan murid mampu membentuk keperibadian pelajar beradab seperti menghormati guru, mengenal kemuliaan ilmu dan memuliakannya. Pendidikan secara bersemuka juga mengajar pelajar untuk lebih berusaha dan bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu serta menyempurnakan tugasan yang diberikan sekali gus mendidik mereka untuk merancang, berbincang, melakukan pencarian dan menganalisis topik yang diberikan.

Teknologi hanyalah alat bagi memenuhi keperluan manusia yang berubah mengikut zaman. Sekiranya, teknologi memiliki had dalam menjalankan fungsi asal pendidikan, pendidik dan pelajar perlu kembali kepada metode yang diwarisi sejak zaman dahulu terutamanya dalam bidang pendidikan yang menjadi tulang belakang negara bagi melahirkan rakyat yang produktif dan progresif.

Penulis Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 7:01 AM