Apabila teringat bayu pagi yang menyapa dengan awan hilir yang melanda berlatar belakang sawah dan pepohon rimbun dengan kehijauan, teringat suasana kampung halaman nun jauh di mata.
Mencari rezeki yang setengah abad berdagang di rantauan memang memenatkan dengan kesibukan lalu lintas yang membadai jiwa setiap hari dan hirupan asap lori yang kehitaman sangat memeritkan.
Apakan daya, itulah lumrah dan perjalanan sebuah kehidupan yang terpaksa ditanggung oleh anak dagang di perantauan. Setahun sekali atau dua kali, itu pun ketika raya menjelma, baru menjengah kampung dan orang tua jika masih hidup.
Memang seronok berkhayal dan terasa jika kaya menjelma atau Petronas jumpa telaga minyak di belakang rumah di kampung, amat indah duduk di kampung.
Biarlah tiada kedai serbaneka 24 jam atau kedai makanan segera atau liputan media massa dengan liputan talian komunikasi terhad, keadaan sebegitu amat menyenangkan bagi yang telah sedekad usianya.
Tetapi, bagi golongan muda mungkin tidak beranggapan demikian kerana masih tercari-cari hiburan terkini yang tiada di kampung yang sunyi.
Mengalir air mata apabila sesekali mengenang kisah zaman sebelum bersunat, mandi di sungai atau berkubang di sawah bendang dengan berlari bersama lintah dan pacat.
Namun, itu sudah tiada lagi, saat yang diidamkan semacam sudah tiada lagi dan yang tinggal hanya lipatan kenangan menghuni fikiran serta benak lubuk jiwa.
Apabila kerinduan melanda, apa yang boleh dibuat hanya mengenangkan saat indah yang sudah berlalu yang tidak mungkin dikecapi lagi.
Apa yang boleh kita sebagai insan biasa buat jika kerinduan membuak-buak teringatkan kampung halaman dan kenangan yang mengusik jiwa?
l Sudah semesti jika rindu membuak-buak, balik sahaja ke kampung dan nikmati suasana begitu dan duduk sejenak di tempat lama yang dikenangkan dan berehatlah seketika sambil melayan kenangan dengan penuh aman dan tanpa gangguan.
l Tenangkan jiwa dengan menampal gambar lama suasana di kampung atau pada zaman belum bersunat di satu ruang di rumah kita. Jenguk potret itu dan layan lagu sezaman dengannya, ada meruntun jiwa dan menyegarkan jiwa kita nanti.
l Buat satu sudut di dalam rumah kita dengan suasana semacam dengan rumah kita di kampung dengan mengambil gambar sebahagian latar belakang suasana rumah kita. Kewujudan latar belakang semacam suasana di kampung mungkin ada kesan pada kita jika mengamatinya dengan tenang dan bersungguh.
l Mengunjungi rakan sekampung yang seangkatan dengan kita sama ada berbual di kedai mamak atau beriadah bersama-sama di tepi pantai dan tempat sesuai sambil mengimbas kisah lalu.
l Duduk sejenak di bangku hadapan rumah, buka YouTube lagu zaman kita dahulu sambil mengimbau kembali kenangan indah kita. Tidak salah jika itu untuk membuat kita tenang dan kembali mengingatkan siapa kita sebenarnya dan dari mana asal usul.
l Mengunjungi atau makan di restoran ala kampung yang dibuat di bandar dengan suasana kampung dan masakan kampung serta ulam-ulaman walaupun bukanlah 100 peratus masakan air tangan arwah ibu kita. Paling penting, 'nakkan suasana saja'.
l Jangan sesekali kita lupa diri bahawa kita ada kampung. Jika sudah lama bermastautin di bandar dan hidup gaya serta budaya bandar, kita kenangkan kembali asal usul dan berpatah balik ke pangkal jalan bahawa kita anak kampung yang dibesarkan dalam suasana harmoni dan cukup sederhana.
Kembalikan semula asal usul kita dengan asas kental yang sudah ditanam sejak kecil, insya Allah, kita akan selamat dalam menempuh perjalanan hidup walaupun sesukar mana sekalipun di bandar besar serta ujian mendatang.
l Terbabit secara aktif dengan kumpulan WhatsApp, TikTok, Instagram dan Facebook atau mana-mana media sosial dari kampung supaya kita dapat mengetahui perkembangan terkini kampung. Sekali-sekala apabila tengok gambar atau update terkini, kita tahu perkembangan kampung yang dicintai, lihat dan komen atau luahkanlah pada pembaca media sosial supaya kita saling berhubung.
l Beriadah di kawasan yang seakan-akan suasana kampung kita bersama keluarga, mungkin perkhemahan di tepi sungai atau laut atau hutan yang akan membuatkan kita boleh mengeratkan hubungan keluarga di samping bercerita kepada anak mengenai suasana kita dibesarkan dahulu.
l Eratkan hubungan dengan mengadakan majlis kecil tidak kiralah hari jadi anak atau cukur jambul dan kita masak makanan kampung serta jemput saudara mara berdekatan atau kenalan kampung yang berdekatan untuk mengubat rasa rindu kepada kampung halaman.
l Menjadi sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) dengan membantu mangsa banjir, kempen kesedaran denggi, gotong-royong membersihkan surau/masjid atau kubur di kampung berdekatan dengan tempat tinggal kita. Cara ini akan mewujudkan suasana lebih baik antara kita dengan penduduk kampung berkenaan dan mengubat kerinduan kita pada kampung halaman sendiri.
Demikian antara tip apabila terlalu rindu kepada kampung sendiri. Sebetulnya, penulis pun rindu akan kampung halaman. Kesedihan terpancar apabila balik kampung, tetapi ada penduduk atau masyarakat kampung yang tidak mengenali kita dan bertanya: "Pak cik nak ke mana, rumah siapa"?
Semoga kita semua hidup dalam ketenangan walau di mana berada dan perlulah turut berpegang kepada konsep 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.
Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor