Jumaat lalu, industri hiburan hangat dengan kisah anak perempuan pasangan pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi yang didakwa menjadi 'pengganggu' rumah tangga orang.
Walaupun gadis itu, Marissa Dania Hakim, 18, tampil di Instagram mengakui kesilapan yang mungkin tidak sepenuhnya dia bersalah, namun pelbagai komen diberikan netizen berhubung isu ini.
Apatah lagi, yang nampak tidak manis itu adalah gadis belasan tahun jadi 'orang ketiga' dalam rumah tangga wanita lain sehingga bercerai dan ibu bapanya pula selebriti yang dikenali ramai. Maka, tular kisah mereka di sana sini dan diperkatakan tanpa henti.
Malah, ada antara komen netizen mendakwa sukarnya menjaga anak perempuan di zaman sekarang. Ditambah, dalam dunia pengaruh teknologi yang semakin pesat ketika ini, tidak semua perkara mampu dipantau rapi oleh ibu bapa.
Ada benar juga betapa tanggungjawab sebagai ibu bapa pada ketika ini sangat berat. Banyak aspek perlu diambil kira dan memahaminya kerana anak-anak sekarang sangat 'advance' serta matang berbanding usia.
Dalam isu Marissa ini, pihak lelaki juga ada silapnya apabila membuka ruang melayan walaupun sudah beristeri. Ia umpama pepatah 'bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi' dan pasti ada 'layan-melayan' antara keduanya.
Perkara membabitkan perasaan agak mudah dicuit. Apatah lagi pasangan berkahwin yang kurang memahami apa itu ilmu asas dalam rumah tangga yang dipelajari ketika mengikuti kursus pra-perkahwinan yang pernah diikuti.
Pendakwah bebas yang juga juara Imam Muda musim kedua (IM2), Hassan Adli berkata, kepincangan dalam rumah tangga pasangan berkahwin terjadi bergantung situasi seperti kurangnya ilmu pengetahuan terhadap sesuatu perkara.
"Sebagai contoh seorang suami enggan ceraikan isterinya secara fasakh, namun hakim yang buat keputusan itu dan dia tak puas hati bercerai. Tapi, apabila diselidik dia mengaku pula pernah 'terpukul' isteri ketika bertengkar.
"Dia ada menghentak kepala isterinya ke dinding, tapi dianggap itu benda biasa berlaku ketika suami isteri bertengkar. Sebenarnya, kekasaran dalam rumah tangga adalah satu kesalahan.
"Walaupun hentak kepala itu didakwa sedikit, tapi apabila isteri buat aduan ke mahkamah, maka ia akan diambil kira oleh hakim sebagai bukti kukuh. Jadi, diingatkan kepada suami-suami kenalah ada ilmu," katanya.
Hassan berkata, dia mendapati ada kalanya mereka yang hadir mengikuti kursus pra-perkahwinan itu hanya untuk dapatkan sijil bagi melayakkan bernikah tanpa benar-benar faham mengenai ilmu munakahat (nikah) yang diajarkan.
"Saya faham kadang-kadang apabila peserta (bakal pengantin) yang menghadiri kursus kahwin berkenaan, mereka bukan nak belajar sangat tapi sebab nak dapatkan 'lesen' (sijil) untuk berkahwin, itu saja.
"Sebenarnya dalam kursus pra-perkahwinan itu diajarkan bermacam ilmu pendidikan walaupun ia asas, tapi betul-betullah fokus pada setiap apa yang diajarkan. Namun, memang ada segelintirnya yang culas," katanya.
Hassan berkata, realiti yang perlu sedia dihadapi pasangan berkahwin sama ada muda atau berusia dewasa ialah pasca perkahwinan yang 'kritikal' apabila masing-masing pasangan harus ada inisiatif untuk tambah ilmu pengetahuan.
"Antaranya ilmu komunikasi, ilmu kenal personaliti pasangan iaitu cara fikir masing-masing macam mana, ilmu Fardu Ain pun nak kena kuat, sebab kalau benda itu (ilmu) 'solid', insya-Allah semua dipermudahkan," katanya.
Hassan berkata, ilmu pengetahuan penting dalam mempertahankan perhubungan dan berusahalah belajar dapatkan ilmu itu agar perkahwinan dibina dengan pasangan lebih harmoni dan utuh berkasih sayang.
Sebagai manusia biasa, saya melihat kita yang membuat pilihan dalam hidup. Jadi, sekiranya pilihan dibuat dengan berbekalkan ilmu pengetahuan, insya-Allah tidak tersasar. Namun, jika mengikut nafsu dan kata hati, tanggung sendiri akibatnya.
Tidak perlu menuding jari kepada orang lain atau cuba menegakkan benang basah atas kesalahan yang kita lakukan. Sesungguhnya, mengaku kesilapan itu lebih baik dan dihormati walaupun ego diri tercabar.
Tahniah pada Marissa kerana berani mengaku kesalahan dibuat. Semoga apa yang berlaku itu memberikan iktibar kepadanya untuk memperbaiki diri. Pada kita semua, jangan leka dan jadikan ini sebagai pengajaran juga.
Penulis wartawan hiburan Harian Metro