Jika orang minat mengembara, pastinya mempunyai destinasi yang mahu mereka lawati. Penulis ada dua tempat yang mahu dilawati apabila sudah mempunyai pendapatan sendiri. Lebih dua dekad kemudian, dua tempat ini masih tidak dapat lawati.
Namun, ada juga destinasi yang kita tidak sangka akan dapat dilawati. Bagi penulis, destinasi seperti ini adalah Glasier Franz Josef di wilayah Pantai Barat, New Zealand. Ini kerana seumur hidup penulis tidak pernah terbayang atau menjangka akan menjejakkan kaki di glasier. Sama sekali juga tidak terfikir akan melakukan aktiviti itu di New Zealand.
Tambahan pula, apabila bercakap mengenai glasier, ramai terbayang ia terletak di puncak gunung.
Sebenarnya, sudah lama penulis ingin menulis mengenai Glasier Franz Josef ini. Namun, hasrat ini sering kali tertangguh kerana ia adalah percutian, dan bukannya tugasan. Ia sehingga penulis baru-baru ini terbaca mengenai glasier di Puncak Jaya, antara tujuh gunung tertinggi di dunia, yang sebenarnya terletak di Papua, wilayah paling barat di Indonesia. Berita itu kembali mengingatkan penulis mengenai Glasier Franz Josef.
Penulis berpeluang ke glasier ini ketika melawat New Zealand pada 2011. Ya, lawatan itu sudah lebih 10 tahun. Namun, memandangkan ia boleh dikatakan pengalaman sekali seumur hidup, penulis mahu berkongsi mengenainya pada artikel kali ini.
Ketika itu, AirAsia X baru sahaja melancarkan laluan Kuala Lumpur ke Christchurch. (AirAsia X sudah tidak mengoperasikan laluan itu, sejak Mei 2012). Lawatan ini bersama tiga lagi rakan penulis. Semuanya pun tidak begitu mengetahui tempat yang akan dilawati di negara ini. Apa yang kami tahu apabila membayangkan New Zealand ketika itu, hanyalah lembu, padang rumput dan lokasi filem The Lords of The Rings.
Seingat penulis juga, kunjungan kami tidak lama selepas gempa bumi di Christchurch pada Februari 2011.
Christchurch yang menjadi pintu masuk bagi pelawat dari Kuala Lumpur yang menaiki pesawat AirAsia X juga sebenarnya terletak di pulau selatan. Auckland, yang menjadi ibu negara New Zealand pula di pulau utara.
Cara paling jimat dan mudah untuk mengembara ke seluruh New Zealand - pada masa itu - adalah dengan bas hop-on hop-off. Ia sama seperti bas hop-on hop-off yang dinaiki pelancong di Kuala Lumpur. Bezanya, ia bergerak dari satu bandar ke bandar lain mengelilingi seluruh pulau.
Dengan pas fleksibel bas hop-on hop-off ini, kami diberikan baucar untuk penginapan di asrama belia. Selain itu, kami hanya perlu memastikan kami dapat pulang semula ke Christchurch, sekurang-kurangnya sehari sebelum tarikh berlepas pulang ke tanah air.
Kami tiba di Taman Negara Tai Poutini yang menjadi lokasi Glasier Franz Josef, selepas singgah di pekan atau bandar kecil seperti Kaikoura, danTekapo, serta bandar Queenstown. Ada hanya beberapa asrama berhampiran pejabat negara ini. Petang hari sama, kami sudah dibawa untuk menyertai pendakian di Glasier Franz Josef.
Selepas taklimat, kami diberikan baju khas berwarna biru dan but khusus untuk mereka mendaki di kawasan berais. Melihat pakaian but berkenaan, penulis sudah cuak. Apatah lagi, pemandu pelancong berpesan sampai pada ketinggian tertentu, kami perlu memasang 'grip' pada but untuk cengkaman tambahan bagi mengelak tergelincir di ais.
Kami juga diingatkan untuk memakai pakaian sesuai dan tidak memakai seluar jeans. Ini kerana ais di kawasan glasier ini setiasa mencair. Jadi apabila terkena baju dengan fabrik tertentu seperti jeans, ia akan menyebabkan ketidakselesaan kerana ia cepat basah dan menjadi berat.
Kami kemudian dibawa dengan van sebelum tiba di kawasan glasier. Dari jauh, glasier ini tak ubah seperti air yang melimpah dari bekas takungan dan membeku di luar bekas. Senang cerita, seperti yang anda lihat apabila membuka bahagian sejuk beku dalam peti ais lama.
Sesuai juga dengan nama pakej yang kami sertai - Franz Josef Walk - kami bukannya betul-betul mendaki, sebaliknya melalui laluan dari bawah bukit sehingga sampai di ketinggian 750 meter (m). Sebenarnya, selepas berjalan kira-kira 15 minit, kami diarahkan menanggalkan pakaian khas tadi. Rupa-rupanya pakaian itu adalah persediaan, jika hujan.
Kami hanya perlu mengikut trek yang sudah disediakan pemandu pelancong. Ada tempat tertentu terdapat gua-gua terbentuk. Pengunjung juga boleh masuk dan keluar di gua-gua ini. Di sepanjang perjalanan, air tak henti-henti keluar dari glasier ini.
Selepas hampir satu setengah jam, kami tiba di kawasan terminal face pada ketinggian 750 meter. Ia merujuk lokasi lebih banyak ais berbanding di bawah, kawasan lebih banyak ais mencair. Dari sini, kami perlahan-lahan kembali ke bawah bukit. Perjalanan naik dan turun mengambil masa tiga jam.
Lawatan glasier ini mengingatkan penulis mengenai rezeki. Dalam hidup, tidak semua benda kita hajati akan kita peroleh. Penulis mungkin tidak sampai ke dua destinasi idaman, tetapi mungkin digantikan-Nya dengan benda yang lebih baik dengan lawatan ke glasier ini.
Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro