FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Sudah acap kali dunia menyaksikan kesan dan akibat apabila agama dan kaum dimanipulasi serta dieksploitasi demi kepentingan kelompok tertentu tanpa menafikan ia menjadi kekuatan peradaban silam hingga kemajuan negara moden sekiranya difahami dan dimanfaatkan secara benar.

Namun dalam minda songsang dan di tangan salah, ia menjadi detik hitam dalam lipatan sejarah dunia, daripada kekejaman rejim Nazi di Jerman hingga Zionis Israel dan kebangkitan neonasionalisme mutakhir ini dikaitkan dengan perkauman, Islamofobia serta xenofobia; daripada penghapusan etnik di Rwanda hingga Bosnia-Herzegovina atau daripada Tentera Salib di Eropah hingga al-Qaeda dan Daish di Asia Barat serta Afrika Utara.

Malangnya, Malaysia tidak terkecuali daripada gejala ekstremisme agama dan kaum meskipun pada skala lebih 'sederhana' tetapi kesannya tetap melangkau lebih dua generasi daripada isu Amanat Haji Hadi yang membawa kepada tuduhan kafir-mengkafir, pelaksanaan solat Jumaat berasingan, perpecahan dan pemulauan masyarakat atau perjuangan golongan cauvinis terhadap kepentingan kaum tertentu hingga menimbulkan ketakutan tidak berasas kepada simbol dikaitkan dengan Islam atau Melayu.

Bahkan, Malaysia pernah mengalami titik hitam dalam sejarah modennya, iaitu Peristiwa 13 Mei pada 1969 apabila retak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-3 (PRU3) menjadi belah hingga mencetuskan rusuhan kaum mengorbankan nyawa dan merosakkan harta benda awam serta kerajaan, sekali gus menjadi sempadan paling jelas terhadap bahaya kedua-dua isu ini disalah guna.

Kita mengakui banyak pihak memiliki saham dalam memarakkan api ekstremisme agama dan perkauman ini, tetapi pemain paling dominan dan mendapat laba lebih banyak adalah ahli politik kerana ia mewujudkan ketaasuban kepada penyokong dan mencetuskan ketakutan terhadap lawan yang akhirnya dapat ditukar nilai kepada undi.

Contoh mudah baharu saja kita saksikan apabila seorang pemimpin parti pembangkang mengeluarkan hukum haram mengundi calon parti lawannya meskipun tidak memiliki autoriti dan keilmuan agama.

Ini bukanlah insiden terpencil, sebaliknya sebahagian siri manipulasi dan eksploitasi isu agama serta kaum yang semakin parah terutama pada PRU-15 lalu apabila kedudukan Islam, hak dan keistimewaan orang Melayu dan rumah ibadat bukan Islam dianggap terancam serta label menghina terhadap kelompok berbeza termasuk Taliban dan komunis digembar-gemburkan sama ada dalam mahupun luar kempen pilihan raya.

Malah, gejala ini tidak hanya terbatas kepada pemimpin parti politik, bahkan sudah melarat kepada peringkat akar umbi dan penyokong biasa yang kita yakin dialami sendiri setiap rakyat Malaysia dalam kumpulan WhatsApp dan Telegram sesama keluarga, jiran tetangga, kariah, rakan taulan dan pejabat serta media sosial daripada Facebook dan Twitter hingga platform video seperti TikTok.

Pemimpin politik sepatutnya menarik masyarakat untuk sama-sama membangunkan negara demi kepentingan mereka, malangnya bertindak menyeret orang awam kepada isu hukum agama atau kaum dan tuduh-menuduh antara satu sama lain yang akhirnya hanya mengundang sengketa.

Apa yang berlaku hari ini pastinya tidak terlintas dalam pemikiran generasi yang bersusah payah mencapai kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, bahkan sama sekali bertentangan hakikat perjuangan memerdekakan serta membangunkan negara ini yang menyaksikan semua kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak sama-sama menumpahkan keringat dan darah.

Menyedari realiti bahaya dihadapi negara dan rakyat, Sidang Pengarang BH, New Straits Times (NST) dan Harian Metro (HM) berpandangan manipulasi dan eksploitasi unsur agama serta kaum sudah keterlaluan dan ke tahap melampau, malah boleh dianggap 'menunggang' untuk kepentingan politik jangka pendek tanpa menghiraukan kesan buruk yang telah kelihatan.

Tambah membimbangkan selepas ini kita akan menghadapi satu demi satu pilihan raya negeri (PRN) bermula di Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak sebelum bertemu sekali lagi dengan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan PRN baki negeri lain dalam keadaan ahli politik menganggap mereka bebas melontarkan apa saja dakwaan serta tohmahan, termasuk memanipulasi dan mengeksploitasi agama serta kaum.

Justeru, kami mendesak pihak berkuasa, terutama polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas, termasuk menyegerakan penyiasatan dan menyelesaikan kertas siasatan untuk dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan perundangan sama pantas seperti kes membabitkan pengguna media sosial dalam kalangan orang biasa yang menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) di akaun peribadi mereka.

Kami tidak mahu timbul persepsi wujud dua kluster, iaitu kayangan dan marhaen dalam penguatkuasaan undang-undang yang antara lainnya berpunca daripada masyarakat melihat kes membabitkan pemimpin kanan parti seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng dan Dr P Ramasamy hanya berlegar dalam frasa 'masih dalam siasatan' atau terhenti kepada 'keterangan sudah diambil' tetapi kes seolah-olah tergantung tidak bertali.

Dalam ruangan khas disiarkan di ketiga-tiga akhbar ini, kami berpendapat sudah sampai masa untuk menamatkan segala karut-marut politik ini serta-merta dengan semua parti politik tidak kira anggota komponen Kerajaan Perpaduan mahupun parti pembangkang duduk semeja mencari kata sepakat dengan menandatangani memorandum persefahaman dan menyenaraikan batas Perlembagaan yang tidak boleh dilangkaui dan tuntutan demokrasi yang perlu dihormati.

Menyedari tindakan menyerahkan ahli politik untuk mencari penyelesaian ibarat si rabun memimpin si buta, kami meminta Raja-Raja Melayu memayungi 'proses damai' dan 'gencatan senjata' ini dengan menjadikannya sebagai agenda penting dalam Mesyuarat Raja-Raja dibantu ilmuwan amanah kepada ilmunya termasuk mufti, pemimpin agama, sarjana serta budayawan.

Selepas persefahaman dan persetujuan dicapai, kami yakin kerajaan dapat memberikan tumpuan penuh kepada usaha pemulihan negara terutama ekonomi, pendidikan, kesihatan dan hubungan sosial, manakala pembangkang dapat melaksanakan fungsi semak dan imbang, selain turut sama memberikan pandangan kritis dan membina.

Kami percaya tidak ada jalan lain dalam menyelesaikan kemelut dan konflik politik yang diparahkan oleh manipulasi serta eksploitasi agama dan kaum ini dalam keadaan kita berhadapan era pergolakan, ketidakpastian, kompleks dan kekaburan (VUCA) kecuali dengan kaedah setiap kusut di hujung, ia dibawa ke pangkal.

Dengan cara itu saja, barulah Malaysia boleh meredah gelombang besar melanda dunia mutakhir ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 7:02 AM