GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Nikmat kemerdekaan adalah antara nikmat terbesar yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia. Secara nalurinya manusia tidak suka kepada kongkongan dan juga keterbatasan yang mengganggu kebebasannya sebagai manusia yang diciptakan Allah SWT dengan potensi dan hak yang sama untuk mendapat segala kelebihan yang dijadikan Allah SWT di atas muka bumi ini. Oleh itu, apabila merasa terkongkong mereka akan berusaha sedaya upaya untuk melepaskan diri daripada sekatan dan batasan tertentu sebagaimana perjuangan untuk membebaskan negara kita daripada penjajahan.

Sesungguhnya setiap warganegara Malaysia telah merasai nikmat kemerdekaan hasil daripada titik peluh pemimpin terdahulu yang berjuang dan berusaha dengan segala daya dan kebijaksanaan untuk menuntut kemerdekaan. Hasilnya, pada hari ini kita melihat dan menyaksikan bagaimana rakyat negara ini hidup aman damai dan harmoni. Perpaduan antara kaum juga ternyata pada tahap terbaik dan setiap kaum saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Bahkan, semua berusaha untuk mengisi kemerdekaan dengan komitmen yang tinggi tanpa mengiri bangsa dan agama.

Dalam konteks Islam, merdeka yang sebenar ialah apabila manusia diberikan ruang seluasnya untuk mentaati Allah SWT dengan penuh kebebasan. Oleh itu, kita diminta untuk menyebarkan kebaikan ini kepada seluruh manusia, Bahkan, perkataan yang paling baik ialah mengajak manusia (berdakwah) kepada jalan Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah daripada orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)." (Surah Fussilat, ayat 33)

Namun, dalam Islam juga pada masa yang sama diletakkan batasan yang tidak boleh dilangkaui. Setiap aspek kehidupan manusia mestilah berlandaskan kepada syariat Islam dan berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Bebas dan merdeka dalam agama Islam adalah berlandaskan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan Allah. Sekiranya kebebasan tidak dikawal dengan peraturan ia akan membawa salah guna nikmat kebebasan. Betapa banyak berlaku dalam masyarakat pihak yang sentiasa menyalahgunakan kebebasan sehingga meruntuhkan dasar yang asalnya dibina teguh dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Orang A'raab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum Syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 97)

Menjadi tanggungjawab besar setiap Muslim mengajak manusia lain kepada jalan Allah SWT. Umat Islam diajar agar sentiasa berdakwah supaya manusia menerima Allah SWT sebagai Pencipta yang wajib disembah. Mereka tidak sahaja mengingatkan sesama Muslim bahkan mengajak seluruh manusia kepada jalan yang benar. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dia jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-Nahl, ayat 125)

Jika kita kembali kepada asas sebenar konsep merdeka ialah apabila manusia telah kembali kepada fitrah. Manakala maksud fitrah secara umumnya ialah agama Islam. Bermakna, manusia dikira merdeka apabila dia bersih daripada syirik atau pengabdian kepada selain daripada Allah SWT. Oleh itu, Rasulullah SAW telah menegaskan perkara tersebut kepada semua ibu bapa agar membentuk anak-anak mereka supaya kekal suci (daripada syirik). Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkanya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Hadis Riwayat Bukhari)

Pada masa ini antara pengajaran yang besar untuk kita fahami dalam pengahayatan terhadap kemerdekaan ialah rakaman sejarah yang telah berlaku kepada Rib'i bin 'Amir ketika bertemu Rustum, pemimpin Parsi. Antara kata-kata beliau: "Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki daripada perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, daripada kesempitan dunia kepada keluasannya, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka sesiapa yang menerima perkara tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi sesiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya sehinggalah kami berjaya memperoleh apa yang dijanjikan Allah SWT." (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/623)

Berdasarkan kata-kata di atas jelaslah bagi memerdekakan manusia ialah dengan mengeluarkan mereka daripada kongkongan sesama manusia.

Tegasnya, maksud sebenar kemerdekaan ialah apabila wujud kebebasan untuk melaksanakan agama Islam dan selamatnya manusia daripada syirik, bebasnya manusia tanpa kongkongan dan mereka mendapat keadilan. Umat Islam yang merdeka dengan makna sebenar apabila mereka berada di atas landsan fitrah yang suci.


Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 6:00 AM