FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Anggaran putaran masa waktu bekerja dalam hidup kita antara 30 hingga 40 tahun.

Jika Allah SWT menganugerahkan umur panjang, kita akan menghabiskan sisa hidup di alam pencen apabila kudrat tidak ada lagi dan alam pekerjaan sudah ditinggalkan.

Sifir senang ini diambil kira pencen pada usia 60 tahun, tidak kira sama ada bidang pekerjaan awam atau swasta.

Jika sebagai pekerja atau pada waktu bekerja boleh mencecah di garisan penamat iaitu berpencen dalam keadaan masih sihat dan masih bertenaga, Alhamdulillah. Tetapi ramai juga yang sudah meninggal dunia dan ada juga yang sakit pada usia begini.

Bersyukurlah sebab kita masih mempunyai kerja, tidak kira B40 atau kelas terendah sekali, yang penting kita dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan cara kita dan acuan yang membahagiakan kita.

Penulis ingin mengupas mengenai garis panduan untuk kesenangan diri dalam menempuh alam pekerjaan, baik yang baharu mula bekerja atau dalam keadaan pertengahan atau sudah masuk ke garisan pencen.

Apa yang penulis ingin tekankan ialah sesuaikan diri di tempat kerja, persekitaran kerja, permasalahan kerja, semangat kerja dan yang paling penting, hubungan baik dengan pihak atasan di tempat kita bekerja. Paling penting dan mustahak, pandai membawa diri mengikut gelombang, onak duri dengan erti kata yang paling senang run on the right track.

Jangan sesekali melanggar batu atau tembok atau dalam erti kata paling senang difahami, 'jangan lawan bos' atau pihak atasan.

Perbuatan seumpama itu bukan sahaja akan menyusahkan diri dan yang paling malang akan menggelapkan masa depan. Pepatah senang difahami, 'jangan seperti anjing menyalak bukit.' Bukit dengan gah terus berdiri tidak akan memberi kesan apa-apa atau seseorang yang menentang orang besar yang berpengaruh tidak sedikit pun terguris situasinya dalam apa cara sekalipun, tetapi kita sendiri yang akan rugi apabila tidak dipandang atau dibenci mereka.

Tidak kira siapa kita atau apa pekerjaan yang dilakukan atau ceburi sekarang sama ada pekerjaan di peringkat pelaksana, penyelia, pentadbir atau pengurusan tertinggi haruslah kita berada dalam ruang lingkup sahaja. Maksud penulis apabila kita yang bekerja sebagai pelaksana di peringkat paling bawah, kita kena akur dengan ruang lingkup pada masa dan saat itu.

Sehinggalah pada masa akan datang apabila mungkin kita dinaikkan pangkat dan akan berada di tahap tertinggi, tetapi jangan lupa akan ada yang lebih tinggi daripada kita.

Mana mungkin seorang pelaksana (peringkat paling bawah) hendak memberi idea atau arahan atau membantah apa yang diarahkan oleh peringkat lebih atas daripadanya. Begitulah seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi.

Apa yang perlu kita buat adalah memahami bidang tugas dalam keadaan dan waktu kita saja dan jangan sesekali 'menyalak' bukit kerana buruk padahnya walaupun kita mempunyai idea yang lebih tinggi daripada pihak atasan untuk mencari keuntungan syarikat atau untuk memajukan jabatan atau kementerian kita.

Bila kita menyalak bukit, padahnya akan kita tempuhi nanti. Mana mungkin peringkat tertinggi akan menerima pandangan dan pendapat kita walaupun apa yang kita luahkan atau lontarkan benar dan betul.

Sudah semestinya sikap manusia tidak dapat membuang ego yang pada tahap dan kedudukan pangkat serta persekitarannya, tidak akan boleh menerimanya dalam apa jua keadaan sekali pun. Lebih malang, kita akan dicop melawan atau ingkar arahan mereka. Masalah itu akhirnya berbalik kepada kita dan akibatnya memakan diri apabila tidak dinaikkan pangkat, tidak diberi bonus dan mungkin diberhentikan kerja. Padah menyalak bukit antaranya boleh menyebabkan:

• Pada diri sendiri.

Akan dicop penentang dalam organisasi dan akan dipulaukan oleh ketua dan akan bekerja dalam situasi tidak harmoni lagi.

• Persekitaran kerja yang tidak baik. Apabila kita sudah dianak tirikan dalam jabatan atau organisasi, mutu kerja dan kualiti kerja kita akan menurun dan bekerja dengan tidak bersemangat.

• Pergaulan akan terbatas.

Walaupun apa yang kita katakan betul dan pihak syarikat atau jabatan tidak menerima, ramai yang tidak mahu berkawan dengan kita lagi akibat takut dicop sekutu kita. Jadi, kita perlu faham situasi itu kerana sahabat kita turut mempunyai anak isteri dan keluarga yang mahu ditanggung dan tidak mahu masa depan mereka gelap kerana kita.

• Kesan psikologi.

Apabila kita sudah semacam bangkai bernyawa tidak dipedulikan lagi ini akan memberi kesan mendalam pada pemikiran, suasana yang tidak harmoni yang akan membuatkan kita stres, bosan dan menyebabkan kemurungan melampau.

Apa yang perlu dibuat apabila sudah terlanggar batu dan mahu menjernihkan balik keadaan atau dalam erti kata lain, 'berlari semula seiring dengan waktu bersama rakan-rakan.'

• Minta maaf secara peribadi kepada pihak atasan kita atau yang mana hatinya pernah kita sakiti walaupun pahit untuk berbuat demikian. Jika terpaksa berpura-pura menitis air mata atau mengangguk beribu kali pun, lakukanlah demi masa depan kita dan berjanji tidak akan buat lagi atau mengulangi lagi apa yang pernah atau sedang kita buat sehingga tidak disenangi pihak tertentu.

• Minta maaf secara terbuka kepada seluruh tenaga kerja yang kita jalani sama ada melalui perjumpaan atau mesyuarat yang kita hadiri dan mengakui kekhilafan itu.

• Bergaul secara positif semula dengan rakan sekerja.

Jika kita merasakan tindakan yang dilakukan itu betul dan ketua syarikat atau organisasi itu salah, kita tidak boleh berbuat tiga perkara di atas, sebaliknya berhentilah kerja atau mencari kerja lain. Buat apa kita hendak menyusahkan diri dalam permasalahan yang akan timbul nanti.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 6:15 AM