Tahun lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan memaklumkan capaian isi rumah di Malaysia dengan internet meningkat kepada 96 peratus pada 2022 berbanding 94.9 peratus pada 2021.
Pada 2021, DOSM juga menerbitkan satu laporan iaitu Penggunaan dan Capaian ICT Dalam Kalangan Individu dan Isi Rumah yang menyaksikan 98.2 peratus responden yang ditanya mengakui mereka memiliki telefon pintar.
Cuba bayangkan anda hidup tanpa telefon pintar dan internet? Anda juga tidak memiliki e-mel dan tidak ada akses ke Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram dan segala kemudahan dalam talian yang lain.
Silap hari bulan boleh jadi murung, jiwa kacau dan macam-macam lagi yang bisa buat kita umpama siang terkenang-kenang, makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah, berminyak tak licin!
Namun, ini bukan masalah buat seorang lelaki berusia 50 tahun yang menetap di Batu Gajah, Perak.
Namanya Hamidi Harun dan dia tidak ada semua itu. Di rumah Hamidi yang juga sahabat baik saya sejak bersekolah rendah dan rakan sekampung itu tidak ada wi-fi, tidak ada komputer riba dan tidak ada TV pintar.
Dia yang masih bujang dan tinggal bersendirian sejak ibunya meninggal dunia beberapa tahun lalu itu cuma ada telefon jenama Nokia (saya tidak pasti model apa). Dia juga kerap diusik dengan mengatakan telefon itu hanya boleh dijadikan penyendal pintu.
Itu saja alat komunikasinya. Selain boleh menelefon seperti biasa, dia hanya boleh dihubungi menerusi SMS. Bila kali terakhir anda menghantar SMS? Mungkin anda juga sudah lupa.
Situasi ini menjadikan Hamidi seorang yang unik dan tersendiri. Dari satu sudut, kehidupannya lebih tenang berbanding kita yang pastinya akan seperti kucing hilang anak dan tak keruan jika telefon hilang atau tertinggal di rumah.
Iyalah, semuanya ada dalam telefon. Urusan berkaitan pekerjaan, perbankan hinggalah rahsia peribadi!
Namun, Hamidi bukanlah kolot atau hidup seperti katak bawah tempurung. Dia tahu apa yang berlaku di sekelilingnya dan di dunia. Cuma dia tidak seperti kita, aktiviti 'segala-galanya di hujung jari' tiada dalam kehidupan sehariannya.
Pendek kata, Hamidi seolah-olah menjalani kehidupan sehariannya seperti di era 1980-an atau 1990-an ketika telefon pintar dan internet belum wujud.
Namun, kelebihan Hamidi ialah dia mempunyai ramai kawan. Perwatakan kelakar, selamba, menghormati dan suka membantu orang membuatkan ramai suka berkawan dengannya.
Malah, kawan-kawan yang melepak dengannya seronok kerana akan ketawa sepanjang masa dengan lawak-lawaknya.
Biasanya, kawan-kawan yang meliputi pelbagai peringkat umur inilah yang membuatkan Hamidi tidak 'ketinggalan' dalam kehidupan serba moden sekarang.
Seperkara lagi, dia boleh melaluinya kerana bidang pekerjaannya tidak memerlukan semua itu. Di kampung itu, dia menguruskan warung peninggalan ibunya dengan menjual minuman di samping membantu kakaknya yang berniaga roti canai dan sarapan di warung yang sama.
Di samping itu, dia mahir melakukan kerja pendawaian elektrik serta kerja-kerja kampung seperti menebang pokok, menebas rumput dan menggali kubur.
Beberapa kali juga saya bertanya kenapa tidak mahu memiliki telefon pintar, internet dan sebagainya. Katanya, dia lebih selesa dengan kehidupan sekarang. Dia juga tidak rasa rugi atau terlalu ketinggalan.
Menurut Hamidi, ramai kawan-kawannya mahu membelikan telefon pintar untuknya, tetapi dia menolak dengan baik.
Entah kenapa, dia merasakan semua itu tidak penting dalam hidupnya. Saya boleh mengagak dia rimas dengan 'ketagihan' terhadap telefon pintar dan internet seperti yang dialami kebanyakan masyarakat kita hari ini.
Contohnya, satu kajian oleh penyelidik di Universiti McGill, Kanada yang diterbitkan dalam jurnal Computers in Human Behavior tahun lalu mengenai ketagihan terhadap telefon pintar menyaksikan Malaysia berada di tempat ketiga di belakang China dan Arab Saudi.
Untunglah Hamidi kerana tidak termasuk dalam 'golongan' itu.
Saya tidak tahu sampai bila Hamidi boleh bertahan dengan kehidupan sebegitu. Namun, setakat ini dia membuktikan 'berjaya' mengharunginya tanpa masalah, malah selesa dengan kehidupan begitu.
Penulis Pengarang Hiburan, Harian Metro