Perubahan iklim bukan sekadar sebuah ilmu teori, tetapi kejadian nyata dan kian dirasai penduduk bumi seperti peristiwa cuaca melampau, kenaikan paras laut dan gelombang haba.
Dari segi sainsnya juga amat jelas, bukan baharu, tetapi sejak berdekad lamanya lagi. Pelbagai data dan statistik yang dihasilkan saintis dunia begitu eksplisit menunjukkan bahawa jika tindakan cekap tidak diambil dengan segera, bumi ini tidak akan boleh diduduki lagi seawal masa kurang dari lima puluh tahun dari sekarang seperti yang dilaporkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa).
Ia selari dengan pernyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres, baru-baru ini bahawa 'era pemanasan global telah berakhir, era mendidih global telah tiba.' Hakikatnya kita sudah lama mengetahui bahaya perubahan iklim dan lama bersedia untuk bertindak, namun apa yang menghalang adalah kesanggupan dan kesungguhan diri sendiri.
Kini, kita berada di persimpangan jalan yang memerlukan sebuah pilihan bijak. Tema Hari Belia Antarabangsa PBB tahun ini, 'Kemahiran Hijau untuk Belia' amat sinonim dengan keperluan untuk melahirkan generasi muda dengan pengetahuan dan kepakaran untuk mengubah masa depan kita, menuju kelestarian alam dan kelangsungan bumi yang diwarisi.
Kemahiran hijau merangkumi kepakaran dan pengetahuan teknologi bersih, pengurusan sumber dan amalan lestari. Pekerjaan yang dapat dihasilkan dengan kemahiran hijau ini pula termasuk pelbagai profesion bertujuan mempromosikan kelestarian alam sekitar dan menangani perubahan iklim yang ada dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan, tenaga boleh diperbaharui dan banyak lagi.
Daripada juruteknik tenaga boleh diperbaharui dan arkitek eko kepada penganalisis kelestarian dan petani organik yang berfungsi untuk meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan pencemaran, mengehadkan pelepasan gas rumah hijau dan menyokong pemulihan ekosistem dengan mengutamakan kesihatan planet berbanding keuntungan jangka pendek.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menekankan bahawa ia penting untuk menyerlahkan bahawa aspek 'hijau' bukan semata-mata mengenai produk akhir sahaja, tetapi juga membabitkan penggunaan proses pengeluaran yang mesra alam seperti mengurangkan penggunaan air atau meningkatkan kecekapan sistem kitar semula seterusnya membentuk sebuah negara yang maju selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan.
Sektor industri di negara ini sudah lama dikaitkan sebagai punca kemerosotan alam sekitar akibat pembangunan dan penggunaan sumber secara tidak mampan. Industri boleh dan mesti, beralih ke arah membuat keputusan termaklum, amalan mampan dan pekerjaan kolar hijau yang memacu kemajuan tanpa merosakkan bumi dan khazanahnya.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu pernyataan, baru-baru ini menyatakan bahawa industri perlu mencari jalan untuk meningkatkan amalan lestari dan menggesa sektor perindustrian di negara ini untuk mula memainkan peranan lebih besar dalam memerangi perubahan iklim dengan menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke arah memacu ekonomi hijau. Tanggungjawab korporat seharusnya melangkaui margin keuntungan.
Dengan mempromosi pemacuan ekonomi mampan, dapat mengurangkan kemerosotan alam sekitar sambil memupuk pertumbuhan ekonomi negara ke arah
yang lebih lestari.
Bagaimanapun, transformasi ini bukan tanggungjawab pemain industri sahaja. Kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dengan memperkasakan rangka kerja dasar dan polisi sedia ada serta sokongan dari segi kewangan dan mekanisme untuk mewujudkan ekosistem yang membolehkan pekerjaan hijau berkembang di negara ini.
Secara ringkas, pemain industri memerlukan dorongan, manakala masyarakat Malaysia khususnya belia memerlukan tarikan ke arah pemerkasaan ekonomi hijau ini.
Dalam era serba moden, anak muda perlu juga sedar bahawa kemahiran hijau adalah keperluan asas kehidupan bagi setiap manusia sekecil-kecil mana sekalipun usaha kita untuk memastikan kelangsungan bumi ini terus terpelihara.
Antara beberapa cara kita boleh mengasah kemahiran hijau dalam diri adalah dengan menyertai latihan atau program perantisan bersama organisasi yang komited terhadap amalan lestari. Pengalaman hands-on ini mampu membuka minda dan memberikan peluang untuk membina rangkaian berharga.
Seterusnya, kita juga wajar menyokong perusahaan hijau yang sedia ada seperti kedai sisa sifar, jenama fesyen lestari dan teknologi mesra alam atau mulakan perusahaan hijau sendiri dengan menghasilkan idea inovatif yang mampu menyelesaikan isu berkaitan alam sekitar.
Cara lain adalah dengan menyertai atau wujudkan kumpulan advokasi alam sekitar untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kemahiran hijau dan amalan lestari seperti dengan mengguna pakai platform media sosial untuk menyebarkan maklumat dengan lebih luas.
Kesimpulannya, menyertai atau menganjurkan kempen penanaman pokok, kempen pembersihan dan bengkel pengkomposan atau pemuliharaan tenaga dalam komuniti setempat juga dapat memupuk rasa tanggungjawab dalam diri, sekali gus mengajak lebih ramai menjadi lebih cakna dan prihatin terhadap alam sekitar dan terbabit sama dalam usaha untuk memastikan bumi ini terus terjaga.
Penulis aktivis belia alam sekitar dan pengasas bersama Projek Ocean Hope Youth Climate Champions Consultant, Unicef Malaysia