Bosan boleh menjadi satu penyakit psikiatrik jika ia berlanjutan.
Bosan boleh menjadi satu penyakit psikiatrik jika ia berlanjutan.
Oleh Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Boring atau bosan sering kali melanda dalam diri kita, kadangkala terasa hidup ini seperti tiada arah tujuan. Ada ketika pula terasa sunyi yang amat sangat dan perkara sebegini sering terjadi dalam perjalanan hidup kita yang bernama manusia.

Suka atau tidak, kita terpaksa melaluinya dengan cara kita dan tahap boring atau bosan tidak sama bagi setiap individu, boleh dikatakan dalam erti kata mudah difahami tahap biasa atau tahap kritikal.

Bosan pada tahap biasa-biasa, kita boleh mengolah dan menstabilkan keadaan bosan itu dengan melakukan beberapa perkara atau terus tidur, tapi andai kata pada suatu tahap melampau atau kritikal, ia susah untuk dikawal sehingga boleh memberontak dalam diri dan timbul persoalan, 'kenapa aku jadi begini?'

Bosan boleh menjadi satu penyakit psikiatrik jika ia berlanjutan ke tahap paling sunyi, suram dan akan mengakibatkan kemurungan. Ia terjadi disebabkan diri bermain dengan minda dan kestabilan kesihatan yang mungkin kurang memberangsangkan.

Rasa bosan adalah perkara biasa yang akan dirasai setiap orang. Biasanya bosan akan tiba bila sedang menganggur atau tidak ada pekerjaan. Bosan kadangkala boleh membuatkan tekanan bagi mereka yang tidak tahu cara menghilangkannya.

Bosan tidak boleh dibiarkan lama kerana memberi kesan yang buruk pada orang sekeliling. Antara kesan bosan ialah hilang keyakinan diri dan tidak mudah berfikir positif. Jadi, bagaimana cara hilangkan rasa bosan?

Apa yang boleh kita buat jika ia terjadi kepada kita? Penulis menyarankan beberapa tip untuk diamati dan dilakukan jika ia bersesuaian dengan jiwa kita atau situasi masalah yang dihadapi, namun setiap kebosanan seseorang berbeza sama sekali.

Berikut adalah cara atau petua ringkas bagi menghilangkan rasa bosan.

n

Lakukan ikut suka gerak hati kita. Contohnya, hobi atau perkara lain. Gunakan hobi untuk meluangkan masa yang ada. Ini contoh mudah bagi mengatasi rasa bosan dengan cepat. Apa hobi yang boleh kita lakukan? Cuba menonton filem terbaharu atau drama terbaharu yang hangat dikongsi melalui media sosial atau mempunyai hobi pelik yang lain seperti mengembara seorang diri atau bersendirian dan lainnya, buat sahaja apa yang kita suka asal tidak mendatangkan keburukan pada diri dan kesihatan.

n

Cuba mencintai sepenuhnya bidang kerja. Jika kebosanan itu datangnya daripada suasana kerja yang kita sekarang, cuba mencintai kerja kita dengan sepenuh hati.

Bagaimana caranya sistem kerja dengan baik dalam persekitaran yang baik, cabar diri dengan mempercepatkan prestasi dengan membandingkan prestasi kini dan terdahulu. Jika masalah itu tidak selesai juga tepuk dada tanya selera, sama ada masih mahu berada di alam pekerjaan sekarang atau beralih arah atau pencen awal.

n

Mencuba perkara baharu. Punca bosan kadangkala datangnya daripada kehidupan kita yang terlalu mendatar. Setiap hari melakukan perkara sama berulang-kali sehingga sudah lali dengan aktiviti sama. Jadi, cubalah luangkan masa yang ada untuk lakukan perkara yang jarang dibuat.

Kalau anda jarang kemas rumah, cubalah untuk kemas rumah. Jika anda jarang bersenam, cubalah untuk bersenam. Jika anda jarang memasak, cubalah untuk belajar memasak. Banyak aktiviti yang ada boleh anda cuba lakukan.

n

Ubah suasana rumah dengan cara dan citarasa sendiri. Bila kali terakhir kita lihat suasana rumah berubah? Mungkin rumah itu tidak boleh diubah, tetapi kedudukan sofa, meja makan, televisyen dan kedudukan perabot boleh diubah mengikut citarasa kita.

Jika malas hendak mengalihkan barang dan sebagainya, cuba sehari angkat atau ubah satu barang sahaja dan dalam sebulan kita sudah angkat 30 barang. Pasti aktiviti seperti itu menaikkan mood kita.

n

Melihat suasana baharu. Apabila bosan melanda, keadaan hati, fikiran pun jadi tak menentu sampai boleh 'bad mood'. Cubalah buang rasa bosan dengan berjalan-jalan keluar dari kawasan rumah.

Ambil angin luar, cuba berjalan 100 meter dari rumah melihat keadaan sekeliling, lihat panorama kehijauan alam atau jika bosan melanda di tempat kerja, cuba pergi pejabat kawan singgah menyapa atau berbual dan jika tidak ada kawan, berjalan kaki turun naik tangga pun OK untuk kesihatan.

n

Berkomunikasi. Bosan pasti akan muncul bila terlalu lama meluangkan masa sendirian. Saat itu kita mungkin fikirkan tentang seseorang yang menceriakan hidup kita selama ini. Cuba luangkan masa dengan berkomunikasi dengan orang yang rapat.

Boleh juga cuba komunikasi dengan cara sedikit janggal seperti panggilan video secara live di Instagram atau sebagainya. Lakukan perkara yang jarang dilakukan, pasti kita akan rasa ia satu aktiviti sangat bermakna.

n

Pelihara haiwan. Memelihara haiwan di rumah adalah kegiatan yang sangat memberi ketenangan kerana haiwan adalah teman borak kosong walaupun ia tidak memberi respon. Dengan hanya melihat tingkah laku haiwan itu pun kadang kala boleh membuatkan kita terhibur.

n

Bercucuk tanam. Sekadar tanaman ringan untuk hiasan bukan menanam lima ekar kelapa sawit atau getah, kerana jika itu yang dibuat, bukan hilang rasa boring, tetapi hilang tenaga terus jadinya nanti.

Cuba tanam bonsai dalam pasu kecil dan cantik. Cuba gaya ala Jepun dan walaupun rumit tapi seronok menjaga satu pasu bonsai dengan rapi yang memerlukan ketekunan dan kesabaran.

Sebenarnya, penulis pun kadangkala merasai kebosanan, tapi kehidupan perlu diteruskan. Selain mengamalkan petua itu, penulis berjalan meninggalkan tempat bertugas tanpa tujuan dengan mengelilingi bangunan tempat kerja untuk melihat panorama alam atau kehijauan tumbuhan dan apabila sudah segar urat, semakin kembang darah barulah berjalan masuk semula ke pejabat.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 7:00 AM