KESEDARAN kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar adalah asas kepada perubahan amalan hidup masyarakat untuk cintakan alam sekitar. FOTO hiasan
KESEDARAN kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar adalah asas kepada perubahan amalan hidup masyarakat untuk cintakan alam sekitar. FOTO hiasan
Profesor Madya Dr Rasidah Hamid

KESAN perubahan iklim semakin dirasai di Malaysia yang kini mengalami fenomena cuaca ekstrem seperti hujan lebat berterusan, panas membahang serta penurunan suhu di kawasan tertentu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Situasi ini mencetuskan pelbagai bencana seperti banjir termasuk banjir kilat pada skala besar serta kejadian tanah runtuh yang berlaku di seluruh negara tanpa mengira musim.

Laporan Penilaian Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) menunjukkan pemanasan global sudah mencapai 1.1 darjah celsius, berbanding paras era pra perindustrian tahun 1900 hingga 2000.

Dalam situasi terburuk perubahan iklim, suhu purata di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 3.11 darjah Celsius menjelang tahun 2090.

Justeru, unjuran peningkatan pemanasan global sehingga 1.5 darjah celsius akan memberi kesan besar seperti peningkatan suhu purata global, peningkatan taburan hujan, musim kering, peningkatan aras laut, dan kehilangan biodiversiti.

Latar isu alam sekitar ini turut memberi kesan gandaan kepada ketahanan ekonomi, politik dan kerukunan sosial masyarakat.

Pelepasan karbon (CO2 emissions) ditentukan oleh gaya hidup dan kepenggunaan oleh individu atau kelompok individu dalam seharian. Pengiraan pelepasan karbon individu pula dikira berdasarkan tapak karbon (carbon footprint) dalam tempoh setahun.

Oleh itu, amalan gaya hidup lestari sebagai individu adalah penting, Namun demikian, itu tidak cukup untuk mengatasi cabaran alam sekitar dan sosial yang lebih besar seperti yang dihadapi sekarang.

Menjaga dan melindungi alam sekitar bukan tugas kerajaan semata-mata, tetapi adalah tanggungjawab masyarakat keseluruhannya.

Dengan menyemarakkan konsep kehidupan lestari kepada komuniti dan masyarakat, mampu memberi impak besar terhadap perubahan iklim.

Berikut adalah beberapa cara untuk menjadikan gaya hidup individu dan komuniti lebih mesra alam sebagai tanggungjawab bersama tanpa mengira pangkat, kaum dan usia.

Bersatu dengan komuniti

Keterlibatan aktif, hubungan dan komunikasi yang baik dengan jiran tetangga dalam inisiatif pembangunan lestari, adalah satu usaha untuk menjaga kesejahteraan persekitaran fizikal keseimbangan alam sekitar.

Usaha ke arah pencapaian kualiti hidup yang baik bukan saja dilihat dari segi persekitaran yang memberi keselesaan kepada penduduk malah keupayaan dalam menyediakan keseimbangan alam sekitar kepada penduduk setempat.

Kehidupan berkualiti dalam masyarakat dan sistem sosial bermula daripada kesedaran setiap individu memahami isu-isu kelestarian dan berusaha untuk menyumbang kepada komuniti yang lestari.

Beli produk tempatan

Individu dan komuniti perlu berusaha untuk meningkatkan pembelian dan penggunaan barangan tempatan.

Usaha untuk menyokong petani dan perniagaan tempatan dapat memperkasakan perdagangan domestik dan sekali gus menggiatkan aktiviti kelestarian.

Ini mengurangkan pengeluaran karbon, menyokong ekonomi tempatan, dan membina hubungan baik dengan pengeluar dan pembekal tempatan.

Menimbangkan cara pelancongan mapan

Hadkan penggunaan kereta dan menerokai pilihan pengangkutan alternatif seperti berjalan kaki, berbasikal atau menggunakan pengangkutan awam.

Dengan berbuat demikian, kita bukan saja mengurangkan jejak karbon, tetapi juga memberi inspirasi kepada komuniti setempat untuk turut serta.

Pembangunan konsep kemapanan pelancongan perlu untuk memberi impak kebaikan alam sekitar kepada komuniti setempat.

Sebarkan kesedaran

Kesedaran terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar adalah asas kepada perubahan amalan hidup masyarakat terhadap pelaksanaan tanggungjawab yang menjurus ke arah cintakan alam sekitar.

Kesedaran melalui amalan yang dilakukan sendiri oleh pelajar sememangnya memberi impak kepada gaya hidup mereka serta orang di sekeliling mereka.

Kongsikan amalan mesra alam anda melalui sosial media dan galakkan orang lain untuk mengamalkan tabiat lestari.

Sertai rakan dan kumpulan alam sekitar

Sertai organisasi rakan alam sekitar tempatan atau cawangan kumpulan pemuliharaan negara.

Berkolaborasi dengan individu yang berkongsi matlamat untuk menjalankan projek lestari atau memperjuangkan isu-isu alam sekitar.

Selain itu, pertimbangkan untuk terbabt dengan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) seperti organisasi atau kelab yang aktif mempromosikan amalan lestari dalam komuniti mereka.

Rancang komuniti lestari

Rancang komuniti lestari yang boleh dipadankan dengan konsep pembangunan yang baik supaya pertumbuhan ekonomi, persekitaran fizikal dapat dilindungi bagi menjanakan perkembangan sosio-ekonomi sesebuah masyarakat.

Konsep masyarakat madani (civil society) boleh menonjolkan ciri ciri ketamadunan berteraskan idealisme lestari dan wawasan yang jelas bagi memberi inspirasi dan membantu mengarahkan inisiatif komuniti.

Terbabit dalam dasar alam sekitar negara

Peningkatan kualiti hidup di dalam Dasar Alam Sekitar Negara memberi panduan kepada masyarakat tempatan ke arah pembangunan lestari dengan cara yang paling optimum.

Sertai politik tempatan untuk mempengaruhi keputusan dan dasar yang memberi impak terhadap kelestarian.

Rakyat perlu terbabit dengan pembangun dasar untuk menyampaikan kebimbangan dan advokasi amalan kelestarian alam sekitar untuk memastikan kesejahteraan alam sekitar dalam jangka panjang.

Derma dan berkongsi barang yang tidak dikehendaki

Menderma barangan lama bukan saja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, tetapi juga boleh menjadi sumber kewangan bagi tujuan amal dan membantu golongan memerlukan.

Daripada membuang barang yang tidak dikehendaki, dermakan kepada kedai barang terpakai tempatan atau kedai amal untuk berkongsi dengan orang lain yang mungkin lebih memerlukannya.

Sifat perkongsian ini mendorong budaya penggunaan semula dan mengurangkan pembaziran dan

memperkuatkan hubungan komuniti.

Galakkan persaingan lestari secara sihat

Penganjuran pertandingan atau cabaran mesra dalam komuniti boleh diadakan untuk menggalakkan tindakan lestari.

Sebagai contoh, bekerjasama bermatlamatkan komuniti setempat sebagai satu cabaran pertandingan lestari antara kampung, taman perumahan mahupun bandar.

Persaingan sihat seperti ini mampu menjadi acara yang menyeronokkan dan menyegarkan untuk menginspirasi perubahan positif.

Manfaatkan media tempatan

Media tempatan sering berminat dengan cerita berkaitan komuniti, termasuk inisiatif kelestarian.

Kongsi projek hijau, acara, atau kisah kejayaan komuniti anda dengan akhbar tempatan, stesen radio, atau saluran televisyen.

Gunakan platform media sosial dan laman web komuniti untuk mencapai audiens yang lebih luas.

Sentiasa waspada bahawa amalan hijau dan kelestarian alam sekitar sesebuah masyarakat dan komuniti memerlukan masa dan usaha.

Pembabitan semua pihak dalam membina rasa tanggungjawab kelestarian adalah penting.

Dengan menjadikan gaya hidup dan komuniti kita mesra hijau dan alam, kita dapat memberikan impak kolektif ke arah masa depan yang lebih lestari.

Masa depan alam sekitar, kualiti kehidupan sejagat dan kesejahteraan generasi masa hadapan berada di tangan kita.

Kita boleh membina masa depan yang lebih baik dan lebih lestari dengan mengamalkan kehidupan sederhana yang memberi penekanan terhadap memenuhi elemen untuk menerap, mengajak dan mendidik masyarakat secara berterusan untuk terus memelihara dan memulihara alam sekitar sejagat.

Penulis ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 4:35 PM