FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mahbob YusofNur Azleen Hasan dan Mohd Dasuki Sahak

Umum mengetahui bahawa Hari Pustakawan Kebangsaan disambut pada tanggal 6 Jun setiap tahun. Lebih menarik dan bagi menghargai semua pustakawan di negara ini, sambutan tahun ini bertemakan Masyarakat Digital Madani: Peluang Memacu Perubahan yang selari dengan aspirasi kepemimpinan negara.

Peranan pustakawan dalam mendepani arus kemodenan masa kini wajar diperkasakan dalam membentuk masyarakat berilmu serta berwawasan yang seterusnya menyumbang ke arah pembangunan negara.

Kini, dalam menyahut seruan Malaysia Madani, peranan pustakawan perlu diperluas sejajar dengan kerangka Malaysia Madani itu sendiri iaitu memacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan. 

Masyarakat Madani mesti dibentuk dengan keupayaan dan literasi maklumat yang mantap serta sentiasa diperkasakan dengan perkhidmatan dan pengemaskinian kaedahnya oleh pustakawan.

Sama ada sedar atau tidak, para pustakawan terutamanya pustakawan di universiti yang berperanan secara langsung dalam pendidikan dan ilmu pengetahuan adalah pemangkin kepada keberhasilan graduan seharusnya peka dengan kecenderungan maklumat digital masa kini agar bersesuaian dengan kehendak maklumat warga universiti khasnya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya menerusi Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) 2021-2025 berkata, zaman kini adalah zaman perkongsian sumber yang membolehkan ilmu dikongsi dan dimanfaatkan bersama. 

Hakikatnya, bangsa maju bukan sekadar diukur melalui terdirinya bangunan moden dan hebat, tetapi juga diukur dengan kemajuan ilmunya.

Oleh itu, cadangan membangunkan National Digital Library boleh dilihat sebagai usaha besar yang membolehkan khazanah ilmu negara dikumpulkan dalam bentuk digital dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja termasuk pencinta ilmu dari seluruh dunia. 

Ia adalah sumbangan paling penting dalam menterjemahkan Malaysia Madani seterusnya menyumbang kepada peradaban tamadun manusia.

Manakala, bagi menyemarakkan lagi usaha perkongsian sumber maklumat ini, satu Majlis Pelancaran Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP) oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof pada 16 Mei lalu telah memperlihatkan sumbangan langsung pustakawan dalam pengurusan dan penyumbang data mentah penyelidikan negara. 

Usaha pustakawan dalam MOSP akan merapatkan jurang antara penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan, serta meningkatkan keupayaan inovasi.

Ironinya, di universiti, pustakawan berperanan memacu pelbagai inisiatif perpustakaan digital secara kreatif dan inovatif bagi mendukung hasrat universiti menjadi sebuah kampus pintar. 

Hasilnya, pelajar dapat menggunakan peranti mudah alih dan aplikasi teknologi maklumat untuk mengakses sumber maklumat perpustakaan dengan cepat pada bila-bila masa sahaja.

Walaupun pelajar boleh mendapatkan maklumat melalui talian internet, kemudahan ruang bacaan di perpustakaan tetap menjadi tumpuan pelajar. Perpustakaan di universiti bukan sekadar menyediakan kemudahan pendidikan, malah lebih dari itu.

Dalam hal itu, pustakawan berperanan menjadikan perpustakaan sebagai pusat intelektual yang sarat dengan pelbagai aktiviti keilmuan dan membina semangat. Hasilnya, proses pembelajaran di universiti menjadi aktiviti menyeronokkan kepada pelajar dan mampu merangsang pemikiran kreatif.

Dilihat di peringkat Asean, isu pemerkasaan pustakawan turut dibincangkan menerusi Libraries of Asean University Network (AUNILO) bagi membingkas pemerkasaan pustakawan agar mampu menghasilkan karya kreatif dan inovatif.

Malah, mesyuarat yang dihadiri oleh semua ketua pustakawan universiti anggota Asean University Network itu adalah platform dan medium perkongsian maklumat serta amalan terbaik perpustakaan peringkat antarabangsa. 

Oleh itu, perjuangan menyemarakkan budaya keilmuan dalam menyantuni semangat Malaysia Madani mesti diteruskan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih makmur dan maju melalui budaya ilmu. Selamat Hari Pustakawan Malaysia!

Penulis Mahbob Yusof adalah Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM; Nur Azleen Hasan Ketua Bahagian Korporat dan Latihan Staf, Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM Dan Mohd Dasuki Sahak Pustakawan Kanan, Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 7:00 AM