GANDINGAN teraju utama Shaheizy dan Zizan serta garapan cerita menarik menjadi formula terbaik kejayaan Polis Evo 3.
GANDINGAN teraju utama Shaheizy dan Zizan serta garapan cerita menarik menjadi formula terbaik kejayaan Polis Evo 3.
Bersama Wan Asrudi Wan HasanBERSAMA Wan Asrudi Wan Hasan

Selepas empat hari ditayangkan di layar lebar bermula 25 Mei lalu filem Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof dilaporkan melakar sejarah apabila mencatat kutipan lebih RM16 juta.

Ia adalah satu pencapaian yang luar biasa sehingga ada yang meramalkan filem aksi komedi itu mampu 'terbang' lebih jauh.

Pujian juga perlu diberikan kepada tenaga produksi terutama Syafiq yang mengambil langkah bijak untuk meneruskan keseimbangan jenama Polis Evo.

Selepas kejayaan awal Polis Evo pada 2015 yang mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) mencatat kutipan RM23 juta.

Kehadiran sekuel filem ini diharap mampu meneruskan prestasi cemerlangnya. 

Menariknya kemunculan filem ini tidak disusuli dengan gimik atau kontroversi yang sengaja dicetus. Tidak seperti karya tertentu. Sebaliknya hanya bersandarkan karya asli semata-mata.

Sememangnya gandingan teraju utama aktor terkenal Shaheizy Sam dan Zizan Razak serta garapan cerita yang menarik menjadi formula terbaik dalam menentukan kejayaan filem ini.

Dibantu dengan faktor timing yang tepat ketika musim cuti sekolah mendorong pelbagai lapisan masyarakat memilih untuk menikmati hiburan yang sesuai ditonton  seisi keluarga. Malah, sambutan baik turut diberikan kepada generasi muda yang rata-rata memberi sokongan dan membeli tiket wayang.

Syafiq dalam satu temu bual bersama media berkata, dia bersyukur dengan sambutan menggalakkan daripada penonton, malah berharap momentum berkenaan berterusan.

Kata anak kepada pelakon dan pengarah berkaliber, Datuk Yusof Haslam itu lagi pihaknya dan seluruh produksi bertungkus-lumus menghasilkan karya tempatan yang berkualiti.

Selain Shaheizy dan Zizan, filem Polis Evo 3 turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Filem ini mengisahkan mengenai Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Sekalipun berdepan saingan filem antarabangsa, namun Polis Evo membuktikan ia ada tarikan tersendiri.

Walaupun mengetengahkan genre aksi komedi penulis berharap kemunculan karya berbentuk kepolisan seperti ini akan terus dapat mengangkat martabat pasukan beruniform.

Sekadar mengambil contoh beberapa filem nostalgia yang memberi kesan besar kepada penonton sehingga hari ini antaranya Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Sarjan Hasan dan lain-lain lagi.

Mungkin ada yang berpendapat tidak adil untuk membandingkan filem Polis Evo dan beberapa filem yang penulis berikan contoh itu.

Namun, setidak-tidaknya setiap karya yang dihasilkan karyawan seni tempatan memberikan impak tersendiri dalam usaha meningkat martabat  industri seni tanah air.

Secara tak langsung ini juga sebahagian daripada usaha anak seni menghargai pengorbanan dan tugas anggota keselamatan negara.

Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 5:00 AM