GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Mendengar kata-kata seorang tokoh dalam forum sangat bersemangat kesannya. Terasa sejuk halwa telinga dan dengan perlahan hadamkan di jiwa, kata-kata yang begitu menusuk kalbu, bersemangat dibuatnya dan boleh meruntun jiwa.

Ungkapan tokoh itu adalah: "Jika dah tahu ranting nak patah, kenapa masih hinggap di situ juga." Siapakah tokoh itu, biarlah penulis beritahu di akhir penulisan nanti macam lagu 'Hang Pi Mana' dendangan kumpulan muzik Khalifah yang kita tahu di akhir lagu anaknya bekerja sebagai jaga sekolah.

Setelah mendengar kata-kata tokoh itu, penulis dengan perasaan ingin tahu terus membuat carian untuk mengetahui makna tersirat. Kita bukanlah tahu serba serbi, apatah lagi peribahasa, ungkapan, bidalan dan kata-kata seseorang.

'Jika sudah tahu ranting hendak patah, kenapa masih hinggap di situ' datangnya daripada peribahasa klasik yang mana peribahasa klasik asal 'seperti dedalu api hinggap di pohon kayu, hinggap di batang, batang mati, hinggap di ranting, rantingnya patah,' yang maksudnya individu jahat kelakuan dan perangainya apabila berhimpun di dalam kumpulan orang yang baik akan membinasakan orang yang baik.

Dalam maknanya dan dalam bahasa mudah difahami, orang jahat yang masuk dan mendiami dalam organisasi atau jabatan akan rosak dan binasa kumpulan itu dengan pengaruh dan perbuatannya.

Apa yang perlu kita selami ialah dengan adanya sekumpulan atau segelintir individu mendiami sesebuah organisasi, jabatan, syarikat tempat kita bekerja atau kawasan kediaman akan menjadikan sesebuah organisasi atau jabatan itu rosak dengan perbuatan dan perangai tingkah lakunya yang boleh dikatakan ibarat api dalam sekam dan aura negatif serta pengaruhnya mengeruhkan kumpulan itu.

Penulisan kali ini berkisar kepada segelintir individu yang bakal memusnahkan organisasi dengan gaya dan agenda mereka, mungkin bertujuan peribadi atau untuk melepaskan rasa kecewa kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian atau lain tujuan serta maksud tersirat.

Sahabat yang beracun sentiasa wujud dalam organisasi atau jabatan. Kadang-kadang naik menyampah kita sama ada kemunculannya secara tiba-tiba atau memang sudah lama bertapak.

Individu beracun itu membuat persekitaran yang buruk ke mana saja mereka pergi, terutama di tempat kerja. Sahabat beracun dikenal pasti kerana mereka memijak kepala kita dan akan berakhir dengan buruk dengan semua orang dan mewujudkan konflik yang berpanjangan.

Individu sebegini suka pergi ke mana mereka tidak dipanggil, mereka mahu menjadi pusat perhatian dan mereka biasanya orang biasa yang dikenali sebagai palsu dan kritikal.

Mereka atau individu beracun adalah prejudis (machismo/ rasisme). Prejudis membawa kepada sumber konflik dalam bidang kehidupan yang berbeza dan dalam alam pekerjaan.

Sejak kebelakangan ini, kita mungkin sangat terkejut dengan gelagat manusia yang pemikirannya diracuni toksik dalam pelbagai organisasi sosial. Isu ini perlu diketengahkan sebagai iktibar dan pengajaran.

Cerita mengenai keikhlasan seseorang yang jujur dimanipulasi dengan pelbagai propaganda jijik bukanlah cerita luar biasa dalam masyarakat. Pelbagai tohmahan dan cakap belakang disasarkan golongan ini persis peribahasa 'lontar batu sembunyi tangan.'

Golongan 'talam dua muka' ini, berkelakuan bak kata pepatah, 'mulut disuap pisang, buntut dikait onak.' Mereka bermuka-muka di depan kita, di belakang mereka mengumpat dan memburuk-burukkan kita.

Fikiran diracuni toksik sukar dipulihkan. Manusia yang fikirannya diracuni toksik bukan sahaja lupa diri, bahkan lupa daratan. Mereka berasakan diri mereka hebat dan sempurna.

Perbuatan mereka mengkritik membuta tuli, menghina, mengeji dan mengumpat adalah virus yang akan meruntuhkan institusi dari dalam. Tidak salah jika kritikan mereka membantu kita menjadi lebih baik secara positif.

Bagaimanapun, jika kritikan diberikan sentiasa bersifat menyinggung perasaan atau menghina, sudah tentu ia ancaman menggoncang ikatan persahabatan dan menggugat perpaduan negara.

Masalah dan perselisihan adalah lumrah apabila kita menjayakan misi secara berkumpulan. Ada beberapa tip yang boleh digunapakai untuk jalan keluar daripada sahabat yang beracun antaranya:

1. Tetapkan jurang dan garis sempadan pemisah antara kamu dengan mereka. Seseorang dengan sifat yang beracun mungkin tak akan menyedari bahawa dirinya sangat mengganggu orang lain. Untuk itu, kita yang harus memberi batas seperti apa berperilaku terhadapnya. Berkawan dan mengopi di kantin boleh tapi ada batas dalam interaksi dan berkomunikasi dengan mereka.

Cerita hanya yang perlu dan angguk setuju, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri terhadap ayat manis dituturkan.

2. Menyuntik cadangan dengan cara halus. Apabila berkomunikasi dengan mereka sambil melayan apa yang dituturkan mereka, masukkan ayat baik dan jangan banyak sangat kerana mereka berfikiran negatif bila terkena ayat tajam dan bernas.

3. Jangan ikutkan emosi. Tangani secara perlahan dan berhemah kerana individu peracun ini sering mengumpat, mengkritik dan sebagainya akibat daripada rasa kekecewaan yang dialaminya. Kita dengar, tetapi jangan hadamkan atau membiarkan ia mempengaruhi fikiran atau emosi.

4. Jauhkan diri. Niat kita berkawan untuk hubungan baik dan mudahkan kerja, tetapi jika berkawan dengan peracun memudaratkan, lebih baik kita putuskan atau jauhkan diri terus agar diri tidak rasa terbeban dan kecewa di kemudian hari.

Kewujudan manusia peracun kalbu dalam organisasi boleh menjatuhkan organisasi sama ada dari segi keuntungan, reputasi, imej dan sebagainya jika mereka yang beracun ini tidak puas hati.

Ingatlah tugas kita sebagai pemudahcara kepada kerajaan dan majikan, bukan pencetus api perbalahan. Terima kasih Ketua Polis Johor, Datuk Kamarulzaman Mamat atas nasihat dan kata-kata semangat.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 6:00 AM