GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Prof. Madya Dr Mohd Anuar Ramli

Tanggal 1 Mei sudah diangkat sebagai hari pekerja. Setiap pekerja sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta meraikan sambutan hari pekerja dengan penuh harapan agar kelestarian mereka terus terjamin di masa akan datang. Pandemik Covid-19 telah meninggalkan parut hitam bagi kalangan pekerja. Ini disebabkan ada di antara mereka yang kehilangan pekerjaan, bertukar pekerjaan dan hidup dalam kesukaran. Dengan itu, ramai yang mengharapkan peluang pekerjaan yang semakin banyak, stabil dan pengangguran dapat dikurangkan.

Berdasarkan tema hari pekerja bagi 2023, Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani ia menggambarkan sumbangan penting pekerja dalam mengukuhkan gagasan Malaysia Madani. Jelasnya, ia meletakkan tanggungjawab di bahu pekerja untuk bersama membangunkan negara khususnya dalam pasca pemulihan ekonomi. Namun, tanggungjawab ini perlu sama-sama dipikul oleh majikan bagi merealisasikan Malaysia Madani. Tiada pekerja tanpa majikan dan tiada majikan tanpa pekerja. Oleh itu, hubungan simbiotik ini perlu diperkasa bagi mewujudkan ekosistem kerja yang madani.

Pada dasarnya, Islam sangat menggalakkan umatnya bekerja mencari rezeki. Dalam masa sama, Islam melarang umatnya bersikap malas, mengemis dan meminta-minta. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sungguh seandainya salah seorang di antara kalian mengambil beberapa utas tali, lalu pergi ke pergunungan, kemudian dia kembali dengan memikul seikat kayu bakar dan menjualnya, hingga dengan hasil itu Allah mencukupkan keperluan hidupnya. Itu lebih baik baginya daripada meminta-minta sesama manusia, baik mereka memberinya atau tidak." (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, Nabi SAW menyatakan: "Barangsiapa pada waktu petang merasa penat lantaran pekerjaan kedua tangannya (mencari rezki), maka pada saat itu, diampunkan dosanya." (Riwayat al-Tabrani)

Dalam ekosistem dunia pekerjaan, seringkali terdapat dua budaya yang melatarinya, sama ada budaya kerja yang baik dan budaya kerja yang toksik. Persekitaran budaya kerja baik dapat melahirkan pekerja berdedikasi, bermotivasi, berintegriti dan produktif. Berbanding budaya kerja toksik akan membentuk persekitaran negatif, tidak bermotivasi bahkan pekerja tidak merasa gembira. Situasi ini menyebabkan kadar produktiviti menurun. Kadangkala terdapat pekerja mengalami depresi dan kemurungan akibat tekanan.

Terdapat pelbagai amalan yang membentuk ekosistem kerja toksik. Pertama, wujudnya pendekatan pilih kasih dalam budaya kerja organisasi atau syarikat. Hanya pekerja tertentu menjadi pilihan berbanding pekerja yang lain. Malahan hak pekerja lain dinafikan untuk diberikan kepada pekerja pilihan. Situasi ini menyebabkan polarisasi dalam organisasi atau syarikat.

Kedua, adanya gejala pembulian yang menjadi budaya organisasi atau syarikat. Kebiasaannya golongan pekerja yang baharu atau lemah akan dikuasai pekerja lama dan dominan. Pembulian ini berakar umbi dalam organisasi dan syarikat yang menyebabkan terdapat pekerja yang ditindas dan dizalimi.

Ketiga, terdapat unsur tekanan yang dikenakan kepada pekerja dengan memberikan bebanan kerja yang banyak dan tempoh masa siap yang singkat. Kadangkala pekerja diberikan tugasan walaupun di luar waktu kerja.

Keempat, budaya membodek yang subur dalam organisasi dan syarikat. Budaya ini dimanfaatkan oleh pekerja yang licik khususnya bagi mendapatkan keistimewaan tertentu, umpamanya keringanan kerja, kenaikan pangkat dan insentif. Jadi pekerja yang ikhlas melakukan kerja tidak dihargai dan diketepikan. Budaya kerja negatif ini akan membentuk ekosistem kerja yang tidak madani. Ia mendorong kepada rosaknya sesebuah organisasi dan syarikat kerana pekerja tidak lagi bersemangat dan berdedikasi dalam melaksanakan amanah kerja.

Sehubungan itu, perlunya membentuk ekosistem kerja yang baik agar selari tuntutan Islam di samping dapat mengubah dengan menjadikan kerja sebagai ibadah. Jelasnya, satu rutin harian yang dilakukan oleh pekerja mampu membuahkan pahala dan berkat. Dengan kata lain, ekosistem kerja yang merangkumi majikan dan pekerja berorientasikan madani dapat direalisasikan.

Pertama, niat adalah asas penting untuk menjadikan sesuatu amalan sebagai ibadah atau sekadar kebiasaan. Niat kerja kerana Allah adalah penting kerana ia boleh mencetuskan rasa ikhlas dalam diri. Dengan itu, ia dapat memotivasikan pekerja untuk mencari rezeki dengan penuh integriti, dedikasi dan amanah. Ini kerana tuntutan mencari rezki adalah arahan langsung daripada Allah SWT. Dalam surah al-Jumaat, ayat 10, Allah berfirman: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

Kedua, kerja yang dilakukan selari dengan tuntutan syarak. Dengan kata lain, dalam melakukan kerja, para pekerja tidak boleh terlibat dengan kerja yang dilarang dan diharamkan Islam seperti urusan transaksi riba, pelacuran, judi dan arak. Umpamanya, dalam kerja yang berkaitan arak, Rasulullah SAW telah bersabda: Arak itu dilaknat pada sepuluh perkara; (1) pada zatnya, (2) pemerahnya, (3) orang yang memerahnya untuk diminum sendiri, (4) penjualnya, (5) pembelinya, (6) pembawanya, (7) orang yang meminta orang lain untuk membawanya, (8) orang yang memakan hasil penjualannya termasuk majikan, (9) peminumnya, dan (10) orang yang menuangkannya." (Riwayat Ibn Majah, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)

Penulis Profesor Madya Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 6:00 AM