KERAJAAN AS tidak melaksanakan bail-out untuk menyelamatkan bank ini.
KERAJAAN AS tidak melaksanakan bail-out untuk menyelamatkan bank ini.
Syah Rul Aswari Abdullah

Minggu lalu, dunia perbankan dan teknologi dikejutkan dengan berita kejatuhan sebuah bank di Amerika Syarikat (AS) iaitu Silicon Valley Bank (SVB). Ia disebabkan bank run - istilah yang merujuk situasi apabila sebahagian besar pendeposit bergegas mengeluarkan simpanan dari sesebuah institusi kewangan.

Ia memberi tamparan hebat kepada industri teknologi yang sebelum ini menyaksikan gergasi utama dalam sektor ini melaksanakan pemberhentian pekerja secara besar-besaran sejak akhir tahun lalu dan awal tahun ini. Kejatuhan SVB ini juga adalah kegagalan bank terbesar sejak Washington Mutual pada 2008.

Jadi apa sebenarnya SVB ini? Berdasarkan laporan Reuters dan Bloomberg, SVB yang diasaskan pada 1983 adalah bank ke-16 terbesar di AS. Menurut Perbadanan Insurans Deposit Persekutuan (FDIC), SVB pada 2022 memiliki aset dianggarkan AS$209 bilion (kira-kira RM941 bilion).

Bank ini mengkhusus dalam pembiayaan dan perbankan untuk syarikat pemula atau start up company yang disokong menerusi pelaburan firma modal usaha niaga (venture capital). Kebanyakan syarikat pemula ini adalah syarikat teknologi.

SVB menjadi pilihan syarikat pemula teknologi kerana ia menyokong syarikat dalam bidang ini. Ia kerana tidak semua bank mahu menerima pelanggan daripada syarikat pemula berkenaan kerana sektor teknologi adalah bidang berisiko tinggi.

Sepanjang pandemik Covid-19 bermula pada 2020, syarikat teknologi berkembang maju apabila pengguna melakukan perbelanjaan besar untuk perkhidmatan digital dan elektronik. Memandangkan syarikat teknologi ini memiliki tunai yang besar, SVB membantu syarikat-syarikat ini dalam menyediakan perkhidmatan untuk memegang 'tunai' bagi perbelanjaan perniagaan syarikat pemula terbabit, termasuk pembayaran gaji untuk pekerjanya.

Dengan memiliki jumlah deposit tunai yang besar ini, SVB, sama seperti mana-mana bank lain, menggunakannya untuk meningkatkan pulangan pendeposit dengan cara melabur semula simpanan berkenaan. Namun, sejak 2021, SVB dilihat tidak mempelbagaikan portfolio pelaburannya.

Sejumlah besar wang tadi digunakan untuk melabur dalam bon jangka panjang perbendaharaan AS dan sekuriti yang disokong agensi gadai janji. Namun, nilai bon dan sekuriti merosot susulan tindakan bank pusat AS iaitu Rizab Persekutuan (Fed) yang terus menaikkan kadar faedah bagi menangani inflasi. Tahun lalu sahaja, Fed menaikkan kadar faedah sebanyak tujuh kali.

Mengambil kira situasi pemberhentian besar-besaran di gergasi teknologi dan pengecilan operasi apabila dunia kini semakin pulih daripada kesan pandemik Covid-19, syarikat pemula ini mula mengeluarkan simpanan di SVB kerana suntikan dana daripada firma pelabur semakin 'mengering.'

Mahu tidak mahu, SVB mempunyai obligasi untuk menyediakan wang yang besar untuk menampung pengeluaran simpanan pelanggannya. Untuk itu, ia terpaksa menjual bon jangka panjangnya biarpun terpaksa menanggung kerugian kerana kenaikan kadar faedah.

Pada 6 Mac lalu, SVB mengumumkan bahawa ia melaksanakan capital raising iaitu mengumpul tunai. Ini sekali gus memberi isyarat kepada pelanggannya bahawa bank itu tidak memiliki tunai yang cukup untuk pengeluaran simpanan.

Seperti dinyatakan pada awal tadi, pelanggan SVB adalah syarikat pemula, firma modal usaha niaga dan eksekutif teknologi. Tidak seperti perbankan peribadi, pelanggan bank ini mempunyai jumlah simpanan yang besar. Kebanyakan pelanggan iaitu syarikat pemula menggunakan perkhidmatan SVB sebagai akaun utama untuk perniagaan. Ia termasuk untuk perbelanjaan syarikat. Jadi, modal kerja ada di dalam akaun di bank ini. Oleh itu, syarikat ini memerlukan akses terhadap simpanan untuk operasinya.

Jadi apa yang berlaku apabila pelanggan ini panik? Syarikat-syarikat terbabit berpusu-pusu mengeluarkan wang mereka mencetuskan bank run. Sehari selepas ia mengumumkan mengumpul tunai menerusi penjualan aset (merujuk kepada bon jangka panjang), saham SVB merosot sehingga 60 peratus.

Pada 8 Mac iaitu hanya kira-kira 48 jam selepas ia mengumumkan capital raising, pengawal selia di California mengarahkan bank ini ditutup. Ia seterusnya memaksa kerajaan campur tangan untuk melindungi aset pendeposit menerusi FDIC. Pada 12 Mac, AS menyatakan bahawa kerajaan akan melindungi semua wang pendeposit, namun perlindungan itu tidak meliputi pemegang taruh SVB.

Sehingga artikel ini ditulis, Kerajaan AS menyatakan tidak akan melaksanakan bail-out untuk menyelamatkan bank berkenaan. Status SVB kekal 'gulung tikar'. Sebaliknya, semua wang pendeposit akan dipindahkan ke Bank Kebangsaan Insurans Deposit Santa Clara, manakala semua aset SVB diserahkan kepada pemiutang. Turut dilaporkan, HSBC berhasrat untuk membeli bahagian bank ini yang beroperasi di United Kingdom.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 6:15 AM