FDI memainkan peranan penting dalam proses pembangunan negara seperti menyediakan peluang pekerjaan kepada negara.
FDI memainkan peranan penting dalam proses pembangunan negara seperti menyediakan peluang pekerjaan kepada negara.
Mohd Rozaimy Ridzuan

Kebanyakan negara di dunia terutama negara sedang membangun mengiktiraf sumbangan besar pelaburan langsung asing (FDI) terhadap pembangunan ekonomi dalam jangka masa panjang. Aliran masuk FDI adalah laluan sebenar kepada prospek pembangunan ekonomi yang sedang pesat membangun. Sebilangan besar FDI mengalir dari negara maju ke negara sedang membangun menerusi penubuhan syarikat multinasional (MNC).

Dampak suntikan FDI ke dalam sesebuah negara boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Hasil dapatan kajian mengenai kesan FDI di China juga bersifat pelbagai. Kajian empirikal yang dijalankan di sana mendapati FDI telah meningkatkan pelepasan karbon yang tinggi. Namun, ahli akademik lain mendapati FDI menunjukkan kesan positif ke atas alam sekitar, seperti penambahan daripada segi penggunaan teknologi hijau.

Sungguhpun begitu, banyak lagi kajian menunjukkan bahawa FDI memberikan pelbagai kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. FDI memainkan peranan penting dalam proses pembangunan negara seperti menyediakan peluang pekerjaan kepada negara tuan rumah dan sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara itu. FDI juga dapat meningkatkan hasil pendapatan negara kerana syarikat asing yang berpangkalan di dalam negara tersebut perlu membayar cukai korporat dan cukai lain. FDI yang dibangunkan di kawasan luar bandar pula akan mengecilkan kesenjangan antara bandar dan luar bandar.

Di Korea Selatan, sungguhpun sumbangan FDI adalah kecil dari segi magnitud relatif, secara kualitatifnya ia memberi sumbangan penting dari segi pembangunan ekonomi. Kerajaan Korea Selatan menggunakan FDI untuk mendapatkan teknologi diperlukan bagi membangunkan industri utama di sana.

Perkara sebegini sudah pasti mampu mengetepikan pandangan bahawa sesebuah negara tidak perlu terlalu memberi penekanan kepada usaha menarik FDI ke dalam negara. Tidak hairanlah kalau kita lihat kebanyakan negara, terutamanya negara Asean berlumba-lumba untuk mewujudkan suasana mesra pelabur asing.

Di Malaysia, FDI menjadi penggerak dan perangsang dalam pertumbuhan ekonomi negara sejak awal 1960-an. Sudah pasti perbincangan mengenai tahap ekonomi negara tidak cukup rencahnya tanpa membincangkan aspek FDI. Pengenalan dasar kerajaan yang mendukung tarikan FDI seperti pengenalan Akta Insentif Pelaburan 1968, penubuhan zon perdagangan bebas seawal 1970-an, dan pemberian insentif eksport pada tahun 1980-an telah melonjakkan pertumbuhan FDI negara.

Namun, 2020 merubah segalanya apabila UNCTAD melaporkan bahawa FDI Malaysia terjejas teruk berbanding negara Asean lain. Sungguhpun situasi FDI negara dilihat berkembang positif pada tahun berikutnya, lonjakan paradigma perlu dilakukan bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai hab utama FDI di rantau Asean.

Saiz pasaran ekonomi sesebuah negara mampu menjadi pengukur utama bagi pelabur asing kerana saiz pasaran domestik yang secara relatifnya besar mampu memberikan kelebihan daripada segi skala ekonomi (economy of scale) yang akhirnya menguntungkan pelabur dan rakyat. Pelabur asing menjadikan kuasa membeli rakyat sebagai ukuran kerana barang dan perkhidmatan yang diperdagangkan di sesebuah negara itu mungkin tidak mendapat sambutan kerana rakyat terperuk dalam kesempitan hidup berpanjangan.

Kemunculan Revolusi Perindustrian 4.0 yang ditunjangi teknologi canggih seperti Artificial Intelligence, Big Data dan Internet of Things menuntut kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur yang kondusif dan mesra pelabur.

Dalam era globalisasi, kebanyakan syarikat MNC banyak bergantung harap kepada sistem rangkaian maklumat yang moden dan cepat. Selain itu, sistem keselamatan siber juga memainkan peranan penting bagi menarik pelabur asing datang melabur ke sesebuah negara. Namun, isu seperti serangan penggodam, penipuan rangkaian dan krisis kredit secara negatifnya menjejaskan pengoperasian firma.

Kelompongan keselamatan siber di sesebuah negara mampu meningkatkan kos operasi pelabur kerana terpaksa memperuntukkan wang yang besar bagi mewujudkan atau menambah baik mekanisme pengurusan risiko keselamatan siber dan membeli insurans keselamatan siber. Sudah pasti pelabur asing mengalihkan pandangan ke negara lain yang memiliki sistem keselamatan siber lebih meyakinkan.

Kesamaran hala tuju ekonomi dan dasar kerajaan yang berbolak-balik berupaya melemaskan pelabur dan menjadikan suasana pelaburan tidak tentu arah.

Hubungan antara rasuah dan jumlah kemasukan FDI ke dalam sesebuah negara masih menjadi pendebatan dalam kalangan ahli akademik kerana ada yang memandangnya daripada sudut positif dan negatif. Ada dalam kalangan sarjana berpendapat rasuah perkara positif apabila sesebuah negara itu dibebani kerenah birokrasi melampau. Dalam konteks ini, rasuah dijadikan sebagai pelincir bagi memastikan aktiviti ekonomi berjalan rancak.

Namun, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres pernah menyatakan rasuah adalah penyakit global yang menjejaskan negara kaya dan miskin serta melibatkan kerugian kos melebihi lima peratus daripada KDNK global. Pakar perniagaan antarabangsa menganggap rasuah memberi kemudaratan kepada FDI kerana ia bertindak sebagai 'pasir dalam roda' dalam perdagangan dan meningkatkan kos pengeluaran firma. Oleh itu, amalan rasuah perlu dikekang habis-habisan dengan cara menutup segala ruang yang membenarkan rasuah itu berlaku seperti pembasmian kerenah birokrasi melampau.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 5:59 AM