BARISAN juri yang  ditampilkan menerusi AJL37. -FOTO ASWADI ALIAS
BARISAN juri yang ditampilkan menerusi AJL37. -FOTO ASWADI ALIAS
Georgie Joseph

Pelbagai acara mahupun program berprestij industri hiburan yang menampilkan juri profesional ternyata menjadi nadi penting kemajuan lapangan seni kita. Peranan juri dalam sebuah pertandingan misalnya cukup besar.

Contohnya untuk Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37), baru-baru ini. Hampir mencecah empat dekad penganjurannya, prestij acara itu kekal teratas dan menjadi anugerah 'alpha' yang dinantikan saban tahun pengikut tegar industri hiburan tanah air.

Tidak dinafikan, pemilihan juri yang mengadilinya sentiasa mengujakan ramai. Nama-nama seperti Datuk Mokzhani, Datuk Acis, Ajai, Ad Samad dan Azlan Abu Hassan misalnya pasti sentiasa 'naik' untuk duduk di panel itu.

Bukan setakat AJL, banyak lagi pertandingan lain termasuk nyanyian yang sentiasa menampilkan orang hebat industri sebagai juri. Kelibat mereka memainkan peranan terpenting untuk penonton ikuti sesebuah program.

Cumanya, boleh dikatakan juri yang ditampilkan biasanya sudah boleh diteka. Misalnya Ajai, Datuk Syafinaz, Mas Idayu dan lain-lain yang mana penonton pun sudah faham serta selesa dengan kredibiliti mereka.

Jadi terdetik bagaimana jika program TV atau acara berprestij tukar angin pula dengan menampilkan juri generasi baharu? Bukan sekadar datang sebagai juri jemputan sebaliknya menjadi tonggak utama sesebuah projek itu?

Tentu ramai teringin melihat perspektif baharu yang mampu disuntik juri dari kalangan generasi artis muda.

Bahkan, pembabitan mereka mungkin mencipta evolusi segar dalam mencorak hala tuju industri. Apalagi industri hiburan kita memang tidak ketandusan dengan artis yang sangat tinggi ilmunya dalam bidang seni. Yang kredibilitinya diakui cukup bagus tanpa menilai mereka daripada segi usia.

Contohnya dalam bidang nyanyian sendiri, kita ada penyanyi Ernie Zakri, Aina Abdul, dan Dr Soo Wincci yang memiliki kelayakan akademik mengenai seni. Ditambah pula pengalaman luas ditimba sepanjang bergelar artis.

Kalau ikutkan, mereka pun ada juga muncul sebagai juri tetap mahupun jemputan dalam beberapa program. Reaksi ramai rata-rata memuji corak penjurian mereka terutama apabila berkongsi input kepada peserta.

Peluang begitu juga selayaknya perlu diperbanyak kepada anak seni pelapis seperti mereka sekarang. Sekurang-kurangnya, kita tahu mereka mampu mencipta legasi sebagai penilai berkuasa tinggi pada masa hadapan. Bukanlah nak menidakkan rezeki insan seni paling layak dan berpengalaman sebagaimana yang masyarakat sudah sangat kenali. Sebaliknya, demi pelbagaikan perspektif dalam penjurian.

Pendekatan ini juga sudah lama rancak digunakan dalam industri barat seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Gabungan juri lama dan baharu adalah percaturan yang sangat praktikal.

Contohnya program The Voice AS yang awalnya lebihkan juri-juri berpengalaman lama. Bagaimanapun, musim seterusnya ditampilkan pula artis generasi lebih muda termasuk Ariana Grande dan Miley Cyrus.

Kelebihan menampilkan artis muda tidak lain pengikut mereka pastinya akan tertarik untuk melihat projek membabitkan mereka itu. Pastinya bertambah ramai penonton sesuatu program, sekali gus menghangatkan lagi sambutannya.

Pemilihan artis muda menjadi juri pun sebaiknya jangan dibuat terlalu 'mengikut buku'. Kita tidak boleh jangka siapa yang mampu bersinar dan auranya membuak sekalipun artis itu mungkin bukan tinggi kelayakan akademik pun. Hal ini antara pembaharuan yang perlu sentiasa dilaksanakan. Sebagaimana lapangan seni lain seperti pengacaraan misalnya, yang lama di silih ganti dengan pengacara baharu demi tampilkan angin segar.

Dalam penjurian anugerah besar seperti AJL pun boleh dilihat pendekatan itu semakin rancak digunakan. Kemajuan harus sentiasa diutamakan seiring dengan peralihan zaman, serta hala tuju pemasaran dalam industri.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 7:00 AM