GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Penularan pantas beberapa subvarian baharu Covid-19 yang dikesan di beberapa negara sudah tentu membangkitkan kebimbangan masyarakat negara ini, terutama dengan jangkaan kehadiran pelancong dari China dalam jumlah besar ke Malaysia berikutan pembukaan sempadan negara itu sejak 8 Januari lalu.

Negara tanah besar China itu berhadapan gelombang besar Covid-19 akibat varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di negara berkenaan pada masa ini.

Laporan terkini menyebut di Henan (wilayah ketiga paling padat di China) sahaja, hampir 90 peratus penduduknya iaitu sekitar 88.5 juta daripada jumlah penduduk seramai 99.4 juta, dijangkiti Covid-19.

Di samping itu, Amerika Syarikat dan Eropah kini bergelut dengan lonjakan kes Covid-19 akibat penularan subvarian Omicron, XBB.1.5 yang dikenali dengan nama Kraken yang berpotensi mencetuskan gelombang besar Covid-19.

Susulan situasi itu, banyak pihak mendesak kerajaan ambil langkah wajar serius bagi memastikan pelancong patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan ditetapkan bagi memastikan virus pembawa penyakit berjangkit Covid-19 itu dapat dikekang penularannya.


TUTUP PINTU SEMPADAN?

Mengulas isu ini, pakar kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, kerajaan wajar mempertimbang penutupan semula pintu sempadan negara kerana ia langkah terbaik boleh dilaksana ketika ini bagi membendung subvarian baharu yang sedang menular pantas.

Beliau berpandangan, cadangan kerajaan memperketatkan saringan Covid-19 di pintu masuk sempadan negara tidak dijamin selamat dan negara perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku sehingga memaksa kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk rekod, kes pertama Covid-19 (sebelum ini dikenali sebagai 2019-nCOV) dilapor di negara ini pada 25 Januari 2020 membabitkan tiga warga China yang masuk Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020.

"Melakukan saringan Covid-19 ke atas pelancong luar adalah langkah kawalan sedia ada dan ia sudah dibuat sebelum ini dan saya berpandangan ia perlu ada penambahbaikan.

"Menteri Kesihatan juga perlu uar-uarkan kepada orang awam apa solusi terbaik yang akan dilakukan Kementerian Kesihatan,'' katanya.

Pada 4 Januari lalu, jemaah menteri memutuskan untuk tidak menguatkuasakan sekatan pelancong asing dari negara tertentu di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara dan susulan itu kerajaan akan memperketatkan kawalan sedia ada di pusat Imigresen.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak menjangkakan berlaku lonjakan kes baharu Covid-19 ketika musim perayaan ini.

Beliau menambah, kes baharu Covid-19 dalam negara menunjukkan trend penurunan iaitu kurang 500 kes baharu dicatatkan setiap hari dalam tempoh dua minggu lalu, berbanding antara 3,000 ke 4,000 kes beberapa bulan sebelum ini.

Beliau berkata, vaksin yang digunakan juga dilihat masih mampu memberi perlindungan daripada jangkitan Covid-19.


RUJUK PENGALAMAN TERDAHULU

Bagi pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof, beliau berpandangan, walaupun tiada langkah drastik diambil buat masa ini berikutan jangkitan kes masih terkawal, Kerajaan Perpaduan masih melihat virus Covid-19 sebagai ancaman kesihatan.

Pengalaman kerajaan terdahulu menangani Covid-19 pastinya digunakan sebaik mungkin kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memutuskan tindakan sesuai membendung wabak berkenaan.

"Malaysia setakat ini menunjukkan trend jangkitan rendah sekitar 300 ke 500 kes harian berbanding tahun lalu (2022). Kes harian baharu Covid-19 negara pernah melebihi 33,000.

"Kritikaliti kerajaan waktu ini tidak sama ketika kes harian mencecah puluhan ribu kes. Jika ada pihak melihat kerajaan baharu tidak komited atau tidak serius menangani Covid-19 tidak tepat kerana langkah agresif akan diambil kerajaan berdasarkan indikator tertentu yang diguna pakai sebelum ini,'' katanya.

Namun, katanya, memutuskan pelaksanaan PKP bukan penyelesaian muktamad, sebaliknya langkah pencegahan awal solusi tepat bagi mengekang jangkitan virus berkenaan.

Menurut Muhammad Izmer, langkah pencegahan termasuk kembali mengamalkan SOP seperti pemakaian pelitup muka, basuh tangan secara kerap serta pengambilan vaksin dan dos penggalak Covid-19.

''Vaksinasi penting meskipun ada kes jangkitan, tetapi kematian bukan lagi isu utama kerana ramai dijangkiti berada pada tahap satu dan dua sahaja kerana kebanyakannya lengkap divaksin,'' katanya.


KAJIAN VAKSIN

Menyentuh mengenai keberkesanan vaksin, Dr Hanafiah menyarankan kerajaan melakukan kajian terperinci mengenainya bagi mengembalikan keyakinan rakyat mengambil vaksin sebagai perlindungan daripada jangkitan virus terbabit.

Ini berikutan peratusan individu mengambil dos penggalak di tahap kurang memberangsangkan walaupun boleh hadir tanpa janji temu di beberapa klinik swasta.

Setakat ini, hanya 49.8 peratus rakyat negara ini mendapatkan vaksin dos penggalak pertama dan 1.9 peratus sahaja sudah mengambil dos kedua.

"Seperti kita maklum vaksin ini sebagai perlindungan, meskipun mereka yang divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19, tetapi ia mengurangkan kesan jangka panjang jangkitan itu.

"Bagi saya kajian dalaman perlu dibuat untuk melihat tahap keberkesanan vaksin, sekali gus mengambil kira kebimbangan rakyat mengenai kesan sampingannya selain pihak berkenaan perlu turun padang dan ambil maklum balas kenapa mereka yang mengambil vaksin sebelum ini tidak mendapatkan dos penggalak sebagai perlindungan seterusnya,'' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 7:01 AM