LAPORAN Harian Metro, 28 November lalu.
LAPORAN Harian Metro, 28 November lalu.
Riadz Radzi

Babah saya dah tak minat dengan Ismail Izzani pasal video dia cium perempuan tu."

Itu kata anak lelaki saya yang berusia 12 tahun, minggu lalu. Dia antara peminat Ismail, 22, sejak penyanyi itu tampil dengan single sulung, Sabar pada 2017.

Baru-baru ini, Ismail mencetuskan kontroversi apabila video memaparkan aksi seorang lelaki mirip wajahnya berciuman dengan wanita seksi di sebuah pusat hiburan tular menerusi TikTok.

Video berdurasi tujuh saat itu menyaksikan lelaki mirip Ismail merangkul gadis seksi sambil mengucup pada pipi dan lehernya.

Walaupun dikecam netizen berhubung penyebaran video itu, tetapi Ismail tidak mengesahkan dia adalah lelaki dalam video itu.

Dia juga tidak menjelaskan situasi sebenar kepada umum dan menganggap apa yang berlaku adalah satu kesilapan.

Namun, Ismail meminta maaf dan mengakui itu adalah kesilapannya.

"Kepada semua, apa pun saya bergerak ke hadapan dan memperbaiki diri. Biar hanya keluarga dan rakan-rakan saja tahu, itu sudah lebih daripada cukup.

"Saya tidak perlu menjelaskan apa-apa kerana orang ramai tidak akan mengambil berat mengenai perkara betul atau salah. Saya tidak mahu membuang masa mengenainya.

"Saya mengakui kesilapan saya. Sebagai manusia biasa, saya akan sentiasa beringat di mana saya berdiri. Buruk atau baik, saya masih menjadi diri sendiri.

"Jika ada yang mahu menghakimi saya kerana melarikan diri, teruskan. Saya hanya tidak mahu membuang masa untuk menerangkannya kerana ia adalah kesilapan saya," tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Saya tidak hairan berita itu boleh sampai kepada anak saya selaku peminat Ismail. Sebagai kanak-kanak yang meningkat usia remaja dan terdedah dengan penggunaan gajet dan internet, sudah pasti berita itu mudah sampai kepadanya.

Namun, apa yang berlaku sebenarnya merugikan penyanyi itu kerana dia kehilangan seorang peminatnya.

Mungkin, apalah sangat hanya seorang peminat, tetapi kesannya besar. Yang pasti, seorang kanak-kanak sudah ada pandangan negatif terhadap penyanyi yang diminatinya.

Sebagai artis dan public figure, pandangan negatif peminat dan orang ramai adalah sesuatu yang perlu dielak, lebih-lebih lagi membabitkan moral dan integriti.

Bukan Ismail saja, ramai lagi artis tempatan yang terjebak dengan situasi sebegitu.

Kerap juga video dan gambar tidak bermoral segelintir artis tersebar dan tular. Tak tahu pula sama ada ia disengajakan atau sebaliknya.

Yang pasti, sebahagian besarnya menafikan itu bukan mereka walaupun wajah dalam video atau gambar itu terang-terang adalah mereka!

Ada juga yang buat tidak tahu termasuk tidak melayan panggilan media yang mahukan pengesahan hingga akhirnya perkara itu dilupakan (mungkin ini tindakan paling berkesan).

Artis sepatutnya perlu bijak menggunakan media sosial masing-masing. Jangan terlalu ghairah memuat naik sesuatu video, gambar atau kenyataan yang akhirnya boleh mengundang padah hingga mereka dikecam, dihina dan dikutuk selumat-lumatnya oleh netizen tanpa belas kasihan.

Yang kelakarnya, ada segelintir artis menyalahkan media apabila berita itu disiarkan sedangkan sumber berita itu datang daripada media sosial artis itu sendiri. Yang mana, dia sendiri muat naik di situ.

Media pula yang dipersalahkan kerana dikatakan hanya mahu mencipta sensasi dan mencari bahan gosip. Mereka pula seolah-olah menjadi 'mangsa' walaupun kontroversi itu mereka yang mulakan.

Jika ini berlaku, apa yang perlukan dilakukan ialah mengaku (jika betul mereka lakukan) saja dan meminta maaf dengan ikhlas.

Mengaku saja ia kesilapan sendiri dan percayalah, anda akan lebih dihormati peminat dan netizen. Namun, jika asyik berdolak-dalik, pusing sana dan pusing sini, reda dengan kecaman dan hinaan netizen.

Namun, tidak semua artis tempatan bersikap begini. Lebih ramai lagi yang rasional, bijak dan profesional. Tapi, disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.

Tepuk tanya, tanya selera.

Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 5:59 AM