GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Minggu lalu, penulis berurusan dengan sebuah jabatan kerajaan sambil menunggu nombor giliran yang panjang berjela, penulis sempat menjeling di beberapa kaunter yang dibuka. Rata-rata petugas di kaunter dilihat sudah berusia hanya menunggu pencen tidak kira perempuan atau lelaki.

Keterampilan dilihat tidak lulus pada pandangan mata (bukan penulis berkira sangat orangnya), tapi jika yang duduk bertugas di kaunter barisan hadapan dilihat tidak menyenangkan dan menyejukkan mata memandang, ia akan membawa imej buruk kepada jabatan atau organisasi itu.

Rupa paras, kekacakan atau kecantikan adalah anugerah Allah SWT yang kita tidak boleh pertikaikan. Dilahirkan dengan wajah cantik dan kacak adalah satu anugerah, tapi jika tidak ada ciri-ciri itu, ada hikmahnya. Allah SWT jadikan kita seadanya, tetapi keterampilan diri dengan menggayakan atau mencantikkan diri adalah urusan kita.

Tidak cantik atau tidak kacak tidak mengapa jika keterampalan diri membuatkan kita lagi kacak dan cantik berbanding yang lain. Dalam erti kata lain, 'Tidak Handsome Tak Apa, Janji Smart'. Wahai abang dan kakak kakitangan kerajaan, keterampilan diri amat penting dalam penugasan, tidak kira berapa usia kita. Selagi masih bertugas dalam melayan orang ramai dan sebagai pemudah cara kepada kerajaan dalam penugasan harian, maka kita perlu menunjukkan imej baik kepada jabatan atau organisasi.

Jika kita lihat di barisan hadapan, ada abang kakitangan kerajaan dengan misai bersimpang siur tidak bercukur, rambut sampai menggelungsur ke mata dan berjela panjang ke belakang dengan fesyen pun tidak tahu, pakaian pula lusuh seolah-olah dibeli lima tahun lalu.

Akak kakitangan kerajaan pula dengan muka baru bangun tidur, tudung berserayut macam baru lepas memasak di dapur. Tolong kemas sedikit supaya yang datang berurusan sedap mata memandang, bukan nak mengurat atau sebagainya, tapi sekurang-kurangnya sejuk sikit mata memandang selepas berjam-jam menunggu giliran dan melayan kesesakan jalan raya hendak ke pejabat untuk berurusan.

Tolong jangan marah penulis ya abang dan akak kerajaan, sekadar cadangan. Pihak pengurusan tertinggi bagi sesebuah jabatan atau organisasi minta tolong susun semula barisan kaunter hadapan supaya melayan pelanggan dengan sedikit kekemasan diri.

Berikut diselitkan beberapa panduan daripada segi keterampilan yang boleh diguna pakai jika mahu dan penulis tidak boleh memaksa jika tidak mahu mengambil kira atau memikirkan 'aku sudah nak pencen atau sudah tua, buat apa nak smart lagi'.

Pengenalan keterampilan diri bermaksud kecekapan dan kemampuan seseorang individu yang tinggi dalam mengurus atau melaksanakan sesuatu, menyelesaikan masalah dan sebagainya.

Personaliti, penampilan, komunikasi, etika kerja dan sebagainya adalah antara kriteria yang dapat mencerminkan keterampilan seseorang.

• Personaliti bermaksud keperibadian, perwatakan. Setiap individu mempunyai personaliti yang digambarkan melalui keperibadian dan perwatakannya. Kedua-dua unsur ini mempunyai pertalian yang rapat dan berupaya meningkatkan personaliti seseorang.

• Penampilan. Kajian pakar psikologi mendapati penampilan, rupa paras, gerak-geri dan air muka sangat besar peranannya bagi meningkat daya pengaruh seseorang. Orang yang mempunyai penampilan menarik, memiliki keyakinan diri lebih tinggi, mempunyai sikap lebih optimis dan pandai bercakap (petah) lebih berjaya berbanding mereka yang tidak mempunyai sikap itu. Penampilan kita akan mencerminkan sikap kita terhadap diri sendiri, orang lain, masa dan tugas yang dijalankan.

Berjalan dengan tegak dan bertenaga menggambarkan seseorang individu yang bijak menggunakan masa manakala individu yang berjalan seperti orang malas seolah-olah masa tidak ada harga.

• Gaya. Duduk di kerusi dengan perlahan dan beransur ke belakang apabila punggung sudah mencecah tempat duduk bagi wanita dan kaki jangan sampai tergantung, sebaliknya rapatkan kaki dan lutut. Wanita boleh meletakkan kaki menyerong ke sebelah kanan atau kiri dan elakkan daripada menyilangkan kaki, duduk dalam keadaan tegak dan kempiskan perut dan tangan atas paha.

Bagi wanita elak meletakkan tangan atas tangan kerusi dan elakkan mengoyang-goyangkannya. Apabila bangun dari kerusi, elakkan daripada terlalu membongkokkan badan, sebaliknya luruskan badan dan tegakkan kepala, gunakan otot paha dan sendi kaki apabila bangun.

• Etika sosial dan keterampilan diri. Penampilan diri adalah sebahagian daripada imej dan peribadi seseorang individu. Dalam usaha memastikan imej diri dan penampilan sentiasa kelihatan menarik, individu itu perlu berusaha dalam menampilkan persembahan personaliti terbaik melalui pemakaian, emosi dan komunikasi yang positif.

Keperibadian yang hebat dipersembahkan bersama dengan kemampuan individu menjaga penampilan diri seharian ketika bertugas mahupun ketika santai. Melalui penampilan fizikal yang berketerampilan serta etika profesional, setiap individu yang berkerjaya pastinya mampu menampilkan imej disegani dan dihormati oleh umum.

Pemahaman mengenai etika pemakaian melalui imej bersih, segar, kemas dan berkarismatik adalah amat penting supaya kredibiliti seseorang individu itu mampu memberi persembahan terbaik dalam tugasan seharian.

Semoga apa yang kita buat dengan amanah yang diberikan menjadikan kita pekerja yang baik, amanah, berbudi bahasa dengan penuh nilai intergriti dalam menjadi agensi perantara antara kerajaan dan masyarakat.

Semoga orang awam berpuas hati dengan tugas kita jalankan, amat menyenangi dan mudah apabila berurusan dengan jabatan atau organisasi kita.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 7:00 AM