SENTIASA berfikiran positif dan harus ada  perancangan sekiranya menerima masalah.
SENTIASA berfikiran positif dan harus ada perancangan sekiranya menerima masalah.
minda

Duit memang tak pernah cukup Tuan." Berbual di kantin ketika rehat makan tengah hari dengan seorang kawan bernama Izat, memang menarik topik ini.

Saya sengaja mengacaunya sambil mengatakan: "Jika tak ada duit susah juga kita nanti dan duitlah boleh membahagiakan kita."

Lalu Izat berkata, semakin kita mengejar, duit semakin jauh dan kita akan letih dan amat letih nanti sehinggalah akan mengabaikan sesuatu yang patut dirasai dan dinikmati dalam kehidupan.

Puitis kata-kata Izat, berpengetahuan kawan saya ini. Lalu kami membincangkan topik hangat itu sehangat kopi yang dihidangkan mak cik Kiah, pelayan kantin itu.

Saya sengaja membuatkan pendapat Izat menjadi kontra sebab ingin lebih mengetahui pendapatnya, menyebabkan saya selalu menyangkal kata-kata dan hujahnya.

Lalu saya berkata: "Kita sememangnya bekerja untuk mencari nafkah (duit) dan itulah yang akan membahagiakan kita. Jika kita tidak ada duit, siapa pun tidak akan pandang dan pendapat kita yang baik pun orang akan bangkang."

Izat seterusnya menekan dengan penuh semangat bahawa jika kita terlalu banyak duit akan lupa diri dan lupa segalanya yang akan memudaratkan akhirnya.

Dia semakin rancak menyambung hujahnya sambil bergoyang-goyang tangan mengolah cerita dan berkata: "Semakin kita kejar semakin jauh duit itu pergi."

Benar juga kata-kata kawan saya ini. Jika kita amati atau pelajari, teladani dan baca di media sosial, ramai jerung besar-besar pun terpalit dengan skandal duit.

Jika kita fikir apa tidak cukupkah makan dan kemewahan mereka hingga sanggup songlap beratus juta, sedangkan jika dapat ke tangan kita, tujuh keturunan pun tidak habis dan buat apalah dengan duit sebanyak itu.

Itulah kuasa duit yang menyongsangkan hidup mereka. Malah, ia akan menyesatkan mereka di rimba tebal sehingga tidak berjumpa jalan keluar.

Memang benar kata-kata Izat dan saya suka mempertikaikan- nya supaya kami dapat menambah ilmu bersama dan dalam perbualan itu, saya lebih suka persoalan bahawa duit banyak menyelesaikan masalah.

Saya berkata demikian kerana memetik kata-kata orang kaya iaitu money never sleep (duit tak pernah tidur). Carilah ia sehingga mencapai satu sasaran dan ketika itulah kita berhenti, mungkin berpencen mencari duit dan apabila duit sudah banyak, melabur dan jadikan duit bekerja untuk kita.

Menerusi hasil pelaburan itu, kita nikmati faedahnya tanpa mengusik pokok yang dilabur. Ingat, kita bukan menjadi ceti haram atau along yang makan bunga, tetapi melabur pada saham yang tidak berisiko.

Kita bolehlah duduk mengeteh di kedai mamak sahaja bila waktu terluang dan makan angin serata Malaysia sambil menikmati keindahan alam dan meniti perjalanan hidup.

Ada yang berkata, duit itu seperti mencukur janggut. "Hari ini kita cukur, esok dia tumbuh Tuan." Wow hebat ayat dan pepatah baru ini, kenapa mereka berkata demikian, mesti ada sebabnya.

Saya tahu dalam merencanakan perjalanan untuk mengumpul hasil atau duit, dia berpegang teguh kepada prinsip dan perancangan rapi sehinggalah duit itu beranak pinak menjadikan dia seteguh itu.

Apa yang dia buat sambil berdoa ialah menjadikan seringgit yang diperoleh kepada lima ringgit dengan berjinak-jinak dengan dunia perniagaan di rumah seperti perniagaan atas talian dan menjual produk tempatan.

Kita harus terima memang ada pro dan kontra apabila topik duit ini dibahaskan atau dibualkan. Ada orang setuju dan ada yang tidak bersetuju, masing-masing ada pegangan hidup sendiri dan kehidupan kita dengan orang lain berlainan perjalanannya.

Terpulanglah kepada kita untuk mengadaptasi dan menterjemahnya dalam perjalanan hidup, yang penting objektif kita ingin hidup sempurna dan bahagia selalu serta tidak ingin masalah atau bebanan dalam kehidupan.

Lainlah jika kita hidup dan lahir sahaja, bapa sudah bawa naik kereta BMW, makan enak dan berjalan jauh sehingga tak ada tempat di dunia ini yang belum pernah kita pergi.

Ataupun lahir sahaja dapat tahu ada telaga minyak di belakang rumah dan sudah tentu kepayahan atau kesusahan dalam menjalani kehidupan itu tidak kita rasai.

Apapun, pendapat saya dan Izat itu hanya topik perbualan sementara menghabiskn kopi panas sahaja dan selepas itu kami keluar dari kantin meninggalkan mak cik Kiah dan menyambung kerja untuk mencari sesuap nasi.

Berikut adalah beberapa tip yang boleh digunapakai untuk membahagiakan kehidupan dalam meniti perjalanan sebuah kehidupan.

n

Fikirkan mengenai kehidupan dan cara untuk membaikinya. Sama ada kita suka atau tidak, kehidupan perlu diteruskan termasuk ketika kita dalam keadaan sedang jatuh. Kita boleh memilih sama ada untuk terus jatuh begitu atau bangun dengan cepat atau perlahan dalam membentuk semula kehidupan sempurna.

n

Mulakan hidup baru dengan tenang dan jadikan pengajaran kegagalan kita. Jadikan sebuah kehidupan itu sangat indah dengan cara kita tidak kira sama ada sedang mengalami kesusahan dan kepayahan. Buang jauh-jauh permasalahan itu dan bina kebahagiaan dengan acuan kita.

n

Bina semula satu matlamat yang mampu kita capai. Jangan berangan mahu memeluk gunung, sedang tangan tak sampai.

Jadi, kita peluk busut kecil dahulu sambil mengorak langkah dalam keadaan tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.

n

Terima perkara di luar jangkaan serta fokus kepada diri sendiri. Sentiasa berfikiran positif dan harus ada perancangan sekiranya menerima masalah.

Air pun ada pasang surutnya, begitu juga dengan kehidupan. a senang dan ada susahnya, jadi kita harus membuat perancangan rapi dan jangan gelabah apabila sesuatu masalah atau kepayahan itu tiba-tiba menjelma di luar jangka.

n

Keluar dari zon bebas dan jadilah diri sendiri. Ini paling 'rare' kerana kita selalu menyatakan pendapat kita adalah betul dan semua yang kita buat adalah betul.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 7:01 AM