GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
RS Chellachamy


Bukan seorang. Tetapi lima. Namun urusan yang dihajati tetap gagal dilaksanakan. Komunikasi yang menjadi tunjang dalam kejayaan bisnes terutama membabitkan layanan pelanggan semacam langsung tidak wujud. Satu pengalaman yang membuat kita serik untuk berurusan lagi. Saya hanya mampu menggelengkan kepala.

Saya memang suka bersenam. Ia menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan saya. Tak boleh tak senam. Berlari jarak jauh menjadi pilihan saya. Outdoor atau indoor, dua-dua okay. Namun pada musim tengkujuh, larian di luar rumah menjadi sukar. Ia mengganggu rejim senaman yang dirancang.

Itu antara sebab utama saya menjadi ahli sebuah gimnasium komersial sejak sekian lama. Berlari dalam controlled environment atas treadmill dalam gim tanpa gangguan cuaca atau trafik kenderaan ada kelebihannya.

Pada hujung 2019, saya bertukar ke sebuah gim komersial lain yang beroperasi sepanjang masa. Ini lagi memudahkan saya yang bekerja tidak tentu masa untuk membakar kalori.

Masalah bermula apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran ancaman Covid-19 pada Mac 2020. Industri kecergasan terutama operasi gim antara sektor yang paling teruk terkesan akibat pandemik itu.

Ramai jurulatih kecergasan yang hanya memperoleh pendapatan asas dalam RM1,500 (rezeki selebihnya bergantung kepada kemampuan memikat pelanggan mengambil pakej kecergasan), hilang punca pekerjaan.

Walaupun ada yang menawarkan perkhidmatan latihan secara online, ia tidak banyak membantu.

Sepanjang 2020 dan tahun lalu, gim sememangnya ditutup terus atau dibuka secara bersyarat untuk tempoh tertentu bergantung kepada versi PKP yang dikuatkuasakan. Apabila gim ditutup langsung, tiada bayaran bulanan dikutip. Namun apabila dibuka secara bersyarat - dengan bilangan pengunjung dihadkan atau waktu operasi dipendekkan - bayaran penuh dikutip. Sepanjang waktu ini, akibat ketidakpastian dan risiko kesihatan, ramai menamatkan keahlian gim mereka.

Pada Oktober tahun lalu, gim saya mula beroperasi semula dengan disingkatkan waktu ia dibuka. Saya dikenakan bayaran penuh. Sepanjang tempoh PKP ini, saya langsung tidak memijakkan kaki ke gim, walaupun saya tetap bersenam dengan berlari di luar atau melakukan latihan HITT - High-Intensity Interval Training di rumah.

Selepas membayar yuran penuh pada Oktober, saya menghubungi gim melalui WhatsApp (difahamkan nombor pengurus - kita panggil dia orang pertama) meminta keahlian saya dibekukan pada November, Disember dan Januari 2022. Perunding yang saya hubungi melalui nombor WhatsApp akur. Saya hanya perlu membayar RM45 setiap bulan sepanjang tempoh pembekuan. Ia juga sebagai sokongan saya kepada operasi gim yang baru tumbuh balik meskipun saya belum bersedia untuk bertandang ke sana.

Pada Januari lalu, saya sekali lagi menghubungi gim melalui WhatsApp dan meminta pembekuan diteruskan untuk Februari dan Mac. Perunding bersetuju. Namun, saya dikenakan juga yuran penuh RM199 pada Februari! Apabila diminta penjelasan, pihak gim memberi alasan berlaku kecuaian sistem komputer. Perunding bersetuju untuk menggunakan RM90 daripada jumlah itu sebagai yuran pembekuan untuk Febuari dan Mac manakala baki RM109 akan dikreditkan untuk bil April.

Pada April, Mei dan Jun, saya bayar penuh yuran keahlian. Tapi saya tidak pergi ke gim. Ancaman berterusan akibat Covid-19 dan kekangan waktu menyebabkan saya sukar bersenam di sana.

Pada pertengahan Jun lalu, saya sekali lagi hantar mesej melalui WhatsApp meminta keahlian dibekukan lagi pada Julai dan Ogos. Namun sekali lagi saya dikenakan yuran penuh pada Julai. Kali ini, saya terus ke gim untuk meminta penjelasan.

Pengurus gagal ditemui, namun saya berurusan dengan seorang jurulatih kecergasan (orang kedua) yang berjanji membantu. Saya mencadangkan wang RM90 digunakan sebagai yuran pembekuan pada Julai dan Ogos dan bakinya dipulangkan ke bil September.

Lagi mengejutkan, saya sekali lagi dikenakan caj penuh pada Ogos. Berang, saya sekali lagi ke gim. Kali ini, saya dilayan seorang perunding jualan (orang ketiga). Pengurus macam biasa tiada.

Saya protes hakikat pengurusan gim gagal mematuhi arahan mudah diberikan. Tak sanggup melayan kerenah yang melelahkan, saya isi borang untuk berhenti menjadi ahli dan menyerahkan kunci loker meskipun perunding berkenaan cuba memujuk.

Mengikut perjanjian, sesiapa yang berhenti menjadi ahli perlu membayar yuran penuh RM199. Selepas campur tolak yuran yang dikutip pada Ogos, saya bersetuju melunaskan sejumlah kecil wang semata-mata tidak mahu lagi berdepan dengan pengurusan yang tidak cekap.

Saya ingatkan semuanya tamat pada bulan kemerdekaan Ogos, namun tidak apabila saya dihubungi orang keempat yang bertanya sebab saya berhenti menjadi ahli. Dia berjanji untuk berbincang dengan pengurus mengenai masalah saya dan kembali dengan maklum balas. Sehingga kini saya masih menunggu panggilan dia!

Jangan ingat kerumitan yang saya hadapi sudah beres. Pada September lalu, saya sekali lagi dikenakan yuran penuh, tetapi transaksi kad kredit saya tak lepas! Saya dihubungi seorang lelaki (orang kelima) yang bertanya mengapa saya gagal membayar yuran pada September. Dia meminta saya segerakan bayaran untuk elak didenda.

Apabila diberitahu saya bukan lagi ahli gim, dia mendakwa tak jumpa borang pemberhentian keahlian saya. Apapun, pada hujung Ogos lalu saya sudahpun memberikan arahan kepada bank untuk menyekat sebarang bayaran kad kredit kepada gim yang terlebih cekap ini!

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 6:01 AM