GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Keluarga Muslim adalah asas masyarakat Islam yang maju. Ia menjadi teras kukuh kepada pembinaan masyarakat maju dan sejahtera. Kekuatan sesuatu masyarakat bergantung kepada setakat mana tahap komitmen setiap anggota di dalamnya secara menyeluruh. Sama ada berkaitan dengan perkara keduniaan apatah lagi perkara berkaitan akhirat. Kita memerlukan kaedah terbaik untuk membentuk satu model keluarga Muslim mithali.

Model yang terbaik adalah sunah yang dibawa Rasulullah SAW. Baginda menunjukkan segala perkara berkaitan kehidupan peribadi, berkeluarga dan bermasyarakat. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah menjadi pedoman umat manusia. Bahkan, banyak hadis yang menjadi asas kepada keluarga Muslim sejati. Rasulullah bersabda: "Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selamanya selagi kalian berpegang pada kedua-duanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya." (Hadis Riwayat Imam Malik)

Antara dasar paling penting dalam pembentukan keluarga Muslim ialah sifat pemaaf dan tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Inilah yang dimaksudkan dasar toleransi, memberi kemaafan setakat termampu, perdamaian dan berlapang dada. Namun, yang menjadi penghalang utama kepada manusia ialah hasutan syaitan yang sentiasa mencari peluang memecahbelahkan antara sesama manusia. Syaitan sentiasa membisikkan kepada manusia sifat angkuh, sombong dan tidak memaafkan. Bahkan, akan sentiasa memenuhkan hati manusia dengan segala sifat kejahatan.

Sifat-sifat yang tidak baik yang ditiupkan oleh syaitan ke dalam setiap keluarga akan menjadi barah di dalam masyarakat. Akhirnya, masyarakat akan rosak. Tiada lagi toleransi, apatah lagi perasaan cinta dan kasih sayang. Oleh itu, Allah telah menjadikan sifat tasamuh (toleransi) pada kedudukan yang tinggi. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya." (Surah al-Syura, ayat 37)

Allah juga menyatakan orang yang memaafkan kesalahan orang lain juga termasuk kalangan orang muhsinin (berbuat kebaikan). Firman Allah: "Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Banyak kes berlaku dalam masyarakat kita hari ini menunjukkan sifat tasamuh semakin terhakis. Tanpa mengira siapa bersalah, sepatutnya kita mengekalkan sifat kasih sayang yang sudah lama tersemai di dalam masyarakat kita. Namun, dengan beberapa kes seperti membalas sesuatu musibah yang terkena disebabkan oleh pihak tertentu, maka pihak yang terkena bertindak di luar batasan. Tindakan seperti bertindak ganas sebagai balasan tidak wajar kerana masyarakat kita sebenarnya terkenal dengan adab ketimuran yang lemah lembut bukan bersikap kasar. Malah, sifat ini menyimpang daripada ajaran dan sunah Rasulullah SAW.

Apabila situasi seperti ini berlaku, ia memberi gambaran bahawa asas tasamuh itu telah hilang. Malah, budaya yang tidak baik ditunjukkan dan akan ditiru generasi muda. Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik sebagai seorang pemaaf. Pada hari pembukaan Kota Makkah baginda bersabda: "Pergilah, kalian telah dibebaskan."

Sifat toleransi dan memaafkan adalah dua asas yang membentuk peribadi Mukmin dan Muslim sejati. Kedua-duanya menjadi lambang ketinggian nilai akhlak mulia seorang Muslim. Ini juga menjadi bukti kepatuhan kepada galakan Allah agar kita bersifat pemaaf. Sebagaimana firman Allah: "Dan (ingatlah) tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah; dan sesungguhnya Hari Kiamat itu tetap akan datang; oleh itu biarkanlah (golongan kafir yang mendustakanmu itu wahai Muhammad) serta layanlah mereka dengan cara yang elok." (Surah al-Hijr, ayat 85)

Sebagai contoh, dengan adanya sifat ini seorang isteri akan dapat menjalankan tanggungjawabnya terhadap suami dan anak-anak dengan baik. Dia mampu memaafkan segala kesalahan suami dan anak-anak dan menerima segalanya dengan reda. Dengan itu, dia sentiasa meneruskan tanggungjawabnya dan menyumbangkan khidmat yang terbaik dalam rumahtangga. Seterusnya, dia membahagiakan seluruh keluarganya.

Begitu juga seorang suami yang bersifat toleransi yang tinggi dan suka memaafkan serta bersikap positif akan dapat menguruskan keluarga dengan baik. Jika menjadi ketua, dia bertanggung- jawab terhadap orang bawahan. Dia hanya fokus kepada aspek positif dan sentiasa optimis dengan tugasannya dan pandangannya kepada orang lain. Tiada buruk sangka dan tidak yakin dengan kelebihan serta kekuatan orang lain di sekelilingnya.

Allah menyeru kita agar bersifat toleransi dan memaafkan sebagaimana firman-Nya: "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Taghabun, ayat 14)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 6:01 AM