Saya memilih topik orang toksik kali ini bagi menggambarkan kawan atau situasi persahabatan yang mungkin terpaksa kita lalui sekarang atau keadaan persekitaran pada masa kini.
Toksik bermaksud beracun atau bahan seperti asap dan buangan kimia yang menyebabkan pencemaran alam. Dalam bahasa senang difahami, ia sangat berbahaya dan perlu dijauhi.
Orang pula adalah individu, kita sendiri atau ahli masyarakat. Ungkapan orang toksik atau toxic people sering kita dengar dan mudah difahami. Sebutan itu biasanya diberikan kepada orang yang suka menyusah dan merugikan orang lain, baik secara mental atau fizikal.
Tidak kira apa sahaja ciri-cirinya, orang toksik perlu diketahui dan dijauhi. Orang dianggap toksik sering membuat anda rasa sedih, tidak dihargai, kecewa, bahkan rasa bersalah atas kesalahan yang tidak anda lakukan.
Apakah ciri-ciri orang toksik yang perlu anda ketahui?
• Hanya mahu kesenangan di pihaknya sahaja
Salah satu ciri keperibadian orang toksik ini dilihat hanya mahu kesenangan dan keuntungan di pihaknya sama ada dalam perhubungan persahabatan atau perhubungan lain termasuk masyarakat atau perniagaan.
Mereka hanya mahu mencipta kesenangan dan keuntungan bagi dirinya tanpa mengambil kira erti atau nilai persahabatan atau perhubungan yang terjalin.
Mereka akan sentiasa memaksa untuk mencipta kesenangan atau keuntungan bagi pihak atau diri mereka sahaja.
Mereka akan mengambil segala kesempatan yang ada berasaskan keuntungan dalam perhubungan. Malah, mereka selalu memaksa anda supaya menolong sekiranya mereka dilanda kesusahan. Tetapi, sebaliknya mereka tidak langsung membantu atau mempedulikan sekiranya kita dalam kesusahan.
• Tidak bersimpati atau tanpa belas kasihan
Kita seboleh-bolehnya jangan mengharapkan orang negatif seperti mereka untuk memahami diri kita kerana biasanya orang toksik tidak akan mengerti dan memahami keadaan orang lain.
Misalnya, ketika kita berada dalam kesusahan dan menceritakan atau berkongsi masalah dengan mereka dengan harapan ada orang untuk diluahkan, sekali gus dapat meringankan beban dalam benak fikiran yang tersumbat.
Tetapi, orang toksik bukan saja tidak akan menyokong atau menyebelahi kita, malah akan terus menyalahkan kita dan sedikit pun tidak menyebelahi kita. Mereka bukan meringankan beban yang ada dalam benak fikran kita yang berserabut atau berduka, tetapi menambah lagi beban kita dengan kata-kata atau ungkapan yang bukan-bukan.
• Suka mengawal dan manipulasi orang lain
Orang toksik suka mengawal dan memanipulasi orang lain. Mereka membuat atau melakukan sesuatu perkara untuk mencapai tujuan sendiri.
Mereka tidak ragu berbohong dan membelit dengan pelbagai alasan apabila pembohongan itu diketahui. Boleh dikatakan jenis 'putar alam' dan mereka biasanya akan membuat kononnya ada terhutang budi kepada mereka.
Mereka boleh menyakiti perasaan kita dengan perbuatan berdolak dalik untuk menyelamatkan dirinya sahaja.
Seperti contoh menghina seseorang dengan sebutan 'gemuk is awesome; kepada kita atau rakan kita yang berada dalam kelompok itu dengan alasan kutukannya amat membina dan orang yang dihina atau menerima kutukan itu berusaha lebih untuk menguruskan badannya. Tetapi, dia tidak tahu kutukan atau hinaan itu menimbulkan kecil hati kepada si penerima hinaan.
Jika mereka berhasil membuat kita melakukan apa yang diinginkan dan melakukan manipulasi, mereka bakal melakukan perkara lebih parah kepada kita secara berterusan.
Teknik manipulasi ini sentiasa ada dan orang toksik akan memainkan peranan dalam keadaan 'lembik tengkuk' atau lembut, tetapi sebenarnya mereka sudah memanipulasi kita dengan mereka pelbagai cerita buruk mengenai kita dengan rakan atau hubungan kita yang berpihak pada dirinya sahaja.
• Orang toksik tidak akan mengakui kesalahan atau minta maaf
Walaupun terang-terangan melakukan kesalahan, mereka akan bertindak mencari kambing hitam untuk disalahkan dan menutupi kesalahan mereka.
Jadi, jika kita berada dalam persekitaran seperti itu, berhati-hati supaya tidak dijadikan kambing hitam oleh orang toksik.
• Sering merendahkan atau menghina kita sama ada di hadapan orang lain atau di depan bos kita dengan harapan semua orang akan membenci kita dan lebih menyukai mereka dengan pelbagai alasan
Mereka akan membuat perancangan teliti untuk menjatuhkan kita dan menaikkan diri dan kepentingan mereka saja, termasuk rela menjadi pembodek.
Kalau kita dikelilingi orang toksik, cuba jauhkan diri atau kurangkan pergaulan dengan mereka kerana kita sebenarnya berdepan musuh.
Hanya kita yang dapat mencari jawapan terhadap masalah sendiri dan hanya kita tahu tindak-tanduk orang toksik ini dalam kawasan kita. Gaya dan tingkah laku mereka mungkin berbeza, tetapi gayanya berteraskan keuntungan semata-mata dan menjadikan kita mangsa.
Orang toksik sanggup memijak kepala orang lain untuk menaikkan diri sendiri. Bagi mengurangkan rasa sakit hati terhadap tindakan mereka, mungkin kita boleh mengajak mereka berbincang dengan menawarkan penyelesaian dan situasi 'menang-menang' supaya kita tidak dijadikan kambing hitam.
Jangan kita menghabiskan tenaga dan fikiran mencari jalan untuk menyerang mereka semula. Jika kita sangat sakit hati dengan orang toksik, cuba cari penawar untuk menerima atau meminta nasihat daripada rakan lain yang bukan dalam kalangan orang toksik.
Jadi, berhati-hati dalam memilih kawan supaya tidak menjadi mangsa orang toksik sama ada dalam pekerjaan atau persekitaran tempat tinggal. Jauhi mereka yang bakal mengundang kesusahan.
Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor