GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Malaysia tersenarai dalam kedudukan ke-18 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang menjadi ukuran utama aspek kedamaian global di dunia. Kita wajar berbangga dengan pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti ini dan adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan anugerah keamanan yang sedang kita nikmati sekarang.

Laporan yang disediakan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) membentangkan analisis yang dipacu data paling komprehensif mengenai petunjuk aliran keamanan, nilai ekonomi serta cara memupuk masyarakat yang aman.

Data itu mengukur aspek keamanan merentas tiga faktor utama iaitu tahap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, perkembangan konflik domestik dan antarabangsa serta tahap ketenteraan. GPI menggunakan indeks komposit yang mengukur kedamaian sesebuah negara pada skala satu hingga lima di mana semakin rendah markah yang dicatat, semakin aman negara itu.

Bagi kita sebagai sebuah negara majmuk, aspek keamanan adalah nikmat yang paling penting dalam memacu kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat. Bayangkan jika nikmat ini tergugat atau ditarik apa akan jadi kepada kehidupan rakyat dan kestabilan negara? Justeru keamanan menjadi perkara yang tidak boleh dikompromi walau dalam apa jua keadaan sekalipun, malah ia perlu dipelihara dan dipertahankan dengan sepenuh jiwa dan raga kita.

Justeru, kita perlu memastikan tidak berlaku sebarang perkara yang boleh meragut keamanan negara. Misalnya, kita perlu sentiasa ingat faktor perpaduan banyak mempengaruhi tahap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat yang akhirnya menyumbang kepada keamanan secara menyeluruh.

Oleh itu, perlu ada inisiatif berterusan untuk memperkasakan elemen perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini penting kerana walaupun secara zahirnya kelihatan kita bersatu padu, namun beberapa insiden kecil yang berlaku dalam masyarakat yang akhirnya membawa kepada perselisihan kaum membuktikan tahap perpaduan kita masih rapuh, berbentuk kosmetik dan tidak keterlaluan untuk dikatakan umpama retak menanti belah sahaja.

Ironinya, kita tidak boleh terlalu selesa mahupun berbangga dengan catatan sejarah semata-mata apabila perpaduan yang ampuh dalam kalangan generasi terdahulu sudah membuka jalan ke arah pencapaian kemerdekaan serta kejayaan di era pasca merdeka. Hakikatnya, generasi yang ada pada hari ini tidak pernah melalui detik penjajahan justeru kita perlu sedarkan kelompok anak muda hari ini betapa besarnya nikmat perpaduan dan keamanan yang sebenarnya tiada galang ganti.

Selain itu, anggota masyarakat juga perlu disedarkan keperluan untuk sentiasa menghormati kepelbagaian yang ada sebagai mercu tanda kehidupan masyarakat majmuk. Kita perlu elak sebarang bentuk konflik domestik yang berpaksikan kepentingan peribadi mahupun kaum tertentu sebaliknya perlu terus suburkan budaya kekitaan, saling hormat menghormati dan bertolak ansur.

Dalam pada itu, tindakan tidak bertanggungjawab seperti menyentuh isu sensitif berkaitan agama mahupun kaum tertentu juga perlu dielak jika kita mahu kekal aman dan damai. Hal ini sangat penting kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak kejadian menyentuh isu sensitif terutama soal agama, kaum dan institusi diraja dilaporkan berlaku dalam masyarakat kita termasuk dijadikan bahan jenaka.

Jika dibiarkan, sudah tentu insiden seperti ini akan menjadi duri dalam daging sehingga boleh meruntuhkan jambatan perpaduan yang kita banggakan selama ini. Kestabilan politik juga banyak memainkan peranan dalam mewujudkan keamanan
di negara kita.

Hakikatnya, sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) konflik dalam dunia politik negara bagai tiada kesudahan. Pertukaran kerajaan yang memerintah serta Perdana Menteri secara kerap dilihat mengganggu dan menyukarkan proses pembentukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil. Ini sekali gus mencetuskan pelbagai konflik dan pergolakan sehingga membimbangkan rakyat.

Secara prinsipnya, kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan wakil rakyat yang matang dan profesional bagi memacu kecemerlangan negara dan rakyat. Jadi kita berharap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan pada bila-bila dari sekarang mampu merintis jalan ke arah pembentukan sebuah kerajaan yang lebih kuat dan stabil demi mempertahankan keamanan yang ada.

Pada masa sama, kita juga perlu elak terbabit dalam konflik antarabangsa sehingga boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara. Misalnya, konflik peperangan antara Rusia dan Ukraine menyebabkan kedua-dua negara terbabit mengalami kemerosotan terbesar dalam rekod keamanan. Justeru, kita perlu terus melaksanakan dasar luar yang pragmatik, bebas, berprinsip dan berkecuali berlandaskan nilai keamanan, keadilan dan kesaksamaan. Sememangnya prinsip yang kita amalkan selama ini iaitu memilih jalan penyelesaian yang aman terhadap sebarang pertelagahan dan konflik berbanding cuba mempamerkan kekuatan tentera banyak membantu dan melindungi kita dari konflik serantau mahupun antarabangsa.

Jujurnya tahap keamanan negara ini terletak pada setiap tindak tanduk kita sendiri. Kita ada pilihan sama ada mahu kekal aman dan menikmati kehidupan yang harmoni, selamat dan sejahtera atau membiarkan sikap dan tingkah laku yang negatif dan mementingkan diri meruntuhkan segala apa yang kita nikmati selama ini.

Apa yang pasti, adalah menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk memelihara dan mempertahankan nikmat keamanan yang telah diwariskan kepada kita sebelum kita memindahkan tanggungjawab dan amanah tersebut ke bahu generasi yang akan datang. Justeru, ayuh mari kita memasang tekad untuk terus meningkatkan kedudukan dan penarafan kita dalam Indeks Keamanan Global dan percayalah tidak mustahil satu hari nanti Malaysia diiktiraf sebagai negara yang paling aman di dunia.


Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 6:00 AM