IKLAN  Hari Merdeka mempunyai kekuatan jalan cerita untuk menyemarakkan semangat patriotik.
IKLAN Hari Merdeka mempunyai kekuatan jalan cerita untuk menyemarakkan semangat patriotik.
Wan Asrudi Wan Hasan

Selain lagu bertemakan patriotik, iklan juga menarik perhatian masyarakat ketika sambutan kemerdekaan sepanjang Ogos ini.

Lambakan iklan sempena Hari Merdeka sama ada dihasilkan oleh produksi profesional atau bebas kebanyakan mempunyai kekuatan jalan cerita selain mengetengahkan tema tersendiri.

Tidak ketinggalan iklan dihasilkan pada tahun terdahulu yang kembali mendapat tempat bagi menyemarakkan rasa cinta pada negara dan menyemaikan semangat perpaduan.

Antara yang berjaya mencuri perhatian iklan dihasilkan RHB Group bertajuk Teguh Bersama.

Iklan dengan durasi tiga minit 23 saat itu memaparkan kisah sekumpulan murid sekolah rendah yang diminta oleh cikgu mereka untuk melaksanakan satu projek seni.

Cikgu mahu memilih ketua di antara mereka dengan seorang lelaki dan seorang perempuan dalam kalangan murid itu menawarkan diri secara sukarela untuk memimpin pasukan.

Nazri (budak lelaki) dan Mei (budak perempuan) mengangkat tangan tanda ingin menjadi ketua bagi projek itu. Kelihatan mereka berdua tidak 'sebulu' dan ada sikap cemburu di antara satu sama lain.

Sehinggalah pada hari kejadian mereka memulakan tugas menyiapkan lukiskan mural di dinding sekolah terbabit. Kesemua murid sekolah itu melakukan aktiviti secara bergotong-royong dan masing-masing mempunyai tugas yang ditetapkan.

Kemuncaknya apabila Nazri menegur Mei menggunakan cat warna ungu adalah salah pada pendapatnya sebaliknya perlu menggunakan cat biru. Mereka berdua bertekak soal warna sebelum kedua-dua beredar meninggalkan kawasan terbabit.

Tidak berapa lama kemudian cuaca hujan yang menyebabkan lukisan mereka rosak. Jadi disitulah menampakkan sikap matang mereka yang berubah daripada musuh menjadi saling bekerja sama antara satu sama lain bagi menyelamatkan projek seni yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Sejurus hujan reda kumpulan murid itu dengan begitu bersemangat bergabung tenaga semula menyiapkan projek seni terbabit sehingga selesai.

Sekalipun tidak menampilkan barisan pelakon ternama, namun kehadiran mereka yang membawa watak dan teraju utama dalam iklan merdeka itu berjaya memberikan pesanan tersirat yang cukup bermakna.

Itulah kata orang perbezaan pendapat sering menjadi punca perbalahan sesama kita, namun tidak semestinya menjadikan faktor permusuhan.

Sejak ditayangkan bermula minggu lalu di saluran YouTube iklan berkenaan mencatat lebih dua juta tontonan dan memperoleh 195 tanda suka.

Kebanyakan komen daripada warga maya memuji usaha institusi kewangan terbabit mengetengahkan konsep alam persekolahan sehingga ada yang dapat mengimbau kenangan ketika zaman belajar dulu selain berbangga dengan perpaduan kaum di negara ini.

Sementara iklan lain yang turut berjaya menarik perhatian adalah daripada Lalamove ia berkisar kepada petugas barisan hadapan yang pasti menyentuh jiwa. Umum mengetahui bagaimana pengorbanan dan kerja keras mereka yang bertugas di kelompok barisan hadapan ketika Covid-19 melanda dunia.

Begitu juga dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) diikuti peralihan kepada endemik yang sedikit sebanyak melegakan banyak pihak selepas dua tahun diuji dengan pelbagai dugaan sehingga menjejaskan kehidupan.

Iklan yang mengetengahkan kehidupan kelompok barisan depan bertajuk Bersyukur Kerana Anda dengan durasi satu minit 30 saat turut mendapat pujian.

Bagaimana pasukan beruniform seperti polis, askar, jururawat dan lain-lain berkerja ketika berdepan ancaman bahaya virus yang boleh membawa maut.

Pengorbanan kelompok barisan depan cukup dihargai semua pihak.

Sesuai dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Kita berharap keharmonian dan perpaduan di negara kita akan terus terpelihara.

Semoga semangat cintakan negara ini tidak hanya disemarakkan ketika bulan kemerdekaan semata-mata sebaliknya ia dapat dititikberatkan berterusan.

Selamat Hari Merdeka ke-65 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia 2022 yang bakal disambut pada 16 September ini.


Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 6:00 AM