GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

KECOH di sebuah kaunter pejabat kerajaan apabila Senah Chubby bertengkar dengan penarik kereta yang mahu menarik kereta Sport Range Rover miliknya.

Apa tidaknya, Senah Chubby yang datang dengan gaya memukau ala artis cerekarama dengan beg tangan berjenama tidak puas hati apabila keretanya mahu ditarik lalu menceritakan kepada penulis yang kebetulan berada di situ.

Senah Chubby menyatakan kereta itu dibeli dan dibayar oleh teman lelakinya, Dolah Boroi iaitu seorang kontraktor di Kota Tinggi.

Katanya, Dolah Boroi kini ditahan polis di Melaka kerana kegiatan tidak baik dan Senah seakan-akan menyesal apabila perkara ini terjadi.

Sewaktu bersama Dolah, hidupnya serba mewah dengan gaya hidup kelas tinggi, tetapi kini dia terpaksa balik kampung apabila semua itu berlaku dan rumah sewanya tidak mampu dibayar lagi.

Senah cuma bekerja kais pagi, makan pagi dan kais petang makan yang pagi itu juga. Dia menyesal kerana ketika senang, dia lupa diri dan keluarga akibat taasub dengan gaya hidup dan kecewa apabila ditinggalkan Dolah Boroi yang mengambil kesempatan ke atas dirinya.

Berlainan pula dengan penguat kuasa bernama Mamat yang hidupnya dahulu selama 15 tahun bekerja sebagai penguat kuasa di Pulau Bum-Bum, Sabah. Satu lampu isyarat pun tiada di pulau itu dan hidupnya serba kekurangan.

Dia kemudian ditukarkan ke Kuala Lumpur di bahagian yang senang dapat 'duit tepi.' Akibatnya, Mamat lupa diri dan mula berjinak-jinak denga dunia hiburan seperti disko sehingga ke pagi, gemar berkaraoke dan bergelumang dengan wanita GRO silih berganti.

Akhirnya, Mamat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akibat kegiatan rasuah dan gaya hidup mewahnya. Mamat menyesal akibat perbuatannya yang lupa diri hingga memakan diri dan memporak peranda keluarganya.

Itu adalah dua kisah pendek mengenai lupa diri. Kenapakah dan mengapakah dan akibatnya manusia yang mudah lupa diri?

Lupa diri bermaksud tidak sedar, tidak insaf, tidak ingat akan keadaan dirinya yang sebelum itu lebih susah. Sifat naluri manusia yang sangat susah untuk dimengertikan, jenis kelupaan ini mungkin paling banyak terjadi dalam masyarakat dewasa ini.

Kerana manusia memang mudah terjebak oleh status, kedudukan, tugas dan tuntutan hidup. Akibat putaran hidup yang tidak menentu, manusia terdorong untuk lupa diri, kadang sering kehilangan arah dan tujuan kerana terperangkap dalam jelmaan dunia nyata dan tidak nyata.

Ada banyak jenis lupa diri. Yang pertama adalah menyuruh orang lain berbuat baik dan melupakan diri sendiri. Jenis lupa diri yang kedua adalah kebiasaan menuding jari mencari kesalahan orang lain, tetapi lupa kekurangan diri sendiri.

Pepatah Arab menyebutkan, 'Janganlah terlalu memperhatikan sehelai rumput di mata temanmu, sementara bongkah kayu di matamu tidak kelihatan.'

Dalam bahasa kita, peribahasa serupa iaitu kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuk mata tidak tampak.

Cendekiawan menjelaskan, 'Sesungguhnya segala yang tersisa daripada masa lalu menjadi pelajaran dan segala yang berakhir dari sebelumnya menjadi peringatan. Orang yang bahagia adalah orang tidak tertipu oleh rasa tamak dan tidak cenderung kepada tipu daya. Orang selalu mengingat mati pasti akan lupa berangan-angan. Sementara orang yang panjang angan-angannya pasti akan lupa beramal, lengah terhadap datangnya ajal.'

Jenis lupa diri ketiga adalah daripada hidup susah kemudian beralih kepada kesenangan sedikit menyebabkan mula lupa diri.

Jenis lupa diri yang lain, ketika seseorang memiliki kuasa atau kedudukan tinggi, sibuk mengejar target/statistik dan lainnya berasaskan keuntungan sehingga melupakan perkara pokok atau perkara asas yang harus dibuat atau diketengahkan dalam berkeluarga.

Misalnya, lupa kewajiban sebagai ayah, sebagai suami, bahkan sebagai insan yang lupa menjaga hubungan baik sesama jiran.

Jadi, dalam banyak hal dalam kehidupan seharian, kita semakin lupa diri akibat perkara tertentu. Keseronokan membuatkan kita jauh tersesat ke dalam hutan yang tebal dan mungkin tidak berpeluang mencari jalan pulang akibat daripada lupa diri itu. Lalu, akhirnya jatuh ke lembah yang hina atau terus tersesat sehingga tidak jumpa jalan pulang.

Lupa diri turut disebut dengan sinonim lupa daratan. Orang yang lupa diri atau lupa daratan, tak lagi mampu menguruskan dirinya sendiri dan akan timbul berbagai permasalahan dalam pengurusan hidupnya.

Dalam erti kata lain, ia tidak akan mampu menolong dirinya sendiri apatah lagi untuk menolong orang yang berada di sekelilingnya. Di mana saja dia berada, hanya akan menjadi beban orang lain. Sukar untuk mendapat kepercayaan atau diberi tanggungjawab oleh orang lain kerana jika diberi pun, sukar untuk beroleh kepercayaan.

Pesanan bagi kita tidak kira sama ada kakitangan kerajaan atau swasta, juga untuk penulis yang masih berkhidmat ini, janganlah kita lupa diri dan asal usul kita.

Kebanyakan kita bukan daripada keluarga senang, berasal dari kampung terpencil di pendalaman termasuk tiada bekalan elektrik atau sukar mendapat liputan internet.

Tetapi, apabila sudah bekerja dengan kerajaan, lebih-lebih lagi sebagai penguat kuasa dan berkawan dengan Ah Meng atau Ah Chong sedangkan kita tidak pasti pekerjaan mereka, bila sudah kenal lampu malam dan dikelilingi kupu-kupu kota, sudah mula lupa diri dan keluarga.

Berpijaklah semula di bumi nyata dan kenang balik kesusahan di masa lalu agar kita tidak terus tersesat dan lupa jalan pulang.

Janganlah kita menjadi Mamat sehingga akhirnya tersungkur ke parit dalam. Jadilah diri sendiri yang mengukur baju di badan sendiri. Sebenarnya orang tahu kedudukan kita dan berlapang dadalah dengan apa yang ada.

Semoga kita semua tidak terjerumus ke lembah tidak diingini dengan mengingati siapa diri kita sebenarnya. Insya-Allah, dengan berbekalkan kerja ikhlas demi keluarga dan tuntutan Ilahi, kesempurnaan dan rezeki itu akan datang.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 5:59 AM