PENDIDIKAN mungkin satu-satunya aset paling bernilai untuk mengubah nasib diri dan taraf kehidupan.
PENDIDIKAN mungkin satu-satunya aset paling bernilai untuk mengubah nasib diri dan taraf kehidupan.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Baru-baru ini, tular di media sosial termasuk di TikTok mengenai perkongsian generasi muda hari ini yang terpaksa bekerja dalam bidang yang dikatakan tidak setara dengan kelayakan akademik.

Ia termasuk individu yang bekerja di restoran francais makanan segera atau mengambil keputusan untuk menjadi penghantar makanan.

Lazimnya, pemilik akaun berkenaan terpaksa memuat naik foto atau video terbabit untuk membuktikan bahawa mereka sebenarnya mempunyai kelayakan akademik termasuk ijazah sarjana muda. Ada juga dalam kalangan mereka yang mempunyai kelayakan dalam bidang kritikal dan menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.

Tindakan itu - biasanya - bagi menangkis pandangan negatif segelintir individu yang cepat mahu melabelkan pekerja di sektor tertentu adalah hanya untuk mereka yang tidak memiliki pendidikan yang tinggi.

Walhal, ada pelbagai faktor menyebabkan individu ini terpaksa menceburi sektor yang lain daripada bidang pengajian. Ini termasuk untuk kelangsungan hidup.

Sebenarnya, golongan ini wajar dipuji kerana tidak malu dan tidak memilih kerja. Ia kerana ada banyak pihak yang cepat juga menuding jari dengan menyalahkan bahawa generasi muda terlalu 'lembik' dan memilih kerja.

Bagaimanapun, apa yang tidak manisnya, foto atau video sama dijadikan 'modal' oleh segelintir individu dengan menyatakan bahawa tidak perlu belajar tinggi jika mereka tidak berjaya mendapatkan pekerjaan dalam bidang yang disukai.

Bagi golongan seperti ini, tiada gunanya menanggung hutang pinjaman pendidikan, jika akhirnya bekerja dengan gaji permulaan yang tidak setara dengan kelulusan akademik.

Logik mereka amat mudah. Tiada guna belajar selama tiga atau empat tahun apabila seseorang akan mula bekerja pada gaji permulaan kira-kira RM2,300 hingga RM2,500. Pada masa sama, mereka perlu membayar pinjaman pendidikan setiap bulan. Pinjaman ini pula - jika dibayar mengikut jadual - mungkin hanya akan selesai menjelang usia 40 tahun.

Justeru, golongan ini seakan mencanangkan kepada orang lain bahawa tiada guna meneruskan pengajian, jika terpaksa memulakan kehidupan selepas tamat pengajian dengan berhutang. Apatah lagi, kebanyakan penuntut ini lazimnya menceburi bidang pekerjaan pada umur 24 dan 25 tahun.

Tanggapan bahawa kelulusan pendidikan untuk gaji ini sebenarnya perlu diperbetulkan. Benar - sijil akademik itu penting untuk mendapatkan pekerjaan. Syarat kelayakan akademik ini semakin meningkat mengikut generasi.

Sebagai contoh, 30 tahun lalu, seseorang yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mungkin berpeluang untuk mendapatkan kerja di banyak sektor termasuk perbankan. Ada juga antara mereka yang sudah pencen dengan memiliki jawatan yang tinggi.

Ketika itu, seseorang yang memiliki ijazah sarjana juga berpeluang untuk menjadi pensyarah di universiti awam.

Selang 10 tahun kemudian, banyak majikan yang mensyaratkan kelulusan minimum kepada diploma. Sedekad kemudian, kelulusan minimum ini dipertingkatkan kepada ijazah sarjana muda. Jika ditanyakan kepada mereka yang lahir pada era 70-an, mungkin tiada siapa yang menyangka bahawa pada masa sekarang, guru tadika pun memerlukan ijazah sarjana muda.

Hal ini, antara lain disebabkan lebih ramai orang mendapat akses kepada pendidikan. Jika dibandingkan 30 tahun lalu, tidak banyak universiti awam dan universiti swasta. Jadi, cabaran pada masa itu adalah untuk mendapatkan tempat untuk melanjutkan pengajian selepas SPM.

Namun, semua ini tidak bermakna kelulusan akademik adalah surat jaminan untuk seseorang mendapatkan pekerjaan. Sebaliknya, mereka ini perlu sedar bahawa pendidikan adalah untuk sepanjang hayat.

Ia tidak akan terhenti dengan sekeping sijil. Pendidikan juga mencorakkan cara seseorang berfikir ketika menyelesaikan sebarang isu atau masalah dalam kehidupan.

Jadi sebelum ada yang mudah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengajian, fikir-fikirkanlah mengenai perkara ini. Mungkin ada yang cepat berhujah bahawa ada bilionair dan jutawan yang juga pengasas produk di Malaysia yang tidak berpendidikan tinggi.

Tetapi, itu, mereka. Anda bukanlah Steve Jobs atau Mark Zuckerberg. Jadi, pendidikan mungkin satu-satunya aset paling bernilai untuk mengubah nasib diri dan taraf kehidupan!

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 7:01 AM