Perhimpunan Agung Umno.
Perhimpunan Agung Umno.
Dr Ariff Aizuddin Azlan

Senario politik Umno kini memasuki fasa mendebarkan apabila Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dipecat daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno. Disebabkan MKT antara organ signifikan yang menentukan hala tuju parti, maka ia membuka ruang perdebatan berkaitan kedinamikan Umno sebagai parti 'abang besar' dalam Barisan Nasional (BN).

Ia adalah pemecatan kontroversi Tajuddin yang kedua selepas perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia BHD (Prasarana) ditamatkan tahun lalu. Namun, isu kali ini mengejutkan banyak pihak selain timbulnya pelbagai persepsi dan tanda tanya di sebalik pemecatan itu. Persoalannya, sejauh manakah pemecatan Tajuddin itu mampu menggugat kestabilan Umno untuk jangka panjang? Keputusan itu menampakkan lagi bahawa pautan budaya autoritarian politik Umno masih tidak berganjak.

Nama seperti Tajuddin ini memang tidak asing lagi di dalam konteks politik tempatan. Namun, ini bukan krisis pertama kali yang dihadapi oleh parti konservatif itu. Fenomena krisis dalaman sememangnya sudah sinonim dengan sejarah politik Umno dan parti itu terus kekal di carta tertinggi koridor kuasa. Apabila Barisan Nasional (BN) dilorongkan jalan keluar di dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Umno mengalami krisis identiti yang kritikal.

Di sebalik pelbagai naratif pembangunan yang disajikan kepada rakyat, akhirnya ia terkandas juga melalui peti undi dan menjadikan negara terkeluar daripada kepompong semi-demokrasi yang bertapak sekian lama.

Dinobatkan sebagai antara rejim semi autoritarian paling lama memegang tampuk pemerintahan di dalam dunia, ternyata Umno memiliki resipi kemenangan tersendiri. Ini jelas terbukti apabila parti itu berjaya mendominasi setiap pilihan raya sejak sebelum zaman kemerdekaan. Berteraskan formula etnisiti yang diolah oleh pemimpin Umno terdahulu telah membuahkan hasil ke atas penyatuan sistem politik permuafakatan berbilang bangsa.

Teras pembentukan Umno itu sendiri adalah hasil daripada respons terhadap pentadbiran Inggeris yang menekan orang Melayu melalui rancangan Malayan Union dan terdapat peminjaman nilai seperti budaya hegemoni yang sekali gus memposisikan Umno sebagai rejim yang kental. Tidak hairan jika kelangsungan Umno tidak pernah tergugat ketika beberapa negara luar menyaksikan transisi perubahan rejim politik yang dikenali sebagai gelombang ketiga pendemokrasian pasca-Perang Dingin.

Sarjana silam seperti Ibn Khaldun secara tidak langsung mengesahkan bahawa posisi Umno ketika ini berada di peringkat pengukuhan kuasa menurut teori kitaran dan jatuh bangun rejim. Kuasa mula dipusatkan dengan perincian khusus dan tertentu. Keputusan mengeluarkan Tajuddin juga dilihat sebagai tindakan dalaman Umno untuk menstruktur semula tulang belakang parti itu dan seterusnya mengukuhkan lagi jentera dengan melantik bekas Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil menggantikan Tajuddin dalam MKT Umno.

Ini jelas menggambarkan bahawa krisis pemecatan Tajuddin ini tidak akan membawa implikasi besar dan mendalam terhadap Umno. Pada pasca-PRU14 fenomena penghijrahan mula menjadi trend. Ramai ahli Umno meninggalkan parti dan memilih untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) disebabkan kehilangan kepercayaan dan juga di atas sebab penolakan rakyat berskala besar.

Namun, melalui persefahaman politik yang diolah bersama Parti Islam Se-Malaysia (Pas), naratif Melayu-Islam dijadikan mantera khusus bagi membaik pulih imej dan menyemarakkan semangat perpaduan di atas nama bangsa dan agama memberikan nafas baharu kepada perjuangan Umno untuk kekal relevan. Strategi demi strategi mula disuburkan dan hasilnya Umno mula mengisi ruang kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN).

Jika blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) memberikan talian hayat politik kepada Tajuddin sekalipun, ia bukan satu angkubah teguh yang akan membantutkan perjalanan Umno sebelum tibanya PRU15. Pada masa sama, kemasukan Tajuddin ke dalam PH juga tidak akan membawa kepada pengukuhan barisan hadapan blok pembangkang dan ia hanya akan membawa kepada komplikasi politik akibat perubahan status quo di dalam komposisi dalaman PH. Akan wujud kekhilafan pendapat di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menentukan siapakah yang berhak untuk menerima Tajuddin sebagai ahli dan yang pasti Parti Tindakan Demokratik (DAP) bukan pilihan utama. Tetapi, senario sebegini barangkali tidak akan berlaku. Melainkan jika Tajuddin memilih menubuhkan parti dan ini akan merumitkan lagi kedudukan undi Melayu. Umno pula mungkin tidak akan teragak-agak meletakkan muka baharu di kerusi Parlimen Pasir Salak.

Kawasan majoriti Melayu itu dimenangi Tajuddin dengan bilangan undi yang selesa pada PRU14. Sama ada pengundi Pasir Salak akan memilih Tajuddin atau Umno, ia bergantung kepada sentimen dan kreativiti akar umbi membuat keputusan.

Jika diteliti semula, fenomena pemecatan ini tidak terkecuali dalam konteks Pas apabila Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan daripada ahli Majlis Syura Pas dan akhirnya beliau memilih untuk meninggalkan Pas serta kekal sebagai calon bebas. Namun, ini tidak membawa implikasi politik yang merencatkan organisasi Pas.

Jadi, untuk Tajuddin kekal relevan di dalam politik, pemecatannya perlu diterima dengan jiwa besar. Walaupun beliau mampu untuk keluar dari bayang-bayang Umno, ia perlu mengambil kira aspek kesetiaan dalam parti selama ini. Apabila wujudnya duluan berkenaan fenomena pemecatan ini ia menguatkan lagi penghujahan bahawa ia tidak mendatangkan pemberat negatif ke atas Umno. Dari sudut lain, krisis ini mengasah kematangan Umno menuju PRU15.

Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Seremban

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 6:15 AM