PEMANDANGAN Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
PEMANDANGAN Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Noor Mohamad Shakil Hameed

Negara kita sedang berhadapan pelbagai krisis dan masalah disebabkan pandemik Covid-19 serta krisis ekonomi global yang memerlukan penyelesaian jangka pendek bersifat praktikal di samping keperluan perancangan dan penyelesaian dalam jangka panjang. Untuk itu kita perlu memanfaatkan semua kepakaran yang ada agar dapat mencari jalan penyelesaian terbaik serta boleh memberikan nilai yang maksimum terhadap peruntukan kewangan yang dibelanjakan.

Kita sebenarnya tidak berhadapan dengan masalah kekurangan pakar cuma sejauh mana kita memanfaatkan pakar dan kepakaran yang mereka miliki demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. Ironinya, ini adalah masa paling sesuai malah sangat diperlukan untuk kita menggembleng pakar yang ada untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang kita hadapi.

Misalnya, kita sedang berhadapan dengan isu sekuriti makanan yang berpunca daripada krisis makanan global yang turut memberi tempias kepada Malaysia. Hakikatnya, kita sedang berhadapan dengan situasi bekalan bahan makanan yang agak terjejas selepas pandemik, apabila sektor pengeluaran makanan seperti bahan makanan asas semakin berkurangan. Ini menyebabkan semua orang mula bercakap tentang keperluan untuk meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara.

Ironinya, negara kita memiliki institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga pelbagai agensi penyelidikan berpaksikan pertanian yang bertaraf antarabangsa, namun sejauhmana hasil kajian mahupun penyelidikan dibuat itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara. Percaya atau tidak banyak hasil kajian yang telah dilaksanakan oleh penyelidik tempatan sekadar tersimpan di makmal serta hanya mampu diterbitkan dalam jurnal mahupun buku semata-mata. Ringkasnya hanya menjadi bahan ujikaji serta keperluan akademik sahaja tanpa digunakan untuk menyelesaikan masalah di dunia sebenar.

Ini satu isu yang cukup kritikal untuk diperhalusi oleh pihak kerajaan kerana agak merugikan andai kepakaran yang ada gagal digembleng, dan lebih parah lagi jika mengutamakan kepakaran luar tanpa memberi ruang dan peluang yang secukupnya kepada pakar tempatan untuk membuktikan kemampuan. Walaupun selama ini banyak yang disumbangkan oleh pakar tempatan namun boleh dikatakan masih belum sampai ke tahap yang optimum.

Misalnya, kepakaran daripada lima Universiti Penyelidikan di Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) wajar terus digembleng secara optimum supaya rakyat dan negara beroleh manfaat segera. Itu belum lagi pelbagai agensi penyelidikan khusus dalam bidang pertanian seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Sepatutnya kita tidak bimbang tentang isu sekuriti makanan andai semua kepakaran yang dimiliki dimanfaatkan. Dalam konteks ini kita berharap kerajaan akan terus membuka peluang kepada pakar tempatan memberikan sumbangan. Misalnya, pakar tempatan perlu dijadikan sumber rujukan utama bila kita berhadapan masalah atau krisis. Dalam hal ini kita mahu kerajaan bukan saja mendengar tetapi segera melaksanakan cadangan dan idea penyelesaian yang dikemukakan oleh pakar. Cadangan yang praktikal dan boleh menyelesaikan masalah yang ada perlu dilaksanakan segera. Ringkasnya, kita tidak mahu idea tinggal idea yang akhirnya merugikan semua pihak.

Di samping itu, kita juga perlu menyediakan lebih banyak peruntukan kewangan bagi membolehkan penyelidik tempatan melaksanakan lebih banyak kajian bagi menghasilkan inovasi dan penyelesaian yang diperlukan. Kita perlu melaksanakan kajian secara berterusan agar bukan saja menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang, tetapi boleh membuat persediaan untuk berhadapan dengan apa jua masalah yang mungkin akan berlaku pada masa akan datang. Dalam hal ini, sepatutnya universiti tempatan menjadi tempat rujukan utama bagi mencari penyelesaian apabila negara berhadapan masalah.

Selain itu, kita juga perlu memandang serius isu penghijrahan bakat atau sering dikenali sebagai brain drain. Baru-baru ini media melaporkan Malaysia kehilangan kira-kira 500,000 rakyat berkemahiran tinggi dan berbakat dalam bidang profesional kerana mereka memilih bekerja di luar negara. Situasi ini mengakibatkan dua kesan besar kepada negara, iaitu pertama kita kehilangan pakar dan profesional yang sepatutnya membantu membangunkan negara dalam pelbagai bidang. Kedua, akibat penghijrahan ini, berlaku kekurangan tenaga pakar sehingga negara terpaksa membelanja kos yang tinggi untuk membawa masuk profesional dari negara luar. Bukankah ini satu lagi kerugian yang besar kepada negara?

Justeru, perlu ada inisiatif jelas untuk membawa kembali pakar kita di samping mengekang penghijrahan. Misalnya kita perlu kaji dan mengenalpasti punca mereka berhijrah ke luar negara berbanding terus kekal berkhidmat di negara sendiri. Antara alasan yang sering kita dengar ialah, mereka berhijrah demi kepuasan bekerja terutamanya dalam konteks peluang dan laluan kerjaya yang lebih baik di samping tawaran gaji dan faedah yang lebih tinggi serta setimpal dengan bakat dan kemahiran yang mereka miliki.

Maka jika kita mahu mereka pulang semula ke negara ini atau mengekang penghijrahan yang baru, isu-isu tersebut perlu diberi perhatian serius dan wajar ditangani segera. Misalnya, laluan kerjaya dan tawaran gaji yang lebih kompetitif perlu diwujudkan mengikut kelompok bakat supaya dapat menarik minat mereka berkhidmat di negara sendiri.

Jujurnya negara kita telah melahirkan ramai bakat dan profesional yang hebat dan cemerlang dalam bidang masing-masing. Justeru sudah tiba masanya kita menggembleng semua kepakaran yang ada termasuk pakar kita yang telah berhijrah ke negara luar demi memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 6:15 AM