THAILAND menarik balik peraturan mewajibkan pengembara asing menjalani ujian PCR ketika ketibaan. FOTO AFP
THAILAND menarik balik peraturan mewajibkan pengembara asing menjalani ujian PCR ketika ketibaan. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah

Ketika China masih berpegang kepada strategi sifar Covid-19, kebanyakan negara di rantau Asia Tenggara mula menarik balik sebahagian besar peraturan bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Singapura, umpamanya, sudah mengumumkan menarik balik semua peraturan Covid-19 mulai 24 April. Selain itu, ia turut menarik balik peraturan kemasukan pengembara, menurut Kementerian Kesihatannya seperti dilaporkan Reuters.

Langkah ini susulan penularan kes baharu di republik berkenaan.

Pihak berkuasa republik itu juga menarik balik peraturan yang mengehadkan jumlah peserta perhimpunan berkumpulan dan membenarkan pekerja kembali ke pejabat.

Selain itu, ia menurunkan tahap amaran untuk wabak itu sejak pandemik itu tercetus dua tahun lalu.

Pihak berkuasanya juga mengumumkan untuk menarik balik peraturan bagi pengembara supaya mereka menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas ke Singapura.

Namun, beberapa peraturan sedia ada, dikekalkan. Ia termasuk peraturan mandatori untuk pemakaian pelitup muka ketika di dalam bangunan dan pengangkutan awam.

Bagaimanapun, berita tidak baik untuk mereka yang tidak divaksin bahawa kelonggaran ini tidak terpakai untuk mereka.

Menurut laporan agensi berita asing, kadar vaksinasi di negara itu juga adalah 93 peratus, antara tertinggi di dunia. Ia merekodkan antara jumlah kematian terendah akibat Covid-19.

Dalam pada itu, Thailand pula menarik balik peraturan yang mewajibkan pengembara asing untuk menjalani ujian PCR ketika ketibaan.

Menurut laporan Bloomberg, langkah ini bagi menarik semula kedatangan pelancong asing ke negara itu, yang terjejas teruk akibat pandemik.

Bagaimanapun, ujian PCR itu digantikan dengan ujian antigen untuk mereka yang memasuki negara itu menerusi laluan udara dan darat.

Ia bermakna pengembara tidak perlu menempah penginapan untuk satu malam, hanya untuk mendapatkan visa seperti sebelum ini

Langkah terbaharu ini susulan pengumuman negara itu yang menarik balik peraturan mewajibkan pengembara untuk menjalani ujian saringan sebelum berlepas ke Thailand.

Namun, pengembara asing masih perlu menunjukkan bukti vaksinasi dan mempunyai insurans perubatan.

Satu lagi negara jiran iaitu Indonesia juga sudah mengumumkan menarik balik peraturan kuarantin untuk semua kemasukan dari negara asing.

Menurut Reuters, keputusan itu susulan situasi semasa dan hasil positif daripada percubaan kemasukan tanpa kuarantin untuk pelancong yang sudah divaksin di Bali, Batam dan Bintan.

Pihak berkuasa negara itu juga mengumumkan bahawa visa semasa ketibaan di Bali, diberikan kepada pemegang pasport 42 negara dengan pengecualian kepada pengembara dari negara Asia Tenggara.

Namun, tidak jelas sama ada peraturan sama terpakai untuk destinasi lain selain Bali.

Mendengar berita baik ini, mungkin ramai daripada kita yang sudah berangan-angan untuk berjalan ke luar negara selepas Aidifitri ini.

Bagaimanapun, perlu diingatkan, biarpun sudah banyak kelonggaran, masih ada peraturan lain perlu diikuti sebelum seseorang mahu mengembara ke negara berkenaan dan pulang ke tanah air.

Pada masa sama, semua kelonggaran ini juga bergantung kepada situasi penularan semasa Covid-19 di negara terbabit. Ia mungkin berubah mengikut ketetapan pihak berkuasa di negara berkenaan.

Namun, ia sekurang-kurangnya membuka lembaran baharu ketika dunia secara perlahan-lahan mula belajar untuk 'hidup' dengan Covid-19.

Ini kerana, selepas kira-kira dua tahun, Covid-19 masih ada. Realitinya, tiada tanda-tanda nyata dalam masa terdekat yang menunjukkan virus ini akan lenyap begitu sahaja.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 7:00 AM