FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
minda

Apabila menyebut sama ada mahu terus bekerja atau sambung belajar, ramai terkedu memikirkannya dan bukan keputusan mudah.

tidaknya komitmen dan masalah akan timbul nanti, lebih-lebih lagi apabila baru setahun dua bekerja sama ada di sektor kerajaaan atau swasta.

Sudahlah hendak mendapatkan kerja macam nak gila dibuatnya. Ramai di antara kita mempunyai terlalu banyak dilema sama ada mahu meneruskan pekerjaan atau menyambung pelajaran.

Kelulusan memang mustahak dalam bidang diceburi dan tanpa kelulusan, kita akan ketinggalan dalam apa jua bidang diceburi.

Berbekalkan ilmu pengetahuan, mutu kerja akan meningkat dengan inovasi dan perubahan itu diri sendiri dapat rasakan.

Dilema ini ditambah lagi jika kita yang baru bekerja dan jika meneruskan pelajaran sama ada secara separuh masa atau sepenuh masa akan menimbulkan masalah penjawatan yang ditanggung majikan.

Akibat dilema demi dilema akan membuatkan niat untuk meneruskan pelajaran sambil bekerja menemui jalan mati dan akhirnya berakhir dengan tersekat di situ hingga pencen.

Apa yang perlu kita buat apabila menemui jalan buntu sama ada ingin meneruskan pekerjaan atau meneruskan pelajaran atau bekerja sambil belajar.

Beberapa cadangan ini mungkin boleh diguna pakai oleh seseorang individu apabila terhalang mencari jawapan sesuai dalam dilema dialami ini.

n

Meneruskan pekerjaan. Apabila kita beranggapan mencari pekerjaan sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta amatlah susah, kita akan menghargai kerja walaupun di peringkat mana pekerjaan dan jawatan disandang.

Tidak kiralah sama ada ia kurang pendapatan berbanding kelulusan kita atau sebaliknya, kita perlu bersyukur kerana masih diterima bekerja sedangkan ramai masih terbelenggu dan bermasaalah mendapatkan pekerjaan.

Jika tidak mahu menyambung belajar lagi, maka harus reda dengan apa yang ada. Bukan tidak boleh maju dalam keadaan begini, malah boleh bekerja dengan sebaik mungkin dan lulus peperiksan jabatan dan boleh dinaikkan pangkat atas temu duga dijalankan nanti.

Mungkin agak lambat sedikit disebabkan persaingan dengan orang lain yang mungkin ada kelulusan tinggi, tapi ada jabatan atau organisasi tidak mementingkan kelulusan, tetapi kemahiran yang dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Jadi, perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan menggilap kemahiran yang ada supaya lebih menyinar sambil berdoa dinaikkan pangkat atau kedudukan lebih tinggi dengan gaji lebih setimpal.

n

Berhenti kerja dan menyambung pelajaran secara sepenuh masa. Jika jabatan atau organisasi akan menerima kita semula dengan cara berhenti kerja sementara sambil meneruskan pelajaran sama ada dengan pembiayaan sendiri atau daripada syarikat atau kementerian, cara ini boleh dipertimbangkan.

Tetapi, cara ini akan memerlukan lebih banyak belanja dan komitmen dan jika kita tidak begitu stabil, jangan sesekali mencuba cara sebegini kerana akan menyulitkan keadaan.

Jika majikan boleh memberi tanggungan dalam bentuk imbuhan atau wang sekalipun, mungkin ia tidak akan cukup kerana proses pembelajaran memakan masa lama dan komitmen dalam saraan kehidupan seharian dalam proses pembelajaran amat mahal harganya pada kita yang tidak mampu ini.

n

Bekerja sambil belajar. Ini pilihan paling popular bagi individu yang mempunyai dilema mengenai tajuk ini.

Tapi, ia memerlukan pengorbanan tinggi kerana masa perlu dibahagikan untuk bekerja dan pada masa sama siapkan tugasan, hadiri kelas pada hujung minggu dan persediaan untuk menghadapi peperiksaan dengan mengambil cuti tahunan.

Cara ketiga ini agak bijak, tapi memerlukan komitmen lebih kerana kita dalam situasi penuh cabaran antara tidak mahu mengurangkan mutu serta komitmen kerja dengan kejayaan dalam pelajaran.

Biasanya jika kita mengambil ijazah pertama mungkin akan memakan masa empat tahun.

Jadi, pada masa empat tahun ini, kita terpaksa menyusun dan membahagi masa antara pekerjaan dan pelajaran ditambah lagi jika sudah berkeluarga.

Kesengsaraan yang dirasai amat pedih dan jika tidak dapat menghadapi dengan tenang, kita akan tertewas antara kedua-duanya dan mula rasa kegagalan dalam hidup, sekali gus putus asa menghadapinya.

Bagaimanapun, tidak kira cara mana yang menjadi pilihan dalam tiga cadangan itu, jika kita masih bersemangat dan berusaha untuk mencapainya, pasti ada jalan.

Nasihat penulis, jika kita memilih mana-mana cara itu, perlulah komitmen yang lebih untuk terus belajar dan untuk mengecapi kejayaan.

Penulis sudah mengalaminya dan boleh mengulas mengenai pengalaman sendiri ketika belajar sambil bekerja. Tidak kira daripada segi mana pun, semangat dan komitmen amat perlu jika dalam situasi ini.

Pahit manis menempuh perjalanan demi kejayaan dalam pelajaran amat indah, terutama jika kita sudah berada di puncak.

Orang lain tidak akan berasakan apa yang kita rasa, tetapi kepuasaan di ambang kejayaan amat besar ertinya kepada diri, keluarga dan majikan.

Ilmu yang kita peroleh itu boleh digunakan dalam pekerjaan. Jika tidak dinaikkan pangkat selepas mendapat kelulusan, yang lebih mustahak kita lebih berilmu dan dapat memanfaatkan ilmu dalam kehidupan seharian atau kerja.

Jika kita tidak terperangkap dalam dilema ini dan ada individu meminta kita mengejar ilmu, tetapi kita tidak mampu melakukannya, jangan memaksa diri kerana rezeki Allah SWT ada di mana-mana.

Kita mesti yakin akan berjaya berbekalkan kemahiran yang ada atau usaha untuk memajukan organisasi akan membuahkan hasil bersama dengan orang cemerlang dalam pelajaran.

Kesimpulannya, ramai yang stres dalam dilema ini. Kita memerlukan kawan atau ahli keluarga untuk memberi sokongan moral kepada kita.

Saya doakan mereka yang ingin menyambung pelajaran ketika bekerja supaya tabah dan ingatlah, jika kita tidak bermula pada langkah pertama kita tidak akan mencapai langkah ke-10.

Jadi, mulakan sekarang dan kesusahan akan menjadi saat manis apabila kejayaan menjelma.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 7:00 AM