SI PENGAMPU akan berada di tempat kerja sehingga lewat malam, berpura-pura kerja keras sehingga nampak keletihan supaya  dipandang hebat oleh ketuanya.
SI PENGAMPU akan berada di tempat kerja sehingga lewat malam, berpura-pura kerja keras sehingga nampak keletihan supaya dipandang hebat oleh ketuanya.
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Dalam dunia pekerjaan, tidak kira sama ada organisasi kerajaan atau swasta, sikap bodek dan pembodek selalu terjadi bahkan akan sentiasa terjadi membabitkan individu tertentu.

Tidak kira sama ada di pejabat, tapak projek, kilang dan lainnya, selagi ada makhluk bernama manusia, sikap ini akan terbentuk dan terjadi sendiri. Bak kata pepatah 'rambut sama hitam, hati lain-lain'.

Bahkan, jika ada sesuatu majlis atau upacara tertentu termasuk dalam jabatan atau organisasi itu sendiri, perbuatan atau sikap seumpama ini sentiasa ada dalam kalangan individu tertentu dengan memijak kepala orang lain untuk kepentingannya bagi menampakkan dirinya bekerja dan sebagainya.

Pembodek ibarat parasit dalam organisasi. Perkataan 'bodek' bermaksud ampu atau mengangkat atau mengipas. Sementara perkataan 'parasit' bermakna sejenis hidupan bahaya yang memusnahkan sesuatu tempat ia bernaung.

Hal ini dengan tegas dan tepat memberikan kefahaman mengenai perbuatan membodek dan implikasi akibat perbuatan tidak begitu baik itu. Perbuatan untuk memenangi hati seseorang dengan nawaitu untuk mendapatkan sesuatu sebagai jalan pintas licik dan tidak bermoral.

Saya menyentuh mengenai kesedaran perbuatan membodek boleh meruntuhkan sesebuah organisasi atau jabatan, tidak kira kerajaan atau swasta, malah boleh meruntuhkan negara jika berleluasa.

Orang teraniaya akibat kejahatan si pembodek yang memfitnah dan memburuk-burukkan sehingga hak dinafikan, rezeki disekat dan kemungkinan tindakan berbentuk hukuman dikenakan, perlulah bersabar sekiranya terjebak atau terpalit dalam keadaan itu.

Saya tertarik dengan penulisan Azrul Mohd Khalib di Malay Mail Online Opinion bertajuk The culture of mengampu and membodek pada 9 Disember 2015.

Beliau turut menyatakan mengenai rujukan persuratan Melayu daripada Dewan Bahasa dan Pustaka dan lebih suka guna istilah sendiri iaitu 'to brown nose, kiss ass or to suck up.'

Budaya mengampu dan membodek yang menjengkelkan ini memang tidak pernah luput dan ada di mana-mana saja. Kebiasaannya, pengampu dan pembodek akan cepat diberikan penghargaan dan pengiktirafan di mana-mana senario tempat kerja.

Namun, kehebatan golongan pengampu dan pembodek biasanya tidak ke mana, sering berlaku mereka berjaya meyakinkan 'penerima ampuan dan bodekan' sehingga ke suatu tahap tertentu saja, mereka tidak akan pergi lebih jauh daripada itu kecuali berlaku keajaiban.

Ketidakcekapan seseorang itu tidak boleh disembunyikan, lambat-laun ia akan tetap terserlah. Pembodek mungkin dikenal sebagai 'Butt sweeper' (penyapu bontot), 'Ball lifters' (pengangkat buah) and 'air-condition' (pendingin hawa).

Istilah ini sesuai digunakan di kantin atau tempat rehat sahaja.

Pengampu dan pembodek biasanya adalah 'pelakon atau aktor/aktres' yang berupaya 'menonjolkan muka sardin atau muka kambing' yang bersahaja dan kerap berbangga dengan sikap 'ya tuan' (yes man). (Azizi Ahmad 12 Jan 2016).

Kita boleh mengesan pembodek dan pengampu melalui percakapan dan pertuturan biasanya seperti dalam skrip drama bersiri, melalui gelak atau ketawa mereka yang seperti gelak olok-olok, bila mereka bertemu muka dengan kita, mereka akan memalingkan sedikit muka mereka apabila bercakap dengan kita.

Mereka berbuat demikian untuk mendapatkan kedudukan 'terpuji lagi disanjungi' walaupun mereka sendiri tahu tidak mampu mencapai kedudukan itu dengan ketidakcekapan dimiliki.

Mereka percaya sikap tidak baik dan mesra ini boleh dialurkan dan dikongsikan bersama rakan sekerja lain. Mereka tidak peduli tentang kualiti mutu kerja, yang penting adalah fokus dan tumpuan hanya untuk diri sendiri sahaja.

Mereka akan mengambil kredit terhadap hasil kerja kumpulan. Tidak akan ada rasa hak pemilikan sebenar terhadap kerja sendiri.

Pada ketika ketua jabatan atau pengurus 'sewaktu' dengannya yang tidak cekap bekerja, mereka berada di tempat kerja sehingga lewat malam, berpura-pura bekerja keras dan bertungkus-lumus sama ada atau tidak mempunyai kerja sebenar, tetapi kononnya memiliki sesuatu yang ingin diperlihatkan.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 6:15 AM